Rawatan restoratif atraumatik (alat tangan sahaja) berbanding rawatan konvensional untuk merawat kerosakan gigi

Soalan ulasan

Matlamat ulasan ini ialah untuk menilai keberkesanan pendekatan invasif minimal iaitu Rawatan Restoratif Atraumatik (ART) untuk rawatan kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa (gigi susu dan gigi kekal).

Latar belakang

Karies gigi (kerosakan gigi) dianggap sebagai penyakit global yang lazim. Kaedah konvensional (gerudi dan tampal) melibatkan penggunaan gerudi elektrik untuk membuang bahagian gigi yang rosak sebelum menampal. Bius setempat (ubat penahan sakit) biasanya disuntik untuk menghalang kesakitan semasa prosedur. Rawatan konvensional memerlukan personel pergigian yang terlatih, akses kepada bekalan elektrik, peralatan yang sesuai dan lebih mahal. Faktor-faktor ini mungkin membataskan akses kepada penyediaan perkhidmatan terutamanya di kawasan yang kurang maju.

Rawatan Restoratif Atraumatik (ART) adalah pendekatan alternatif untuk merawat kerosakan gigi, yang melibatkan pembuangan tisu yang rosak menggunakan alat tangan sahaja, selalunya tanpa menggunakan bius (ubat penahan sakit suntikan) dan peralatan elektrik.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini mencari bukti sedia ada sehingga 22 Februari 2017. Kami mendapati 15 kajian yang relevan melibatkan 3760 peserta dengan purata umur 25 tahun (julat dari 3 hingga 101) di mana 48% adalah lelaki. Tempoh susulan dalam kajian-kajian tersebut adalah antara 6 hingga 36 bulan. Dua daripada 15 kajian mendapat sokongan kewangan daripada syarikat-syarikat yang membuat bahan tampalan gigi. Sebagai tambahan, kami menemui empat kajian yang sedang dilaksanakan.

Keputusan utama

Terdapat bukti berkualiti rendah untuk mencadangkan gigi susu yang dirawat dengan pendekatan ART menggunakan simen ionomer kaca viskositi tinggi mungkin lebih cenderung untuk kegagalan restorasi berbanding gigi yang menerima restorasi konvensional dengan bahan yang sama. Dalam rawatan gigi susu, ART mungkin mengurangkan pengalaman sakit berbanding rawatan konvensional. Bukti sedia ada yang menilai perbezaan antara ART dengan rawatan konvensional menggunakan bahan restorasi lain atau dalam gigi kekal adalah berkualiti sangat rendah oleh itu kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan. Tiada di antara kajian-kajian tersebut melaporkan kesan sampingan negatif atau kos.

Kualiti bukti

Bukti sedia ada adalah rendah hingga sangat rendah. Kemungkinan besar penyelidikan lanjutan yang berkualiti tinggi boleh mengubah penemuan kami. Terdapat empat kajian sedang berlangsung yang mungkin memberi lebih maklumat di masa akan datang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information