Soalan ulasan
Kami menjalankan ulasan ini, melalui Kesihatan Oral Cochrane, untuk mengetahui sama ada gigi geraham bongsu terimpak dalam kalangan remaja atau dewasa patut dibuang jika tidak menyebabkan masalah atau dibiarkan dan diperiksa secara berkala. Ini adalah kemas kini ulasan yang pertama kali diterbitkan pada 2012 dan terakhir dikemaskini pada 2016.
Latar belakang
Gigi geraham bongsu (juga dikenali molar ketiga) umumnya meletus di antara umur 17 dan 26 tahun. Ia adalah gigi terakhir untuk tumbuh, dan kerapkali meletus dalam posisi yang rapat di belakang gigi paling hujung di rahang (molar kedua). Ruang untuk gigi geraham bongsu mungkin terhad oleh itu ia sering gagal untuk meletus atau hanya separa erupt, kerana ia terimpak dengan gigi di hadapannya. Dalam kebanyakan kes, ia terjadi bila molar kedua menghalang laluan peletusan molar ketiga dan bertindak sebagai halangan fizikal, menghalang pengeruptan sepenuhnya. Gigi geraham bongsu yang terimpak dipanggil asimptomatik atau bebas-penyakit jika tiada tanda dan gejala penyakit yang mempengaruhi gigi tersebut atau struktur berhampirannya.
Gigi geraham bongsu terimpak boleh menyebabkan bengkak dan ulser pada gusi sekeliling gigi tersebut, kerosakan akar molar kedua, kerosakan molar kedua, penyakit gusi dan tulang di sekekeliling molar kedua dan pembentukan sista atau tumor. Umum bersetuju pembuangan gigi geraham bongsu adalah wajar jika ada tanda-tanda atau gejala penyakit yang berkaitannya, tetapi kurang bersetuju bagaimana gigi geraham bongsu asimptomatik tanpa penyakit patut diurus.
Ciri-ciri kajian
Pakar Maklumat Kesihatan Oral Cochrane mencari literasi perubatan sehingga 10 Mei 2019. Kami mendapati dua kajian, satu di mana para peserta dipilih secara rawak untuk mengeluarkan gigi geraham bongsu atau tidak (kajian rawak terkawal atau RCT), dan satu lagi di mana penulis kajian menilai orang yang memilih untuk mengekalkan atau mengeluarkan gigi geraham bongsu mereka (kajian kohort prospektif). Kajian-kajian melibatkan 493 orang. RCT dijalankan di sebuah hospital pergigian di UK dan melibatkan 77 peserta lelaki dan wanita remaja yang telah melengkapkan rawatan dengan pendakap gigi. Kajian kohort dilakukan di klinik pergigian swasta di Amerika Syarikat dan melibatkan 416 lelaki berusia 24 hingga 84 tahun yang sukarela mengambil bahagian.
Keputusan utama
Bukti sedia ada tidak cukup untuk membuktikan sama ada gigi geraham bongsu terimpak asimptomatik bebas-penyakit patut dibuang.
Kajian-kajian yang disertakan tidak mengukur kualiti hidup berkaitan kesihatan, kos atau kesan sampingan mencabut gigi tersebut.
Satu kajian (kajian kohort), yang amat berisiko berat sebelah, mendapati mengekalkan gigi asimptomatik tanpa penyakit di mulut boleh meningkatkan risiko jangkitan gusi (periodontitis) yang mempengaruhi molar kedua berdekatan dalam jangka panjang, tetapi bukti ini sangat tidak pasti. Dalam kajian yang sama, tiada cukup bukti untuk membuat kesimpulan tentang risiko karies pada molar kedua yang berdekatan.
Kajian satu lagi (RCT) juga berisiko tinggi untuk berat sebelah. Ia mengukur kesesakan gigi di dalam mulut, dan mendapati ini mungkin tidak mempengaruhi secara signifikan sama ada gigi geraham bongsu terimpak dikekalkan dalam mulut atau dibuang.
Kualiti bukti
Kami menilai bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua kajian adalah rendah hingga sangat rendah, oleh itu kami tidak dapat bergantung kepada penemuan ini. Penyelidikan berkualiti tinggi sangat diperlukan untuk menyokong amalan klinikal di dalam bidang ini.
Kesimpulan
Terdapat kurang bukti saintifik di mana profesional kesihatan pergigian dan pembuat dasar dapat mendasarkan keputusan rawatan bagi gigi geraham bongsu asimptomatik tanpa penyakit. Oleh itu, profesional pergigian akan dipandu oleh kepakaran klinikal dan garis panduan klinikal tempatan atau nasional, dengan mengambil kira pilihan pesakit. Gigi geraham bongsu asimptomik tanpa penyakit yang tidak dibuang, pemantauan oleh profesional kesihatan pergigian secara berkala akan membantu mengenal pasti dan menangani sebarang masalah yang mungkin akan timbul.
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my