Apakah isunya
Hiperprolaktinemia ialah kehadiran paras serum prolaktin dengan peredaran tinggi, iaitu hormon yang dikenali kerana peranannya dalam penyusuan. Hiperprolaktinemia idopatik adalah istilah yang digunakan apabila tiada punca hipersekresi prolaktin dapat dikenal pasti dan ia dikaitkan dengan keguguran pada wanita hamil, terutamanya wanita yang mengalami beberapa kehilangan kehamilan yang tidak dapat dijelaskan. Hiperprolaktinemia ghaib di mana paras prolaktin adalah normal pada waktu pagi tetapi meningkat pada siang hari adalah satu jenis hiperprolaktinemia khas yang juga dikaitkan dengan keguguran. Agonis dopamin adalah sejenis ubat yang sangat berkesan dalam menurunkan tahap prolaktin. Salah satu ubat tersebut ialah bromocriptine. Ia memulihkan fungsi penting ovari yang membolehkan wanita mengekalkan kehamilan.
Mengapakah ini penting
Kami amat berminat untuk mengetahui sama ada agonis dopamin boleh menurunkan kadar keguguran dan meningkatkan peluang wanita untuk bersalin hidup. Kami menyemak bukti tentang keberkesanan dan keselamatan agonis dopamin untuk mencegah keguguran pada masa depan untuk wanita yang mempunyai sejarah keguguran berulang.
Apakah bukti yang kami dapati
Kami mencari bukti pada 30 Jun 2016 dan mengenal pasti satu kajian dengan sebilangan kecil wanita - 48 wanita telah diambil tetapi 46 wanita (42 kehamilan - 4/46 wanita tidak hamil semasa tempoh kajian) disertakan dalam analisis. Kajian tersebut berlangsung di Jepun dan dinilai mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi. Kajian ini menyertakan wanita (berumur 24 hingga 40 tahun) dengan hiperprolaktinemia idiopatik dan sejarah dua hingga empat keguguran spontan; 24 mempunyai hiperprolaktinemia ghaib dengan bilangan yang sama dalam setiap kumpulan. Wanita-wanita ini diikuti semasa kajian (sehingga akhir minggu kesembilan kehamilan) dan kemudian diperhatikan selama satu tahun selepas itu. Dalam kajian itu, satu kumpulan wanita menerima agonis dopamin, bromocriptine (2.5 hingga 5.0 mg / hari sehingga akhir minggu kesembilan kehamilan), dan kumpulan wanita yang lain tidak menerima sebarang rawatan (kumpulan kawalan).
Bukti daripada kajian ini menunjukkan bahawa agonis dopamin bromocriptine berkesan dalam mencegah keguguran pada masa hadapan ( bukti berkualiti rendah ). Walau bagaimanapun, kadar kelahiran hidup dan kadar pengandungan kekal sama antara wanita yang menerima bromocriptine dan wanita yang tidak menerima rawatan ( bukti berkualiti rendah ). Kajian itu hanya melaporkan tahap prolaktin serum pada wanita yang hamil. Kajian itu tidak melaporkan mana-mana kesan buruk yang mungkin diberikan oleh agonis dopamin untuk wanita (contohnya loya, muntah, sakit kepala, vertigo, keletihan, hipotensi, aritmia, dan gejala psikotik) atau bayinya (cth. kecacatan kelahiran, berat lahir rendah, dan ketidakupayaan perkembangan).
Apakah maksudnya
Kami menilai bukti untuk hasil ulasan keguguran sebagai berkualiti rendah dan kelahiran hidup dan penghamilan sebagai berkualiti sangat rendah kerana persoalan yang kami ada tentang reka bentuk kajian, bilangan wanita yang kecil dalam kajian, dan kerana hanya satu kajian rawak terkawal telah dikenal pasti. Pada masa ini, tiada bukti yang mencukupi (dari satu kajian kecil) untuk menilai keberkesanan dan keselamatan agonis dopamin untuk mencegah keguguran masa depan pada wanita dengan hiperprolaktinemia idiopatik dan sejarah keguguran berulang. Terdapat keperluan untuk penyelidikan lanjutan yang berkualiti tinggi dalam bidang ini. Kajian masa depan (melibatkan sejumlah besar wanita) diperlukan untuk mengembangkan penemuan kajian ini. Kajian lanjut perlu mengkaji pelbagai agonis dopamin (termasuk bromocriptine, cabergoline dan quinagolide) dan mempertimbangkan hasil penting (termasuk kesan buruk untuk ibu dan bayinya).
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.