Soalan ulasan
Apakah kesan latihan otot dada untuk mempengaruhi pernafasan (masuk dan keluar) bagi orang yang mempunyai sistik fibrosis?
Latar belakang
Sistik fibrosis adalah penyakit genetik yang paling biasa dalam populasi berkulit putih dan menyebabkan masalah dengan paru-paru pada kebanyakan orang dengan keadaan ini. Latihan otot yang menyebabkan dada berkembang dan kontrak dapat membantu meningkatkan fungsi paru-paru dan kualiti hidup bagi orang yang mempunyai sistik fibrosis.
Tarikh carian
Bukti terkini sehingga: 11 Jun 2020.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian di mana orang dengan sistik fibrosis dimasukkan ke dalam satu kumpulan untuk latihan otot pernafasan atau kumpulan kawalan secara rawak. Kami menyertakan sepuluh kajian dengan 238 orang yang menggunakan pelbagai kaedah dan tahap latihan. Dalam lapan kajian, kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan masing-masing hanya menerima latihan otot pernafasan atau rawatan kawalan (satu kajian mempunyai tiga kumpulan secara keseluruhan: satu menerima rawatan kawalan dan dua menerima tahap latihan yang berlainan). Dalam satu kajian, peserta menerima kedua-dua jenis rawatan, tetapi dalam susunan rawak. Akhir sekali, satu kajian membandingkan latihan dengan penjagaan biasa. Kajian berlangsung selama maksimum 12 minggu dan semua agak kecil; yang terbesar hanya mempunyai 39 orang yang mengambil bahagian. Kajian ini menyertakan orang yang berumur dari enam tahun keatas, tetapi kebanyakannya dewasa. Kajian ini melaporkan pelbagai hasil. Semua melaporkan beberapa ukuran kekuatan otot pernafasan, dan kebanyakan melaporkan sekurang-kurangnya satu ukuran fungsi paru-paru, namun hanya tiga kajian yang dilaporkan mengenai kualiti hidup.
Keputusan utama
Keputusan tidak boleh digabungkan untuk menjawab soalan kajian, kerana kajian sama ada tidak menerbitkan butiran yang cukup atau tidak menggunakan ukuran standard yang sama. Tiada kajian mendapati sebarang perbezaan dalam fungsi paru-paru selepas latihan, tetapi satu kajian melaporkan peningkatan dalam tempoh latihan apabila latihan pada 60% usaha maksimal dan kajian lanjut yang melatih para peserta pada 80% usaha maksima melaporkan beberapa peningkatan kualiti hidup . Terdapat beberapa bukti peningkatan fungsi otot pernafasan dalam dua kajian.
Memandangkan kekurangan maklumat ini, cadangan untuk atau terhadap latihan otot pernafasan tidak boleh dibuat. Kajian di masa akan datang perlu dilihat untuk memperbaiki kaedah yang telah dijalankan sebelum ini dan harus melaporkan menggunakan pengukuran yang bersandar.
Kualiti bukti
Ia secara umumnya tidak jelas bagaimana peserta dipecah menjadi kumpulan untuk rawatan dan sama ada ini akan memberi kesan kepada keputusan. Tiga kajian menyatakan bahawa orang yang menilai hasilnya tidak tahu rawatan mana yang mereka ambil, tetapi ini tidak jelas dalam kajian lain. Individu telah mengundurkan diri dari tiga kajian atas sebab-sebab yang mungkin berkaitan secara langsung dengan rawatan dan oleh itu mungkin memperkenalkan risiko kecenderungan kepada keputusan. Satu kajian tidak ada orang yang menarik diri dan enam kajian lain tidak menyatakan berapa banyak orang yang menarik diri dari kajian. Kami menilai kualiti bukti dan menilai bukti untuk fungsi paru-paru, keupayaan latihan, kestabilan posisi dan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan menjadi kualiti yang sangat rendah, tetapi bukti untuk fungsi otot pernafasan menjadi berkualiti rendah.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my