Mesej utama
Kami dapati bahawa kortikosteroid bukan sahaja dapat melegakan gejala pesakit, ia secara pasti juga mengurangkan jumlah sel alahan (eosinofil) dan hal ini mungkin memperbaik rupa penyakit yang kelihatan apabila pemeriksaan visual (endoskopi) dijalankan, berbanding rawatan plasebo, baik untuk pesakit kanak-kanak mahupun pesakit dewasa yang menghidap esofagitis eosinofilik. . Mereka mungkin mempunyai tahap keselamatan yang setara dengan plasebo.
Kami dapati bahawa agen biologikal (sejenis rawatan yang menggunakan bahan yang diperbuat organisma hidup untuk merawat penyakit) boleh melegakan gejala pesakit, di samping turut secara pastinya mengurangkan jumlah sel alahan, dan rawatan ini mungkin tiada perbezaan dari segi rupa penyakit itu di bawah pemeriksaan visual, jika dibandingkan dengan plasebo, baik untuk pesakit kanak-kanak mahupun pesakit dewasa yang menghidap esofagitis eosinofilik. Mereka mungkin sama selamat dengan plasebo.
Apakah itu esofagitis eosinofilik?
Esofagitis eosinofilik adalah penyakit alahan jangka panjang di mana esofagus meradang, lalu menyebabkan kesukaran menelan, muntah, pedih ulu hati, serta sakit dada dan sakit perut. Zarah dalam makanan atau udara menyebabkan sistem imun mengalami tindak balas alahan dan menghasilkan sel imun, yang diistilahkan eosinofil. Ini termendap di dalam esofagus, saluran yang menghubungkan mulut dengan perut. Esofagitis eosinofilik mula dikenal pasti sekitar taahun1990-an dan semenjak itu penyakit ini telah diiktiraf sebagai salah satu penyakit saluran cerna utama. Penyebab penyakit ini masih belum dikenal pasti, tetapi ia mungkin berkaitan dengan gabungan antara faktor genetik dengan faktor pemicu persekitaran. Pesakit esofagitis eosinofilik cenderung mempunyai alahan lain juga. Pada masa ini, tiada ubat untuk esofagitis eosinofilik, menjadikan rawatan jangka panjang diperlukan. Rawatan piawai termasuklah diet, regangan esofagus (prosedur pelebaran) dan penggunaan ubat seperti kortikosteroid, ubat biologikal dan ubat penghambat pam proton.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada rawatan perubatan yang tersedia untuk esofagitis eosinofilik mampu memperbaik gejala pesakit, mengurangkan jumlah sel alahan apabila diukur di bawah pemeriksaan mikroskop dan memperbaik rupa penyakit yang kelihatan di bawah pemeriksaan visual. Kami juga ingin mengetahui sejauh mana ubat-ubat ini selamat dipakai dan sama ada mereka mampu memperbaik kualiti hidup.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana orang diagihkan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah pengagihan rawak) yang membandingkan sebarang rawatan perubatan untuk esofagitis eosinofilik dengan sebarang rawatan perubatan lain, untuk kedua-dua golongan pesakit dewasa dan kanak-kanak.
Apakah yang telah kami temui?
Kami telah mengenal pasti 41 kajian dengan 3253 orang peserta. Sebelas kajian adalah pada kanak-kanak sahaja manakala selebihnya adalah dalam campuran kanak-kanak dan orang dewasa. Kami mengenal pasti 19 perbandingan. Dalam ulasan ini, kami membentangkan keputusan dua perbandingan utama: kortikosteroid berbanding plasebo dan agen biologikal berbanding plasebo.
Kami mendapati kortikosteroid mungkin lebih baik daripada plasebo dalam melegakan gejala pesakit. Kami sangat pasti bahawa kortikosteroid adalah lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan jumlah eosinofil (sel alahan) apabila diukur di bawah penelitian mikroskop. Kortikosteroid mungkin lebih baik daripada plasebo dalam memperbaik rupa penyakit yang kelihatan di bawah pemeriksaan secara visual (endoskopi). Kami juga mendapati bahawa orang yang diberikan rawatan kortikosteroid mungkin kurang cenderung untuk meninggalkan kajian disebabkan oleh kesan rawatan yang tidak diingini atau berbahaya (kesan sampingan), dan mereka mungkin mengalami jumlah kesan sampingan serius dan kesan sampingan keseluruhan yang sama jika dibandingkan dengan plasebo. Mungkin tiada perbezaan antara rawatan kortikosteroid dengan rawatan plasebo dari segi peningkatan kualiti hidup.
Kami mendapati kortikosteroid mungkin lebih berkesan daripada plasebo dalam melegakan gejala pesakit. Berkemungkinan agen biologikal lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan jumlah sel alahan yang kelihatan apabila diukur di bawah mikroskop. Agen biologikal mungkin tidak berbeza dengan plasebo dari segi perbaikan rupa penyakit di bawah pemeriksaan visual. Kami juga mendapati bahawa pesakit yang menggunakan agen biologikal mungkin mempunyai kebarangkalian yang sama untuk meninggalkan kajian kerana kesan sampingan, atau mengalami kesan sampingan yang serius, dan mungkin mengalami jumlah kesan sampingan yang sama, dibandingkan plasebo. Mungkin tiada perbezaan antara agen biologikal dengan plasebo dari segi peningkatan kualiti hidup.
Apakah batasan bukti?
Bukti untuk kanak-kanak sahaja agak terhad dan kita tidak tahu sama ada kesimpulan yang dirumuskan di atas dapat diterapkan secara pasti khususnya untuk kanak-kanak. Satu lagi faktor pembatas bukti adalah kaedah pengukuran hasil kajian diukur yang telah melibatkan pelbagai cara yang berbeza, yang mungkin melemahkan kesimpulan kami. Rawatan lain yang digunakan oleh peserta juga merupakan sesuatu yang didapati sangat berbeza antara peserta, dan hal ini mungkin telah menjejaskan kesahihan kesimpulan kami. Akhirnya, kami terbatas dalam kesimpulan yang dapat kami rumuskan tentang pengaruh jantina, umur, tahap keparahan penyakit, dos ubat, dan jenis kortikosteroid atau agen biologikal.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Ulasan ini adalah terkini setakat Januari 3.
Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my