Adakah kromoskopi (penyemburan pewarna) meningkatkan kadar pengesanan polip jika dibandingkan dengan kolonoskopi konvensional?

Latar belakang

Kolonoskopi ialah penyiasatan gentian optik diagnostik yang membolehkan pertumbuhan dalam usus (polip) dikesan. Sesetengah polip ini boleh berkembang menjadi kanser. Walaupun kolonoskopi adalah ujian yang paling tepat yang tersedia untuk pengesanan pertumbuhan ini, sesetengah polip, terutamanya yang lebih kecil, boleh terlepas untuk pelbagai sebab, termasuk sejauh mana polip boleh dilihat dengan latar belakang lapisan normal usus besar. (mukosa). Adalah penting untuk mengenal pasti walaupun polip kecil, yang sering menjadi prekursor kepada kanser. Penyemburan pewarna (kromoskopi) adalah salah satu cara yang lebih mudah untuk menonjolkan polip berbanding mukosa usus biasa, dan dengan itu lebih mudah dilihat.

Objektif

Kami berhasrat untuk menilai sama ada kromoskopi meningkatkan pengesanan polip pada orang yang menjalani pemeriksaan untuk kanser kolorektal atau tidak.

Ciri-ciri kajian

Berikutan kajian literatur yang teliti, kami memasukkan tujuh kajian dalam analisis kami dengan sejumlah 2727 peserta. Kami menyertakan semua kajian yang membandingkan kromoskopi dan kolonoskopi konvensional keseluruhan kolon pada orang yang berisiko mendapat polip. Para peserta dalam kajian berbeza-beza, namun kesemuanya dianggap berisiko rendah atau sederhana untuk mengembangkan polip.

Semua kajian yang disertakan merawak orang kepada sama ada kolonoskopi konvensional atau kromoskopi. Dua kajian menggunakan reka bentuk kajian yang berbeza daripada yang lain, dengan melakukan kolonoskopi konvensional pada semua orang terlebih dahulu dan mengeluarkan mana-mana polip yang diperhatikan, kemudian mengrawakkan orang kepada sama ada kolonoskopi konvensional atau kromoskopi. Matlamat kajian ini adalah untuk menentukan bilangan polip tambahan yang dikenal pasti dengan dua teknik, dan bukannya jumlah bilangan polip.

Penemuan utama

Analisis menunjukkan bahawa kadar pengesanan polip kecil telah dipertingkatkan oleh kromoskopi sebanyak kira-kira 90%. Dengan kepentingan klinikal yang lebih besar, analisis menunjukkan bahawa pengesanan polip kecil yang berpotensi berkembang menjadi kanser telah meningkat kira-kira 30% apabila kromoskopi digunakan. Kadar pengesanan tidak berbeza pada orang yang mempunyai polip besar atau kanser, kerana ini cukup mudah dilihat pada kolonoskopi konvensional. Tiada kejadian buruk dilaporkan berkaitan dengan penggunaan pewarna kontras.

Kualiti bukti

Terdapat kelemahan pada kualiti bukti berdasarkan metodologi. Pada peringkat asas, reka bentuk kajian jenis ini tidak membenarkan merahsiakan kepada pemeriksa. Variasi yang lebih halus dalam reka bentuk kajian juga memperkenalkan variasi dalam data yang boleh memberi kesan kepada kebolehpercayaan keputusan. Sebagai contoh, dalam sesetengah kajian, masa yang diluangkan untuk memeriksa kolon telah diseragamkan dalam kedua-dua orang yang menjalani kromoskopi dan mereka yang menjalani kolonoskopi konvensional, manakala dalam kajian lain ia tidak; kerana masa yang diluangkan untuk memeriksa usus akan mempengaruhi bilangan polip yang dikesan, dan penyeragaman ini tidak mencerminkan amalan klinikal, ini menjadikan generalisasi keputusan daripada kajian ini kepada amalan klinikal lebih sukar. Punca variasi lain yang berpotensi termasuk titik rawak peserta yang berbeza (iaitu sebelum kolonoskopi tunggal atau sebelum prosedur kedua, yang terakhir yang seperti yang diserlahkan sebelum ini hanya melihat pada polip tambahan yang dikenal pasti) dan sebab orang yang menjalani kolonoskopi (contohnya, orang yang mengambil bahagian dalam program saringan am mungkin mempunyai polip yang lebih kecil dan kurang mudah dikesan berbanding mereka yang mengalami simptom).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information