Pengenalan
Banyak garis panduan diabetes jenis 2 mengesyorkan paras glycosylated haemoglobin A1c (HbA1c) di bawah 7%. Paras HbA1c dalam darah menunjukkan kawalan glukosa atau glisemik untuk tempoh masa yang panjang (dua hingga tiga bulan). Sepanjang tempoh diabetes jenis 2, adalah lebih sukar untuk mencapai paras tersebut dengan modifikasi gaya hidup (diet, senaman atau kedua-duanya) dan agen penurun glukosa oral sahaja. Akhirnya, sebilangan besar orang akan memerlukan terapi insulin untuk kawalan glisemik lebih baik. Terapi insulin boleh dimulakan dengan menggunakan insulin sahaja, yang dikenali sebagai monoterapi (yang bermaksud ubat penurun glukosa oral akan dihentikan) atau kombinasi dengan agen penurun glukosa oral. Dalam kes monoterapi, agen penurun glukosa oral boleh ditambah di peringkat akhir, jika monoterapi insulin gagal untuk mencapai tahap HbA1c yang baik. Hipoglisemia dan penambahan berat badan adalah kesan sampingan paling lazim semasa terapi insulin. Menambah agen oral kepada insulin dapat mengurangkan dos insulin yang diperlukan dan sekaligus mengurangkan kesan-kesan sampingan berkaitan insulin. Walau bagaimanapun, mungkin ada kesan sampingan lain yang khusus bagi pelbagai ubat penurun glukosa oral.
Soalan ulasan
Untuk menilai kesan-kesan monoterapi insulin dan penambahan ubat antidiabetik oral dalam kalangan penghidap diabetes jenis 2 yang telah dirawat dengan insulin tetapi tiada kawalan glisemik yang baik.
Latar belakang
Adalah tidak jelas sama ada penghidap diabetes mellitus jenis 2 dengan insulin sahaja yang tidak mencapai paras glukosa darah yang baik perlu meneruskan insulin sahaja atau boleh mendapat manfaat dengan menambah ubat antidiabetik oral dalam terapi insulin mereka.
Ciri-ciri kajian
Kesemua 37 kajian yang dimasukkan adalah kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang diletakkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan). Tempoh kajian adalah di antara 2 hingga 12 bulan. Jumlah peserta adalah 3227. Beberapa jenis monoterapi insulin (sekali sehari atau insulin bertindak sederhana, pracampuran insulin dua kali sehari, terapi suntikan multipel dengan insulin bertindak sekejap) dibandingkan dengan pelbagai jenis tablet antidiabetik tambahan: sulphonylurea (seperti glibenclamide/glyburide), metformin, perencat alfa-glukosidase (seperti acarbose), pioglitazone dan perencat DPP-4 (seperti saxagliptin).
Keputusan utama
Penambahan agen oral kepada monoterapi insulin mengurangkan HbA1c sebanyak 0.4% hingga 1%. Kebanyakan kombinasi agen antidiabetik oral dengan insulin menyebabkan pengurangan dos insulin harian yang diperlukan manakala dos insulin setiap hari perlu ditingkatkan atau dikekalkan bagi peserta dengan monoterapi insulin. Kajian-kajian yang melaporkan kejadian episod hipoglisemia yang teruk adalah jarang manakala hipoglisemia ringan dan sederhana dilihat dalam bilangan yang sama apabila membandingkan monoterapi insulin dengan penambahan agen antidiabetik ke dalam insulin. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian yang menambahkan sulphonylurea kepada insulin melaporkan lebih banyak episod hipoglisemia. Tambahan lagi, penambahan sulphonylurea kepada insulin menyebabkan penambahan berat badan sebanyak 0.4 kg hingga 1.9 kg berbanding dengan -0.8 kg hingga 2.1 kg bagi kumpulan monoterapi insulin. Terapi kombinasi insulin pioglitazone menyebabkan purata peningkatan berat badan 3.8 kg berbanding monoterapi insulin. Perbezaan dalam purata pertambahan berat badan melalui terapi kombinasi insulin metformin berbanding monoterapi insulin adalah 2.1 kg kurang dalam terapi kombinasi. Kesan sampingan gastrousus adalah seperti flatulens dan cirit-birit banyak dilaporkan dengan metformin dan perencat alfa-glukosidase. Penambahan pioglitazone ke dalam insulin berbanding monoterapi insulin menyebabkan lebih banyak kes edema (pengumpulan cecair dalam badan) dan kegagalan jantung. Hanya satu kajian menilai kepuasan rawatan peserta dan menunjukkan tiada perbezaan ketara di antara penambahan glimepiride atau metformin dan glimepiride ke dalam insulin berbanding monoterapi insulin. Tiada kajian yang menilai mortaliti semua sebab, morbiditi berkaitan diabetes atau kualiti hidup berkaitan kesihatan.
Bukti adalah terkini sehingga November 2015.
Kualiti bukti
Hampir satu pertiga kajian-kajian mempunyai 30 atau kurang peserta. Kebanyakan kajian adalah tidak cukup kuat oleh itu tidak dapat menjawab soalah penyelidikan. Ini mungkin bermaksud kemungkinan perbezaan penting di antara kumpulan intervensi dan kumpulan kawalan tidak dapat dikesan. Hanya lima kajian membuat susulan selama 12 bulan.
Diterjemah oleh Nurul Hidayah Othman.(University of Malaya). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my