Intervensi untuk dos parasetamol (asetaminofen) berlebihan

Soalan ulasan: dalam ulasan ini, kami melihat bukti-bukti untuk intervensi (rawatan) yang digunakan untuk merawat orang keracunan parasetamol (asetaminofen). Terutamanya, kami cuba untuk menilai apakah kesan intervensi terhadap jumlah kematian dan keperluan untuk pemindahan hati.

Latar belakang: parasetamol adalah salah satu ubat yang paling lazim diambil dalam dos berlebihan. Keracunan parasetamol yang sengaja atau tidak sengaja adalah punca lazim kecederaan hati.

Tarikh carian: bukti adalah terkini sehingga Januari 2017.

Ciri-ciri kajian: Kajian klinikal rawak (kajian di mana orang secara rawak ditempatkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) di mana peserta telah mendapat rawatan perubatan kerana mereka telah mengambil dos parasetamol berlebihan, secara sengaja atau tidak sengaja, tidak kira amaun parasetamol yang diambil atau umur, jantina, atau lain-lain keadaan perubatan orang yang terlibat.

Terdapat banyak intervensi yang boleh digunakan untuk merawat orang dengan keracunan parasetamol. Intervensi-intervensi ini termasuk mengurangkan penyerapan parasetamol yang ditelan dan dengan itu mengurangkan amaun yang diserap ke dalam aliran darah. Agen-agen termasuk arang teraktif (yang mengikat parasetamol di dalam perut), lavage gaster (pembersih perut untuk mengeluarkan sebanyak parasetamol), atau ipecacuanha (sirap yang ditelan dan menyebabkan muntah (menjadi sakit). Parasetamol apabila diserap ke dalam aliran darah akan pergi ke hati di mana majoriti dipecahkan kepada produk yang tidak berbahaya. Walau bagaimanapun, amaun kecil ubat ini ditukar menjadi produk toksik yang biasanya dapat diatasi oleh hati tetapi, apabila amaun parasetamol yang banyak diambil, hati tidak dapat atasi. Akibatnya, produk toksik boleh merosakkan hati yang mengakibatkan kegagalan hati, kegagalan buah pinggang, dan dalam beberapa kes kematian. Intervensi lain untuk merawat keracunan parasetamol termasuklah ubat-ubatan (antidot) yang boleh mengurangkan amaun produk toksik (seperti ubat yang dipanggil cimetidine) atau kerosakan produk toksik (termasuk ubat-ubatan yang dipanggil methionine, cysteamine, dimercaprol, atau acetylcysteine). Akhirnya, usaha-usaha boleh dibuat untuk mengeluarkan parasetamol dan produk toksiknya dari aliran darah menggunakan peralatan pembersihan darah khusus. Semua rawatan tersebut dinilai.

Kami mendapati 11 kajian klinikal rawak dengan 700 peserta. Kebanyakan kajian-kajian melihat rawatan yang berlainan.

Keputusan utama: arang yang teraktif, lavaj gaster, dan ipecacuanha mungkin mengurangkan penyerapan parasetamol jika dimulakan dalam satu hingga dua jam pengambilan parasetamol, tetapi manfaat klinikal tidaklah jelas. Arang yang teraktif nampaknya menjadi pilihan terbaik jika orang dapat mengambilnya. Orang mungkin tidak boleh mengambil arang jika mereka mengantuk dan ada yang tidak suka rasa atau teksturnya (atau kedua-duanya).

Rawatan-rawatan yang mengeluarkan produk toksik parasetamol, acetylcysteine dilihat dapat mengurangkan kadar kecederaan hati akibat keracunan parasetamol. Tambahan pula, ia mempunyai kurang kesan sampingan daripada beberapa antidot lain seperti dimercaprol dan cysteamine; kelebihannya terhadap methionine adalah tidak jelas. Acetylcysteine harus diberikan kepada orang dengan keracunan parasetamol yang berisiko kerosakan hati, risiko ditentukan oleh dos yang ditelan, masa ditelan, dan penyiasatan.

Kajian klinikal terbaru telah melihat cara untuk mengurangkan kesan sampingan intravena (ke dalam vena) rawatan acetylcysteine, dengan mengubah cara ia diberikan. Kajian-kajian ini menunjukkan penggunaan infusi yang lebih perlahan dan dos awal acetylcysteine yang lebih rendah, perkadaran kesan sampingan seperti loya (rasa sakit) dan muntah, dan alahan (tindak balas buruk kepada ubat seperti ruam) boleh dikurangkan .

Kualiti bukti: ulasan intervensi untuk keracunan parasetamol mendapati kurang kajian rawak klinikal yang diterbitkan untuk keadaan yang sangat lazim ini. Tambahan pula, majoriti kajian mempunyai kurang peserta dan semuanya berisiko bias tinggi. Oleh itu, kualiti bukti dianggap rendah atau sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information