Apakah isunya?
Neoplasia trofoblastik kehamilan (GTN) adalah penyakit yang jarang berlaku tetapi boleh disembuhkan di mana tumor malignan berkembang di dalam rahim selepas kehamilan normal atau molar (tisu berkembang di dalam rahim dan bukannya bayi). Wanita dengan GTN dikelaskan sebagai mempunyai GTN berisiko rendah atau tinggi menggunakan sistem pemarkahan tertentu. Hampir semua wanita dengan GTN berisiko rendah akan sembuh dengan rawatan kemoterapi (ubat anti-kanser) selepas menjalani dilatasi dan kuretasi (D&C) rahim. Methotrexate dan actinomycin D ialah dua ubat yang paling biasa digunakan sebagai rawatan utama untuk GTN berisiko rendah, walaupun methotrexate lebih digemari di Eropah dan Amerika Utara. Kadangkala rawatan utama gagal menyembuhkan penyakit atau mempunyai kesan sampingan yang perlu dihentikan, dan rawatan sekunder perlu digunakan. Jika methotrexate adalah ubat pertama yang digunakan, actinomycin D biasanya merupakan rawatan sekunder, dan sebaliknya. Kami menjalankan ulasan ini kerana tidak jelas ubat yang mana, jika ada, lebih berkemungkinan untuk menyembuhkan penyakit berisiko rendah pada peringkat pertama. Tambahan pula, adalah tidak jelas yang mana, jika ada, menyebabkan lebih banyak kesan sampingan.
Bagaimanakah ulasan ini dijalankan?
Ini ialah versi ulasan yang dikemas kini selepas ia diterbitkan pertama kali pada tahun 2009. Sejak menjalankan ulasan ini, kami telah mencari penulisan tiga kali (2008, 2012 dan 2016), dan telah mengenal pasti tujuh kajian rawak terkawal (RCT) dan empat kajian yang sedang berjalan. Kajian yang telah selesai membandingkan tiga rawatan methotrexate berbeza rejimen dengan dua rejimen actinomycin D yang berbeza dari segi dos ubat dan kekerapan dos. Kami menilai kajian-kajian ini sebagai berisiko berat sebelah yang rendah hingga sederhana. Kami mengekstrak dan mengumpulkan data jika boleh, mengumpulkan kajian mengikut perbandingan rawatan dalam kajian.
Apa yang kami temui?
Secara keseluruhan, dan untuk setiap rejimen rawatan yang dibandingkan, bukti ulasan menunjukkan bahawa actinomycin D mungkin lebih berkemungkinan untuk mencapai penyembuhan dalam peringkat pertama daripada methotrexate, dan kurang berkemungkinan untuk gagal. Kesan sampingan dilaporkan agak ringan dengan kedua-dua rawatan dan kesan sampingan yang paling biasa dialami oleh wanita dalam kajian adalah loya, keletihan dan anemia. Walau bagaimanapun, bukti mengenai kesan sampingan dan kesan buruk yang serius adalah tidak pasti. Bukti berkepastian rendah menunjukkan bahawa kesan buruk yang teruk mungkin lebih biasa dengan actinomycin D, terutamanya dengan rejimen lima hari.
Kesimpulan
Actinomycin D mungkin merupakan rawatan yang lebih berkesan daripada methotrexate tetapi bukti tentang kesan sampingan dan kesan buruk yang teruk adalah tidak pasti dan lebih banyak bukti adalah diperlukan. Lebih banyak bukti juga diperlukan mengenai kesan rawatan ini terhadap kesuburan pada masa depan. Empat RCT yang membandingkan regimen methotrexate dan actinomycin D sedang dijalankan dan ini akan memberi sumbangan penting kepada bidang ini.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).