Penilaian strategi susulan untuk wanita yanng menghidap kanser ovari epitelium selepas menjalani rawatan utama

Mesej utama

Kemoterapi awal untuk kanser ovari ulangan mungkin tidak memanjangkan jangka hayat dan boleh menjejaskan kualiti hidup. Ambil perhatian bahawa kajian ini berlaku sebelum rawatan semasa, jadi tidak boleh digunakan untuk wanita yang dirawat untuk kanser ovari hari ini.

Susulan individu yang dibimbing jururawat selepas rawatan boleh meningkatkan kualiti hidup lebih daripada susulan perubatan biasa, tetapi mungkin tidak mendatangkan perbezaan ketara untuk kebimbangan, kemurungan atau kos.

Apakah yang kami ingin tahu?
Kanser ovari merupakan kanser kelapan paling kerap dan juga penyebab kematian kanser yang ketujuh terbesar dalam wanita di seluruh dunia. Secara tradisinya, wanita disusuli selepas rawatan mereka di jabatan pesakit luar hospital. Kami ingin menilai bukti untuk pelbagai jenis susulan untuk wanita yang telah menyelesaikan rawatan untuk jenis kanser ovari yang paling lazim.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari penulisan perubatan untuk kajian yang menilai pelbagai jenis susulan untuk wanita yang telah menjalani rawatan kanser ovari. Kami menilai batasan mereka, meringkaskan keputusan mereka, dan menilai sejauh manakah kami yakin dalam bukti untuk: kemandirian keseluruhan, kualiti hidup berkaitan kesihatan, kesan psikologi (contohnya, kebimbangan, kemurungan), dan keberkesanan kos.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui dua kajian rawak, di mana wanita yang telah menyelesaikan rawatan mereka untuk kanser ovari secara rawak ditugaskan kepada salah satu daripada dua kumpulan susulan. Setiap kajian meneliti dua jenis susulan yang berbeza, jadi kami perlu memeriksa setiap kajian secara berasingan, bukannya mengumpulkan keputusan mereka.

Bukti terhad daripada satu kajian menunjukkan bahawa tidak kira sama ada wanita menerima kemoterapi serta-merta selepas mengetahui kanser mereka telah berulang (dikenal pasti dengan peningkatan penanda tumor dalam darah, dipanggil CA125), atau menangguhkan rawatan sehingga mereka mengalami gejala, tidak ada perbezaan ketara dalam berapa lama mereka bertahan. Rawatan awal untuk kanser ulangan dengan kemoterapi boleh mengurangkan kualiti hidup secara keseluruhan.

Bukti terhad daripada satu kajian menunjukkan bahawa wanita yang menerima susulan individu yang diketuai jururawat melaporkan kualiti hidup berkaitan kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang menerima susulan perubatan konvensional. Kesan psikologi (kebimbangan dan kemurungan) dan kos adalah serupa dalam kedua-dua kumpulan wanita.

Apakah batasan bukti?

Terdapat bukti terhad daripada kedua-dua kajian ini mengenai susulan yang sesuai untuk wanita dengan kanser ovari. Kepastian bukti berkisar dari rendah hingga sederhana, disebabkan oleh risiko berat sebelah dan ketidaktepatan. Selain itu, kajian ini mendahului kajian lain yang menunjukkan manfaat kepada rawatan penyelenggaraan (ubat untuk mengurangkan pertumbuhan tumor yang diteruskan selepas kemoterapi rutin selesai), dan kajian yang menunjukkan manfaat untuk pembedahan selanjutnya pada masa relaps untuk sesetengah wanita dengan penyakit berisipadu rendah, yang mungkin tidak bergejala. Sama ada keputusan kajian susulan boleh diterapkan kini, dengan adanya rawatan baharu yang tersedia untuk kanser relaps, adalah tidak pasti.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

November 2022

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information