Apakah faedah dan risiko rituximab (ubat yang mengurangkan keradangan) untuk rawatan oftalmopati berkaitan dengan tiroid (penyakit yang menjejaskan tisu sekeliling mata)

Mesej utama
- Kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa orang dengan oftalmopati tiroid tahap sederhana hingga teruk yang mendapat rawatan dengan rituximab mempunyai hasil berbeza dari segi tanda dan gejala penyakit berbanding rawatan dengan steroid atau plasebo (rawatan dummy).

- Rituximab boleh menyebabkan lebih banyak kesan buruk (tidak diingini) berbanding steroid atau plasebo, tetapi kami tidak pasti tentang perkara ini.

- Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengukuhkan bukti dan menyiasat sama ada rituximab harus digunakan untuk rawatan oftalmopati yang berkaitan dengan tiroid.

Apakah oftalmopati berkaitan tiroid?
Oftalmopati yang berkaitan dengan tiroid ialah penyakit mata yang berlaku dalam kalangan sebahagian orang yang mempunyai penyakit Graves, keadaan di mana sistem imun badan menyerang kelenjar tiroid dan menjadikannya terlalu aktif. Dalam oftalmopati yang berkaitan dengan tiroid, sistem imun badan juga menyerang tisu di sekeliling mata. Gejala termasuk sakit mata, kemerahan, pembengkakan, penonjolan (proptosis), penglihatan berganda, dan dalam kes yang teruk, pengurangan penglihatan.

Bagaimanakah oftalmopati berkaitan tiroid dirawat?
Pilihan rawatan untuk oftalmopati berkaitan tiroid yang teruk termasuk ubat anti-radang yang dipanggil steroid, dan radioterapi. Walau bagaimanapun, kambuh adalah perkara biasa. Pembedahan untuk melegakan tekanan di belakang mata (penyahmampatan orbital) biasanya dikhaskan untuk kes yang mengancam penglihatan.

Rawatan alternatif yang boleh digunakan adalah ubat suntikan yang dipanggil tocilizumab, yang bertujuan untuk menghentikan sistem pertahanan badan (sistem imun) daripada menyerang tisunya yang sihat dan menyebabkan keradangan.

Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin membandingkan faedah dan risiko rituximab dengan rawatan lain untuk oftalmopati berkaitan tiroid.

Apakah yang telah kami ulaskan?
Kami mencari kajian yang membandingkan rituximab dengan rawatan plasebo (dummy) atau rawatan steroid untuk oftalmopati yang berkaitan dengan tiroid. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti metodologi dan saiz kumpulan peserta kajian.

Apakah yang telah kami temui?
Kami mendapati dua kajian, dijalankan di Itali dan Amerika Syarikat, melibatkan sejumlah 56 orang dengan oftalmopati berkaitan tiroid. Semua orang yang mengambil bahagian dalam kajian ini berumur 18 hingga 80 tahun (purata umur 55 tahun) dan 77% adalah wanita. Satu kajian (31 orang) membandingkan rituximab intravena (2 x 1000 mg infusi yang diberi selang 2 minggu atau satu infusi 500 mg) kepada methylprednisolone intravena (steroid). Kajian lain (25 orang) membandingkan rituximab intravena (2 x 1000 mg infusi dengan jarak 2 minggu) dengan infus plasebo (dummy) intravena. Kajian-kajian tersebut melaporkan hasil rawatan dengan cara yang berbeza. Oleh itu, menjadi tidak mungkin untuk menggabungkan hasil-hasil kajian untuk menganalisis bersama.

Apakah hasil utama ulasan kami?
Bukti menunjukkan bahawa rituximab, berbanding methylprednisolone intravena, boleh menyebabkan peningkatan dalam tahap 'aktif' oftalmopati yang berkaitan tiroid pada 24 minggu selepas rawatan apabila diukur menggunakan satu skala tertentu, tetapi bukti sama ada terdapat perbezaan sebenar adalah tidak pasti. Tambahan pula, terdapat sedikit atau tiada perbezaan apabila aktiviti oftalmopati yang berkaitan tiroid diukur menggunakan skala yang berbeza. Tiada bukti perbezaan dalam hasil berikut, diukur 24 minggu selepas rawatan:

- pengurangan protrusi mata

- pengurangan seberapa luas kelopak mata terbuka

- peningkatan dalam pergerakan mata dan penglihatan berganda

- peningkatan kualiti hidup

Bukti menunjukkan bahawa rituximab, berbanding plasebo, menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam mana-mana hasil yang digariskan di atas, diukur pada 24 minggu selepas rawatan.

Bilangan kesan buruk adalah lebih tinggi untuk rituximab berbanding kedua-dua methylprednisolone intravena dan plasebo, tetapi bukti sama ada terdapat perbezaan sebenar adalah tidak pasti.

Apakah batasan bukti yang disertakan?
Bukti hanya berdasarkan dua kajian dengan sedikit peserta, dan kedua-dua kajian ini dihentikan lebih awal daripada yang dirancang, yang menghadkan keyakinan kami terhadap penemuan kajian.

Adakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi amandayapqy@gmail.com

Tools
Information