Intervensi pendidikan dan tingkah laku untuk memanjangkan tempoh dalam julat terapeutik bagi pesakit dengan fibrilasi atrial yang mengambil terapi antikoagulan

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan-kesan intervensi pendidikan dan tingkah laku dalam pesakit dengan fibrilasi atrial yang mengambil ubat antikoagulan oral.

Latar belakang

Fibrilasi atrial dicirikan oleh degupan jantung yang tidak teratur dan menyebabkan orang dalam risiko yang lebih besar bagi pembentukan darah beku dan mengalami strok. Bagi mengurangkan risiko strok, ubat yang ‘menipiskan darah’ digunakan, yang dikenali sebagai antikoagulan oral. Bagi pesakit yang mengambil warfarin, pemantauan pesakit secara berkala menilai masa yang diambil untuk darah membeku, yang dikenali sebagai nisbah normal antarabangsa (INR), bagi memastikan julat terapeutik sasaran 2.0 ke 3.0 dikekalkan. Ini sering sukar untuk dicapai kerana banyak faktor yang boleh mempengaruhi pengawalan INR seperti pengambilan alkohol, ubat-ubatan yang lain, dan makanan.

Intervensi pendidikan dan tingkah laku mungkin memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kemampuan orang dengan fibrilasi atrial untuk mengekalkan pengawalan INR, dengan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman pesakit.

Ciri-ciri kajian

Ini adalah kemas kini ulasan asli yang diterbitan pada 2013. Kami mencari pangkalan data saintifik pada Februari 2016 dan menemui 11 kajian rawak terkawal yang melibatkan 2246 orang dewasa dengan fibrilasi atrial yang mengambil ubat antikoagulan oral. Kajian-kajian yang kami temui membandingkan pendidikan, alat bantuan, dan pemantauan kendiri ditambah dengan pendidikan berbanding penjagaan biasa, dalam sebarang jangka masa.

Keputusan utama

Beberapa kajian mempunyai kumpulan-kumpulan dan data yang setanding. Terdapat ketidakpastian mengenai kesan pemantauan kendiri ditambah dengan pendidikan ke atas peratusan tempoh INR yang berada dalam julat terapeutik kerana perkadaran atau tempoh berada dalam julat terapeutik adalah sama di antara individu-individu yang menerima pemantauan kendiri ditambah dengan pendidikan dan mereka yang tidak menerimanya. Terdapat kesan yang kecil dan positif ke atas keresahan dan kemurungan dalam individu yang menerima pendidikan berbanding dengan mereka yang menerima penjagaan biasa. Terdapat kesan yang kecil dan negatif terhadap konflik keputusan dalam individu yang menerima alat bantuan berbanding dengan mereka yang menerima penjagaan biasa.

Kualiti bukti

Bukti tersebut perlu ditafsir dengan berhati-hati kerana kualiti bukti berjulat dari sangat rendah ke rendah merentasi hasil yang berlainan kerana batasan kajian individu. Terdapat kemungkinan bahawa kajian lebih lanjut yang berkualiti tinggi boleh mempengaruhi keputusan yang telah dilaporkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information