Soalan ulasan
Kami mengulas bukti tentang kesan-kesan intervensi gaya hidup pada hasil ukuran pembiakan, antropometrik (pengukuran badan), metabolik dan kualiti hidup pada wanita yang mempunyai sindrom ovari polisistik.
Latar belakang
Sindrom ovari polisistik (PCOS) adalah keadaan yang sangat biasa dijumpai yang dihidapi oleh 8% hingga 13% wanita. Berat badan yang berlebihan menyebabkan semua ciri klinikal PCOS bertambah buruk. Ciri-ciri klinikal ini termasuk isu-isu pembiakan seperti frekuensi ovulasi yang rendah dan kitaran haid yang tidak teratur, tahap kesuburan yang rendah, ovari polisistik pada ultrasound dan tahap hormon lelaki seperti testosteron yang tinggi, yang boleh menyebabkan pertumbuhan bulu pada muka atau badan yang tidak diingini serta jerawat. PCOS juga dikaitkan dengan ciri-ciri metabolik dan faktor-faktor risiko diabetes serta penyakit kardiovaskular termasuk tahap insulin yang tinggi atau rintangan terhadap insulin dan tahap kolesterol yang tidak normal. PCOS menjejaskan kualiti hidup dan boleh memburukkan lagi keresahan serta kemurungan sama ada melalui simptom-simptom yang dialami atau disebabkan oleh diagnosis penyakit kronik. Gaya hidup sihat terdiri daripada pemakanan yang sihat, senaman yang kerap dan mencapai serta mengekalkan berat badan yang sihat.
Ciri-ciri kajian
Kami menjumpai 15 kajian yang melibatkan 498 peserta. Sepuluh kajian telah membandingkan aktiviti fizikal dengan intervensi pemakanan dan tingkah laku yang minimum atau dengan tiada intervensi. Lima kajian telah membandingkan gabungan intervensi pemakanan, senaman dan tingkah laku dengan intervensi yang minimum. Satu kajian telah membandingkan intervensi tingkah laku dengan intervensi yang minimum. Risiko bias dalam kajian-kajian tersebut adalah berbeza dan secara umumnya tidak jelas. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2018.
Keputusan utama
Tiada kajian yang menyiasat kesan gaya hidup sihat pada kelahiran hidup, keguguran atau kekerapan kitaran haid. Pengamalan gaya hidup yang sihat boleh menurunkan berat badan atau mengurangkan tahap hormon lelaki dalam sesetengah individu. Pemakanan dan senaman mungkin tidak memberi kesan kepada keupayaan tubuh badan untuk mengekalkan tahap glukosa darah biasa.
Kualiti bukti
Bukti yang ada adalah berkualiti rendah. Kekurangan utama pada bukti-bukti ini adalah penemuan yang tidak konsisten dan tepat, serta pelaporan yang lemah berkenaan dengan kaedah yang digunakan di dalam kajian.
Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my.