Adakah vaksin campak, beguk, rubela dan varicella (MMRV) melindungi kanak-kanak, dan adakah ia menyebabkan kesan berbahaya?

Latar belakang

Campak, beguk, rubela (campak Jerman) dan varicella (cacar air) adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus. Ia adalah paling lazim dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda. ia tidak selalu serius, tetapi boleh menyebabkan kecacatan (seperti pekak), komplikasi dan kematian. Jika wanita hamil mendapat rubella, ia boleh menyebabkan kehilangan (keguguran) atau bahaya kepada bayi yang belum lahir.

Vaksin adalah ubat yang mencegah jangkitan oleh penyakit tertentu. Vaksin MMR (campak, beguk, rubela) melindungi orang daripada ketiga-tiga jangkitan ini (vaksin gabungan). Doktor boleh memberi vaksin terhadap cacar air pada masa yang sama dengan mencampurkan vaksin cacar air (varicella) dengan vaksin MMR (MMRV) atau memberinya secara berasingan pada masa yang sama (MMR + V).

Vaksin MMR telah mengurangkan jangkitan campak, beguk dan rubela. Walau bagaimanapun, sesetengah orang berpendapat vaksin MMR menyebabkan kesan yang tidak diingini seperti autisme, kebengkakan otak (ensefalitis), meningitis, kesukaran belajar, diabetes jenis 1, dan keadaan-keadaan lain. Akibatnya, bilangan kanak-kanak yang diberi vaksin telah menurun.

Ini adalah kemaskini ulasan 2019 yang pertama kali diterbitkan pada 2005 dan kemaskini terdahulu pada 2012.

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui bagaimana vaksin MMR, MMR + V dan MMRV berkesan menghentikan kanak-kanak (berumur sehingga 15 tahun) mendapat campak, beguk, rubela dan cacar air. Kami juga ingin tahu jika vaksin tersebut menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian-kajian yang menilai vaksin MMR, MMRV atau MMR + V yang diberi dalam sebarang dos atau jadual masa berbanding tanpa vaksin, atau plasebo (rawatan sham), kepada kanak-kanak sihat hingga umur 15 tahun. Kajian-kajian perlu mengukur bilangan kes campak, beguk, rubela dan cacar air, dan melaporkan sama ada kanak-kanak mengalami sebarang kesan yang tidak diingini akibat vaksinasi. Kami meneliti setiap kajian untuk memastikan ia mengguna kaedah yang mantap agar kami dapat menilai kebolehpercayaan keputusannya.

Hasil kajian
Kami menemui 138 kajian dengan lebih 23 juta kanak-kanak. Lima puluh satu kajian (10 juta kanak-kanak) menilai sejauh mana keberkesanan vaksin dalam mencegah penyakit, dan 87 kajian (13 juta kanak-kanak) menilai kesan yang tidak diingini. Dalam kemas kini 2020 ini, kami telah memasukkan 74 kajian baharu yang diterbitkan sejak 2012.

Campak: keputusan dari tujuh kajian (12,000 kanak-kanak) menunjukkan satu dos vaksin adalah 95% berkesan mencegah campak. Tujuh peratus kanak-kanak yang tidak divaksinasi akan dijangkiti campak dan bilangan ini akan menurun kepada kurang dari 0.5% kanak-kanak yang menerima satu dos vaksin.

Campak: keputusan dari enam kajian (9915 kanak-kanak) menunjukkan satu dos vaksin adalah 72% berkesan mencegah beguk. Ini meningkat kepada 86% selepas dua dos, (3 kajian, 7792 kanak-kanak). Dalam kalangan kanak-kanak yang tidak divaksinasi, 7.4% akan mendapat beguk dan ini akan jatuh kepada 1% jika kanak-kanak diberi dua dos vaksin.

Keputusan untuk rubela (1 kajian, 1621 kanak-kanak) dan cacar air (satu kajian, 2279 kanak-kanak) juga menunjukkan vaksin adalah berkesan. Selepas satu dos, vaksinasi berkesan 89% untuk mencegah rubela, menggunakan vaksin dengan strain BRD2 yang hanya digunakan di China,dan setelah 10 tahun vaksin MMRV berkesan 95% untuk mencegah jangkitan cacar air.

Kesan yang tidak diingini
Secara keseluruhan, kajian-kajian mendapati vaksin MMR, MMRV dan MMR + V tidak menyebabkan autisme (2 kajian 1,194,764 kanak-kanak), ensefalitis (2 kajian 1,071,088 kanak-kanak) atau sebarang kesan yang tidak diingini lain yang disyaki.

Analisis kami menunjukkan risiko sawan yang sangat kecil akibat suhu tinggi atau demam (sawan demam) sekitar dua minggu selepas vaksinasi, dan keadaan di mana darah tidak klot secara normal (purpura trombositopenik idiopatik) dalam kalangan kanak-kanak yang diberi vaksin.

Kepastian bukti

Kepastian (keyakinan) kami terhadap bukti sedikit terhad kerana reka bentuk kebanyakan kajian-kajian. Namun begitu, kami menilai kepastian bukti keberkesanan vaksin MMR adalah sederhana, dan vaksin varicella adalah tinggi. Kepastian kami terhadap bukti autisme dan sawan demam juga sederhana.

Kesimpulan

Ulasan kami menunjukkan vaksin MMR, MMRV dan MMR+V berkesan mencegah jangkitan campak, beguk, rubela dan cacar air dalam kalangan kanak-kanak, dan tiada bukti peningkatan risiko autisme atau ensefalitis dan risiko kecil sawan demam.

Tarikh carian

Ulasan ini memasukkan semua kajian yang diterbitkan sehingga 2 Mei 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information