Mesej utama
1. Di kalangan bayi baru lahir yang memerlukan bantuan untuk bernafas sejurus selepas dilahirkan, di dalam bilik bersalin, beberapa kajian mencadangkan bahawa pemberian sokongan pernafasan melalui hidung (antara muka hidung) adalah lebih berkesan daripada melalui topeng muka (menutup hidung dan mulut) atau topeng saluran pernafasan larinks (LMA; tiub pernafasan, dimasukkan melalui mulut).
2. Memberikan bayi sokongan pernafasan melalui hidung berbanding dengan topeng muka di bilik bersalin mungkin mempunyai sedikit hingga tiada kesan terhadap bilangan bayi yang meninggal dunia sebelum didiscaj. Menyokong bayi untuk bernafas melalui hidung boleh mengurangkan bilangan bayi yang memerlukan tiub pernafasan dimasukkan ke dalam batang tenggorok (trakea) untuk membantu pernafasan (intubasi) di dalam bilik bersalin. Tidak jelas sama ada kesan ini adalah disebabkan oleh antara muka hidung sahaja, atau sebahagiannya disebabkan oleh sistem pernafasan baru yang digunakan dalam dua kajian yang disertakan.
3. Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan memberikan sokongan pernafasan dengan antara muka hidung terhadap bilangan bayi yang memerlukan tiub pernafasan dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran, atau semasa berada di hospital.
4. Adalah ketara bahawa di bilik bersalin, memberikan bayi baru lahir sokongan pernafasan melalui hidung mereka berkemungkinan sama berkesan seperti topeng muka.
Apakah cara-cara untuk menyokong pernafasan bayi di dalam bilik bersalin?
Sesetengah bayi baru lahir mengalami kesukaran bernafas selepas dilahirkan dan memerlukan bantuan untuk mula bernafas dengan tetap. Di dalam bilik bersalin, sokongan pernafasan biasanya diberikan melalui topeng muka yang menutup hidung dan mulut bayi, atau kadangkala, melalui tiub yang dimasukkan melalui mulut (diintubasi), di atas batang tenggorok bayi (topeng saluran pernafasan larinks). Bayi yang berterusan mengalami kesukaran bernafas mungkin perlu diintubasi, dan disokong dengan mesin pernafasan (ventilator). Beberapa kajian mencadangkan bahawa memberikan sokongan pernafasan kepada bayi baru lahir melalui hidung mereka mungkin lebih berkesan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada memberikan sokongan pernafasan kepada bayi melalui hidung mereka (menggunakan serampang hidung, tiub yang muat untuk satu atau kedua-dua lubang hidung, atau topeng hidung, topeng yang diletakkan di atas hidung) akan mengakibatkan kematian, intubasi, dan komplikasi selepas kelahiran yang lebih sedikit berbanding dengan topeng muka atau topeng saluran pernafasan larinks; atau jika satu jenis antara muka hidung lebih baik daripada yang lain untuk keputusan yang sama.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian klinikal yang memantau bayi yang menerima pelbagai jenis sokongan pernafasan di bilik bersalin. Kami membanding dan merumuskan hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui lima kajian yang melibatkan 1406 bayi yang pernafasannya disokong oleh antara muka hidung berbanding dengan topeng muka di bilik bersalin. Kajian-kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi di seluruh Eropah dan Australia; kajian yang terbesar melibatkan 617 bayi dan yang terkecil melibatkan 36 bayi.
Kami mendapati bahawa memberikan sokongan pernafasan melalui antara muka hidung di bilik bersalin mungkin mempunyai sedikit hingga tiada kesan terhadap kadar kematian sebelum discaj, berbanding topeng muka. Ia mungkin mengurangkan bilangan bayi baru lahir yang diintubasi dalam bilik bersalin, tetapi buktinya sangat tidak pasti. Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan memberikan sokongan pernafasan dengan antara muka hidung terhadap kadar intubasi dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran; kadar intubasi semasa dimasukkan ke hospital, sebaik sahaja mereka meninggalkan bilik bersalin; atau pendarahan di dalam otak. Menggunakan antara muka hidung mungkin mempunyai sedikit hingga tiada kesan terhadap kadar komplikasi paru-paru (contohnya penyakit paru-paru kronik, atau kebocoran udara).
Meskipun dengan ketidakpastian ini, keputusan kami menunjukkan bahawa antara muka hidung dan topeng muka berkemungkinan sama berkesan untuk memberikan sokongan pernafasan di bilik bersalin.
Kami mendapati satu kajian yang masih berjalan membandingkan topeng hidung dengan topeng muka untuk memberikan sokongan pernafasan kepada bayi di bilik bersalin.
Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan antara muka hidung dengan topeng saluran pernafasan larinks atau satu jenis antara muka hidung dengan yang lain.
Apakah batasan bukti?
Memakai antara muka hidung atau topeng muka adalah sukar untuk disembunyikan dan penjaga dalam semua kajian mengetahui kumpulan manakah yang telah diperuntukkan kepada bayi. Ini mungkin membawa kepada penjagaan yang tidak sama rata untuk kumpulan kajian yang berbeza. Tidak jelas sama ada kesan terhadap kadar intubasi di bilik bersalin adalah disebabkan oleh antara muka nasal atau sistem pernafasan baru yang digunakan dalam dua daripada lima kajian yang disertakan dalam analisa kami. Akibatnya, kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti dan keputusan dari kesan ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Carian adalah terkini setakat September 2022.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my, untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah (Universiti Sains Malaysia).