Soalan ulasan
Dalam kalangan bayi baru lahir yang jaundis, adakah fototerapi berjeda berkesan mengurangkan paras bilirubin berbanding fototerapi berterusan.
Latar belakang
Jaundis neonatal adalah perubahan warna kekuningan pada kulit bayi baru lahir akibat paras bilirubin (sebatian kuning yang berlaku secara semula jadi dalam darah) yang tinggi. Fototerapi (terapi cahaya) diterima meluas sebagai rawatan yang berkesan untuk bayi baru lahir yang jaundis. Fototerapi biasanya digunakan secara berterusan tetapi fototerapi berjeda mempunyai beberapa kelebihan yang berpotensi seperti memperbaik penyusuan dan ikatan ibu. Kami tidak tahu jika fototerapi berjeda adalah berkesan seperti fototerapi berterusan.
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati 33 kajian yang menilai kesan fototerapi berjeda dalam kalangan bayi melalui carian pangkalan data perubatan sehingga Januari 2022. Daripada ini, 12 kajian (melibatkan seramai 1600 bayi) adalah layak untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Satu kajian sedang dijalankan dan empat sedang menunggu klasifikasi. Hasil utama yang kami minati ialah kadar penurunan paras bilirubin serum dan disfungsi otak akibat bilirubin (BIND). Carian adalah terkini sehingga 31 Julai 2022.
Keputusan utama
Kami mendapati sedikit atau tiada perbezaan antara fototerapi berjeda dan fototerapi berterusan dalam mengurangkan paras bilirubin. Fototerapi berterusan lebih berkesan dalam kalangan bayi pramasa, walau bagaimanapun, kami tidak tahu jika ini adalah perbezaan yang bermakna. Fototerapi berjeda dikaitkan dengan pengurangan jumlah jam pendedahan fototerapi. Terdapat manfaat teori untuk rejimen berjeda tetapi terdapat hasil keselamatan penting yang tidak ditangani dengan secukupnya.
Kepastian bukti
Secara keseluruhan, kami menilai kepastian bukti sebagai rendah atau sangat rendah. Kajian besar dan berkualiti tinggi diperlukan bagi kedua-dua bayi pramasa dan cukup masa sebelum dapat disimpulkan bahawa rejimen fototerapi berjeda dan berterusan adalah sama berkesan.
Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia), Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my