Strategi rutin invasif berbanding strategi konservatif untuk angina tidak stabil dan serangan jantung tanpa kenaikan segmen ST dalam era penggunaan sten

Latar belakang

Mereka yang mengalami sakit dada yang berpanjangan atau berulang mungkin menghidap penyakit yang disebut angina tidak stabil (UA) atau mengalami salah satu jenis serangan jantung yang disebut infarksi miokardium tanpa peningkatan segmen ST (NSTEMI). Bagi mereka yang mengalami mana-mana keadaan ini, ianya boleh dirawat menggunakan salah satu strategi rawatan sedia ada iaitu samaada: strategi rutin invasif yang melibatkan pembedahan, atau strategi konservatif atau 'strategi pembedahan terpilih'. Melalui pendekatan pertama, pesakit akan dimasukkan kateter (dawai nipis berongga) ke dalam salur darah arteri yang menyalurkan darah ke otot jantung itu sendiri, yang disebut sebagai arteri koronari. Objektif utama memasukkan kateter ini (prosedur ini dikenali sebagai angiografi koronari) adalah untuk mengenalpasti sebarang penebalan dan pengerasan saluran darah. Sekiranya terdapat salur darah yang sempit atau plak kompleks ditemui, bahagian salur darah yang terlibat akan dilebarkan dengan memasukkan kateter yang mengandungi belon untuk dikembangkan di bahagian salur darah yang sempit bagi membuka salur darah dan meningkatkan aliran darah. Saluran darah akan disokong dengan sten logam untuk kekal terbuka bagi mengekalkan pengaliran darah yang baik. Dalam sesetengah kes, salur darah arteri didapati sangat sempit dan pendekatan ini tidak boleh digunakan sebaliknya memerlukan pembedahan bagi mengatasi masalah ini. Manakala dengan strategi konservatif atau 'strategi pembedahan terpilih', pesakit pada mulanya akan dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan, dan hanya mereka yang terus menerus mengalami sakit dada atau yang menunjukkan gejala kesan penyempitan arteri koronari yang berterusan akan menjalani angiografi koronari dan revasikularisasi (prosedur bagi memastikan salur darah kekal terbuka) setelah pengesahan dilakukan melalui ujian tak invasif seperti ujian tekanan jantung (stress test) atau ujian pengimejan. Dalam ulasan Cochrane ini, penyelidik telah meneliti bukti penerbitan sedia ada untuk menentukan strategi mana yang lebih baik.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini meliputi kajian rawak terkawal (randomised controlled trial) yang membandingkan strategi rutin yang invasif dengan strategi konservatif pada pesakit dengan UA dan NSTEMI di dalam era penggunaan sten. Kami telah melakukan pencarian kajian yang diterbitkan sehingga 25 Ogos 2015.

Keputusan utama

Lapan kajian telah diteliti untuk ulasan ini dengan sejumlah 8915 peserta; lima kajian telah diulas didalam penerbitan pada tahun 2010 dan tiga kajian lagi adalah baharu. Peserta kajian adalah terdiri dari mereka yang mengalami UA dan STEMI dan terbahagi kepada 4545 peserta di dalam kumpulan yang menerima rawatan rutin yang invasif manakala 4370 peserta lagi di dalam kumpulan yang menerima strategi rawatan konservatif. Bukti kajian gagal menunjukkkan penggunaan strategi rutin dapat mengurangkan risiko yang ketara bagi kematian yang disebabkan oleh mana punca kematian serta pengurangan risiko serangan jantung atau infarksi miokardium (MI) yang tidak menyebabkan kematian berbanding penggunaan strategi konservatif. Bagaimanapun terdapat pengurangan risiko yang ketara bagi kes MI, sakit dada berterusan (angina refraktori) dan kemasukan semula ke hospital dengan penggunaan strategi invasif rutin berbanding dengan strategi konservatif, tetapi ini dikaitkan dengan peningkatan risiko berlakunya MI semasa prosedur rawatan dan komplikasi pendarahan.

Kualiti bukti bagi hasil kajian yang utama

Kualiti bukti di dalam ulasan ini terdiri daripada yang berkualiti rendah sehingga yang berkualiti sederhana. Bukti berkualiti rendah adalah disebabkan terdapatnya risiko kecenderungan berat sebelah yang serius dan ketidakpastian tentang kesan rawatan, manakala bukti berkualiti sederhana hanya disebabkan terdapatnya kecenderungan risiko berat sebelah yang serius.

Kesimpulan

Perbincangan lanjut masih berterusan tentang strategi mana yang lebih baik. Strategi invasif mengurangkan kejadian sakit dada di masa akan datang atau kemasukan semula ke hospital. Selain daripada itu, hasil susulan pesakit yang dilakukan dalam tempoh jangka panjang daripada tiga kajian menyarankan strategi invasif rutin mengurangkan risiko serangan jantung dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Bagaimanapun, strategi invasif juga dikaitkan dengan risiko sebanyak dua kali ganda untuk mendapat serangan jantung semasa rawatan atau pada tempoh awal selepas rawatan, serta peningkatan risiko pendarahan. Ringkasnya,penyelidikan kajian saintifik yang telah diterbitkan mencadangkan bahawa strategi invasif mungkin mempunyai manfaat khusus pada pesakit yang berisiko tinggi untuk kejadian berulang, dan pesakit berisiko rendah untuk kejadian berulang mungkin mengalami kemudaratan daripada pendekatan sedemikian.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.ucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Zuraidah Che Man (Hospital Canselor Tuanku Muhriz). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information