Intervensi psikologi berasaskan bukti untuk mencegah kemurungan pada kanak-kanak dan remaja

Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai keberkesanan intervensi psikologi berasaskan bukti yang direka untuk mencegah timbulnya gangguan kemurungan dan untuk mengurangkan sebarang simptom kemurungan yang sedia ada.

Siapakah yang mungkin berminat dengan ulasan ini?

Orang yang terlibat dalam inisiatif kesihatan awam, kakitangan sekolah dan doktor kesihatan mental.

Mengapa ulasan ini penting?

Gangguan kemurungan adalah perkara biasa. Ia dikaitkan dengan kesan negatif ke atas fungsi orang muda dan bebanan kos kepada masyarakat secara amnya. Menemui cara untuk mencegah timbulnya gangguan kemurungan mempunyai potensi untuk memberi impak penting kepada beban kemurungan dalam kalangan orang muda.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Sama ada program pencegahan kemurungan psikologi yang direka untuk mencegah timbulnya gangguan kemurungan pada kanak-kanak dan remaja adalah berkesan.

Kajian mana yang disertakan dalam ulasan ini?

Pengulas memasukkan 83 kajian (khususnya kajian terkawal rawak) dengan intervensi psikoterapi berasaskan bukti (terapi tingkah laku kognitif (CBT) dan CBT gelombang ketiga, terapi interpersonal) yang mempunyai matlamat khusus untuk mencegah bermulanya gangguan kemurungan. Untuk hasil utama diagnosis kemurungan pada susulan jangka sederhana (sehingga 12 bulan), terdapat 32 kajian dengan 5965 peserta dan untuk hasil utama gejala kemurungan (penilaian sendiri) terdapat 73 kajian dengan 13,829 peserta.

Apakah bukti daripada ulasan ini memberitahu pengulas?

Pengulas mendapati bahawa, berbanding dengan mana-mana kumpulan perbandingan, program pencegahan kemurungan psikologi mempunyai manfaat positif yang kecil terhadap pencegahan kemurungan. Terdapat beberapa masalah dengan cara kajian dilakukan dan secara khususnya keputusan menunjukkan bahawa berbanding kumpulanperbandingan plasebo perhatian (intervensi kawalan yang mengawal faktor tidak khusus seperti penglibatan dalam kajian dan perhatian daripada penyelidik), program in tidak memberi kesan. Masih tidak cukup bukti untuk menyokong pelaksanaan program pencegahan kemurungan. Walau bagaimanapun, berdasarkan kesan yang dilihat untuk program pencegahan kemurungan yang disasarkan (walaupun dengan kumpulan kawalan yang tidak mencukupi), pengulas mengesyorkan agar penyelidikan lanjut dijalankan untuk menguji keberkesanan program pencegahan kemurungan dalam populasi orang muda yang sudah mempunyai beberapa gejala kemurungan. Kajian sedemikian harus membandingkan intervensi dengan kumpulan perbandingan plasebo perhatian dan mengukur sama ada diagnosis kemurungan dicegah dalam jangka panjang. Mereka juga perlu mempertimbangkan sama ada pendekatan itu sesuatu yang boleh dilaksanakan di dunia sebenar. Di samping itu, mereka harus mempertimbangkan dan mengukur sama ada intervensi menghasilkan hasil yang memudaratkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information