Rawatan ultrasound dan gelombang kejutan untuk tulang patah baru dalam kalangan pesakit dewasa

Mesej utama

- Faedah rawatan ultrasound dan gelombang kejutan dalam memperbaiki kualiti hidup pesakit yang mengalami kepatahan tulang masih diragui.  

- Terapi ultrasound mungkin tidak memberikan sebarang perbezaan terhadap tahap penyembuhan tulang. 

- Terapi gelombang kejutan mungkin mengurangkan sedikit kesakitan sebulan selepas kecederaan pada orang yang mengalami patah tulang pada tulang paha atau tulang kering. Walau bagaimanapun, besar kemungkinan darjah pengurangan kesakitan ini tidak ketara. 

- Kajian yang lebih direka dengan baik dan besar diperlukan untuk melihat sama ada rawatan ultrasound dan gelombang kejutan membantu tulang yang patah untuk sembuh.

Mengapakah merawat tulang baru patah penting?

Kadangkala, tulang yang patah mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh atau ia mungkin tidak akan sembuh sepenuhnya. Ini boleh mengurangkan kualiti hidup orang ramai, dan meningkatkan masa yang diperlukan untuk kembali ke aktiviti biasa mereka (seperti bekerja).  Rawatan yang boleh membantu tulang untuk sembuh akan bermanfaat dalam memastikan penyembuhan tulang yang patah.  Gelombang bunyi boleh membantu tulang yang patah membentuk tulang baru dengan merangsang kawasan tersebut.  Orang boleh dirawat menggunakan gelombang bunyi melalui terapi ultrasound atau gelombang kejutan. Kedua-dua rawatan melibatkan pemasangan peranti khas yang bersentuhan dengan permukaan kulit di atas kawasan tulang patah selama kira-kira 20 minit sehari.  Terapi ultrasound menggunakan gelombang bunyi bertenaga rendah, manakala terapi gelombang kejutan menggunakan gelombang bunyi bertenaga tinggi yang terasa seperti getaran pada kawasan tulang patah yang ditujukan.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin menyiasat sama ada terapi ultrasound atau gelombang kejutan membolehkan penyembuhan tulang baru patah yang lebih cepat . Kami juga ingin mengetahui sama ada ia memperbaik kualiti hidup dan fungsi tulang yang cedera (contohnya, sama ada orang dapat melakukan aktiviti harian yang sama, seperti berjalan atau menyikat rambut, seperti sebelum kecederaan mereka), mengurangkan kesakitan dan membantu orang ramai kembali ke aktiviti biasa (seperti bekerja) dengan lebih cepat. 

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian tentang orang yang mengalami patah tulang baru-baru ini. Kajian-kajian membandingkan: 

- ultrasound berintensiti rendah atau tinggi tanpa rawatan atau terapi palsu. Terapi palsu menggunakan peranti yang kelihatan seperti ultrasound atau gelombang kejutan tetapi tidak sebenar. 

-terapi gelombang kejutan dengan pendekatan tanpa rawatan atau menggunakan rawatan palsu.

Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan mereka, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah temui?

Kami menemui 21 kajian yang menyertakan 1517 orang yang baru mengalami patah tulang. Dua puluh kajian menilai keberkesanan rawatan ultrasound bertenaga rendah manakala satu kajian menilai keberkesanan rawatan gelombang kejutan. Tidak ada kajian yang menilai keberkesanan rawatan ultrasound bertenaga tinggi. Kajian terbesar adalah dalam 501 orang, dengan kajian terkecil dalam 20 orang. Kajian-kajian ini dijalankan di sepuluh negara di seluruh dunia.

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada rawatan ultrasound mempunyai kesan terhadap kualiti hidup orang, jangka masa penyembuhan tulang patah, tahap kesakitan atau sama ada rawatan ini mendatangkan sebarang kesan sampingan. Rawatan ini mungkin tidak memberi perbezaan kepada bilangan tulang yang sembuh lebih lewat daripada yang kita jangkakan atau tidak sembuh sama sekali, dan ia mungkin tidak memberi perbezaan kepada masa yang diambil untuk orang ramai kembali bekerja. Kami tidak menemui kajian ultrasound yang melaporkan penemuan untuk fungsi. 

Kami mendapati bahawa rawatan gelombang kejutan mungkin mengurangkan sedikit kesakitan pada orang yang mengalami patah tulang di paha atau tulang kering mereka, tetapi tidak kepada jumlah yang bermakna. Kami tidak pasti sama ada rawatan gelombang kejutan dapat mengurangkan bilangan tulang yang sembuh lebih lama daripada yang dijangka atau yang tidak sembuh sama sekali. Tiada kajian gelombang kejutan melaporkan penemuan untuk kualiti hidup, fungsi, masa untuk kembali bekerja, atau masa untuk tulang yang patah sembuh.

Batasan utama

Kebanyakan kajian adalah kecil, dan tidak melaporkan semua penemuan yang kami minati. Ramai orang tidak melengkapkan kajian, dan kami tidak tahu keputusan untuk orang yang hilang ini. Ada kemungkinan sesetengah peserta sudah tahu jenis rawatan yang diterima oleh mereka apabila peranti palsu tidak digunakan.  Kami juga mendapati terdapat banyak perbezaan dalam penemuan antara kajian yang berbeza. Oleh itu, secara keseluruhan, kami tidak yakin dengan temuan kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti terkini adalah sehingga Mac 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information