Pengurusan akhir bersalin (pengeluaran plasenta) dengan ubat alkaloid ergot (cth ergometrine)

Apakah isunya?

Peringkat ketiga bersalin ialah tempoh masa dari kelahiran bayi hingga pengusiran plasenta dan membran. Apabila plasenta berpisah, tidak dapat dielakkan terdapat kehilangan darah dari tapak plasenta sehingga otot rahim mengepit saluran darah. Wanita yang cergas dan sihat menghadapi kehilangan darah yang normal ini tanpa masalah, tetapi di mana pemakanan yang tidak seimbang, sanitasi yang buruk, terhad atau tiada akses kepada penjagaan klinikal merupakan komplikasi kehamilan, morbiditi dan kematian yang teruk boleh disebabkan oleh kehilangan darah yang berlebihan semasa bersalin. Ini sangat biasa di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Intervensi aktif, dipanggil ‘pengurusan aktif peringkat ketiga’, disyorkan untuk peringkat ketiga bersalin bagi mengurangkan kehilangan darah yang berlebihan. Intervensi aktif merangkumi: 1) pemberian ubat uterotonik (ubat yang merangsang kontraksi), diberikan sejurus sebelum atau selepas bayi dilahirkan untuk membantu otot rahim mengecut; 2) pengapit kord, dilakukan kira-kira satu hingga tiga minit selepas kelahiran; dan 3) penggunaan cengkaman tali pusat terkawal untuk mengeluar plasenta dalam tetapan di mana pembantu kelahiran mahir tersedia. Ulasan ini melihat kepada penggunaan satu kumpulan ubat uterotonik yang dipanggil alkaloid ergot (cth ergometrin) sebagai sebahagian daripada pengurusan aktif ini.

Mengapa ini penting?

Ulasan sistematik sebelum ini menunjukkan bahawa kombinasi ergometrin dan oksitosin dikaitkan dengan kadar pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage, PPH) yang jauh lebih rendah (ditakrifkan sebagai kehilangan darah sekurang-kurangnya 500 mL) tetapi insiden kesan sampingan yang lebih tinggi berbanding penggunaan oksitosin sahaja. Walau bagaimanapun, tiada kajian yang membandingkan ergometrin dengan tanpa ubat uterotonik dan laluan atau masa pemberian yang berbeza untuk pencegahan PPH.

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami mencari bukti pada September 2017 dan memasukkan lapan kajian melibatkan 4009 wanita yang menerima ergometrin melalui mulut (oral), ke dalam otot (intramuskular (IM)) atau ke dalam vena (intravena (IV)). Daripada lapan kajian, tujuh kajian yang disertakan telah dianalisis dalam ulasan yang dikemas kini ini.

Bukti daripada kajian-kajian yang dianalisis menunjukkan bahawa alkaloid ergot mungkin mengurangkan purata kehilangan darah, meningkatkan tahap hemoglobin dalam darah ibu, dan mungkin mengurangkan kehilangan darah sekurang-kurangnya 500 mL (PPH) dan penggunaan uterotonik terapeutik. Ini adalah tidak pasti sama ada alkaloid ergot mempunyai sebarang kesan ke atas bilangan wanita yang mengalami kehilangan darah tinggi sekurang-kurangnya 1000 mL (PPH serius). Bukti juga menunjukkan bahawa ia boleh meningkatkan kesan sampingan buruk seperti peningkatan tekanan darah dan kesakitan selepas kelahiran. Ia mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan dari segi kesan buruk yang lain (muntah, loya, sakit kepala atau fit eklamptik) dan hasilnya tidak konsisten dengan risiko pengekalan atau pembuangan plasenta secara manual. Kebanyakan bukti dapat daripada kajian yang memberi alkaloid ergot melalui IM atau IV. Terdapat hanya satu kajian kecil yang melihat kepada penggunaan alkaloid ergot oral dan hasilnya tidak dapat disimpulkan. Bilangan kajian yang disertakan adalah terhad dan keputusan antara kajian tidak selalu konsisten atau tepat. Kualiti bukti keseluruhan merentas hasil kritikal dan penting adalah dari sangat rendah hingga sederhana.

Apakah maksudnya?

Laluan IV atau IM, walaupun ia boleh mengurangkan kehilangan darah dan PPH, dikaitkan dengan kesan buruk kenaikan tekanan darah dan sakit akibat kontraksi rahim. Tiada bukti yang mencukupi mengenai laluan oral untuk memberi alkaloid ergot. Terdapat ubat lain, iaitu oxytocin, syntometrine dan prostaglandin (yang lain dinilai dalam Ulasan Cochrane lain), yang boleh digunakan dan mungkin lebih disukai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information