Soalan ulasan
Kami menjalankan ulasan keatas kesan-kesan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) untuk merawat sakit atau gejala pernafasan seperti batuk yang berkaitan dengan selesema biasa.
Latar belakang
Selsema biasa adalah penyakit yang paling biasa dan meluas yang diketahui oleh manusia. NSAIDs, contohnya, aspirin, ibuprofen dan naproxen, mempunyai analgesik (mengurangkan sakit) dan kesan antipiretik (mengurangkan demam). NSAID telah digunakan secara meluas untuk melebihi satu abad untuk rawatan kesakitan dan demam yang berkaitan dengan selesema biasa.
Ciri ciri kajian
Bukti kajian adalah terkini sehingga April 2015. Kajian ini mendapati bahawa sembilan kajian (1069 orang peserta yang terdiri daripada kedua-dua jantina, termasuk kanak-kanak, orang dewasa dan orang yang lebih tua dari Amerika Syarikat, Jepun, Belgium dan Denmark) telah membandingkan pelbagai NSAIDs sama ada dengan satu sama lain atau dengan bahan tidak aktif yang tidak mempunyai nilai rawatan (plasebo) .
Keputusan utama
Penemuan kami menunjukkan bahawa NSAIDs boleh mengurangkan kebanyakan gejala yang berkaitan dengan analgesia yang disebabkan oleh selsema biasa (sakit kepala, sakit telinga, dan sakit otot dan sendi) tetapi tidak ada bukti yang jelas yang membuktikan bahawa NSAIDs adalah berkesan dalam memperbaiki batuk dan hidung berair disebabkan oleh selesema biasa. Beberapa ujian yang terlibat melaporkan gejala gastrousus, ruam dan edema (retensi cecair) dalam kumpulan NSAIDs.
Kualiti bukti
Kualiti bukti boleh dianggarkan sebagai 'sederhana' kerana ketidaktepatan. Batasan utama ulasan ini adalah bahawa keputusan setiap kajian agak berbeza dan bilangan kajian bagi setiap keputusan agak kecil.
Kesimpulan
NSAIDs agak berkesan untuk melegakan ketidakselesaan yang disebabkan oleh selsema tetapi tidak ada bukti yang jelas menunjukkan kesannya dalam mengurangkan gejala pernafasan. Keseimbangan antara manfaat dan kemudaratan perlu dipertimbangkan apabila menggunakan NSAIDs untuk selesema.
Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.