Soalan Kajian
Bagi kebanyakan pesakit kanser esofagus yang tidak dapat dibedah, rawatan paliatif yang memberi manfaat klinikal adalah sesuatu yang sangat perlu. Walau bagaimanapun, teknik paliatif terbaik untuk menangani masalah sukar menelan serta peningkatan kualiti hidup tidak jelas.
Latar Belakang
Disfagia (kesukaran atau ketidakselesaan menelan) adalah masalah biasa di kalangan pesakit yang menghidapi kanser esofagus yang tidak dapat dibedah. Terdapat lima peringkat disfagia, terdiri daripada kemampuan untuk makan diet biasa kepada sesetengah pepejal, separa pepejal, cecair dan disfagia sepenuhnya.
Ciri-ciri Kajian
Kajian ini memasukkan kajian rawak terkawal yang membandingkan penggunaan intervensi berlainan untuk menangani disfagia dalam kalangan pesakit yang menghidapi kanser esofagus primer yang tidak dapat dibedah. Untuk mencari kajian baru untuk ulasan terkini ini, pada Januari 2014 pengulas telah mencari, mengikut model Cochrane Gastrousus Atas dan Penyakit-penyakit Pankreas, di Cochrane Central Register of Controlled Trials (CENTRAL) (The Cochrane Library), MEDLINE, EMBASE dan CINAHL; dan prosiding persidangan utama (sehingga Januari 2014).
Hasil Utama
Ulasan ini mengemaskini versi terdahulu tetapi masih gagal untuk mengemukakan apa-apa kelebihan yang ketara antara satu teknik tertentu berbanding pelbagai jenis intervensi berbeza yang lain. Sten logam terkembang sendiri menyediakan kelegaan disfagia yang lebih selamat dan berkesan berbanding dengan sten plastik yang tegar. Teknik-teknik lain seperti radioterapi atau brakiterapi juga alternatif yang sesuai dan mungkin boleh meningkatkan kualiti hidup dan memanjangkan hayat pesakit. Perbezaan individu perlu ditekankan apabila jenis intervensi dipilih.
Kualiti Bukti
Separuh daripada kajian dalam ulasan ini adalah berkualiti tinggi. Kebanyakan kajian tidak pula menyatakan kaedah yang digunakan untuk mencari dan melaporkan hasil kualiti hidup dan kesan sampingan.
Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my