Latar belakang
Di seluruh dunia, kanser rahim atau 'kanser endometrium' adalah kanser kelima paling biasa dalam kalangan wanita berumur sehingga 65 tahun dan mempunyai insidens yang lebih tinggi di negara berpendapatan tinggi berbanding di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Bagi wanita yang menghidap kanser rahim, pembuangan rahim (histerektomi) dan pembuangan kedua-dua tiub fallopio (tiub di mana telur bergerak dari ovari ke rahim) dan ovari (yang menghasilkan telur) dianggap sebagai rawatan piawai semasa. Rawatan lain termasuk radioterapi dan kemoterapi. Secara tradisinya, pembedahan untuk kanser rahim dilakukan melalui laparotomi (potongan terbuka pada abdomen).
Soalan ulasan
Ulasan ini membandingkan kemandirian keseluruhan (tempoh masa wanita itu kekal hidup) dan kemandirian bebas penyakit (tempoh masa wanita kekal bebas penyakit) untuk pembedahan laparoskopi (lubang kunci) dengan laparotomi pada wanita yang dianggap menghidap kanser endometrium awal.
Keputusan utama
Keputusan daripada enam kajian dengan wanita secara rawak dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua kumpulan rawatan menunjukkan tiada perbezaan dalam risiko kematian antara wanita yang menjalani laparoskopi dan wanita yang menjalani laparotomi. Di samping itu, keputusan daripada lima kajian rawak mengesahkan tiada perbezaan dalam risiko kanser berulang antara wanita yang menjalani laparoskopi dan wanita yang menjalani laparotomi. Terutamanya, laparoskopi dikaitkan dengan kehilangan darah yang kurang dan keluar lebih awal dari hospital.
Kepastian bukti
Kepastian bukti untuk kemandirian keseluruhan dan bebas daripada kes berulang adalah sederhana. Kepastian untuk kesan sampingan adalah rendah.
Apakah kesimpulannya?
ulasan kemas kini ini mengesahkan penemuan ulasan sebelumnya bahawa laparoskopi (lubang kunci) adalah alternatif yang berkesan dan berdaya maju kepada laparotomi (pembedahan terbuka) dalam rawatan kanser endometrium peringkat awal. Berkenaan dengan hasil kemandirian jangka panjang, rawatan dengan laparoskopi adalah setanding dengan laparotomi.
Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my