Ujian darah najis manakah yang lebih tepat dalam mengesan kanser usus dan polip besar dalam saringan massa?

Latar belakang
Salah satu jenis kanser yang paling kerap didiagnosis ialah kanser usus besar atau kolorektal (CRC). Pengesanan awal sebelum gejala muncul memudahkan rawatan kanser usus dan meningkatkan peluang kelangsungan hidup. Mengambil bahagian dalam program pemeriksaan kanser usus menjurus kepada pengesanan awal dan membolehkan penyingkiran polip besar atau lanjutan (adenoma tahap lanjut), yang dianggap sebagai perintis kepada kanser usus. Ujian najis ringkas digunakan untuk mengesan darah dalam najis yang merupakan tanda awal kanser usus atau polip usus. Dua jenis ujian darah najis yang digunakan dalam saringan massa ialah ujian darah samar najis berasaskan guaiac (gFOBTs) dan ujian imunokimia najis (FITs). Kajian-kajian terdahulu yang berskala besar telah membuktikan bahawa saringan menggunakan gFOBT dapat mengurangkan angka kematian. Dalam satu semakan sistematik penulisan, kami membandingkan ketepatan kedua-dua ujian ini untuk menilai ujian saringan manakah yang memberikan hasil terbaik dari segi saringan kanser usus, dan keduanya untuk neoplasia lanjutan (istilah yang merangkumi kanser usus dan juga polip tahap lanjut) .

Perincian kajian
Kami menjalankan carian pangkalan data dalam talian yang terperinci untuk mengenalpasti kajian-kajian yang menilai atau membandingkan keberkesanan mana-mana daripada dua ujian ini dalam saringan kanser kolorektal (CRC). Ulasan ini hanya melibatkan kajian-kajian dalam golongan individu berisiko sederhana yang berusia lebih daripada 40 tahun serta tidak bergejala (asimtomatik). Pemeriksaan endoskopik seluruh usus besar menggunakan tiub mudahlentur berkamera yang melewati liang dubur (iaitu kolonoskopi), dijadikan sebagai tolok piawai rujukan untuk membandingkan keputusan hasil-hasil ujian tinja tersebut. Kami mengulas dua golongan kajian: pertamanya, kajian di mana semua peserta menjalani ujian najis dan juga kolonoskopi; dan keduanya, kajian di mana hanya peserta yang memperoleh keputusan ujian najis yang kurang memuaskan sahaja dipilih untuk menjalani kolonoskopi. Dalam kajian-kajian ini, peserta yang tidak menjalani kolonoskopi selepas ujian najis dipantaususul selama sekurang-kurangnya setahun untuk memerhatikan samada mereka akan akhirnya didiagnosis dengan kanser kolorektal atau tidak. Bukti adalah terkini sehingga Julai 25. Kami telah menjalankan pencarian isi ulang pada 14 September 2021, di mana kami hanya mengenalpasti satu lagi kajian yang mungkin layak dirangkumi dalam ulasan ini, dan kajian tersebut kini sedang menunggu klasifikasi.

Ciri-ciri kajianCiri-ciri kajian

'Peserta saringan' gFOBT – iaitu orang yang mengambil bahagian dalam saringan – diarahkan untuk memungut dua sampel najis daripada tiga pergerakan usus berturut-turut dan mencalitnya pada enam panel najis. Jika terdapat darah dalam najis, panel tersebut akan berubah warna. Bilangan panel berwarna yang diperlukan untuk melayakkan seseorang peserta dirujuk untuk kolonoskopi berbeza mengikut program saringan yang dijalankan. Dalam kebanyakan program saringan, satu panel berwarna dianggap memadai untuk melayakkan peserta untuk rujukan kolonoskopi; namun, dalam sesetengah program saringan yang lain, bilangan panel berwarna ditetapkan pada sekurang-kurangnya lima daripada enam buah.

Peserta pemeriksaan FIT diarahkan untuk mengumpul satu sampel najis daripada satu pergerakan usus, dan mengumpulnya dengan berus atau spatula lalu memasukkan najis ke dalam tiub. Tiub ini kemudiannya dihantar ke makmal untuk penaksiran kepekatan darah dalam najis. Bergantung pada tahap kepekatan ini, samada tahap ini berada di atas atau di bawah apa yang diistilahkan cut-off atau nilai ambang, peserta saringan akan dirujuk untuk kolonoskopi. Nilai ambang ini berbeza mengikut program saringan.

Keputusan utama
Kami menganalisis 63 kajian yang merangkumi hampir 4 juta peserta. Keputusan ulasan ini menunjukkan bahawa (secara teori) jika 10,000 orang mengambil bahagian dalam pemeriksaan ujian darah najis dan 100 orang dalam kumpulan ini ternyata menghidap kanser kolorektal:

- dalam kalangan 100 orang peserta yang sememangnya menghidap kanser kolorektal, 24 kes akan gagal dikesan sekiranya disaring menggunakan ujian FIT.

- dalam kalangan 100 orang peserta yang sememangnya menghidap kanser kolorektal, 61 kes akan gagal dikesan sekiranya disaring menggunakan ujian gFOBT.

Kami juga meneliti golongan peserta yang menghidap polip besar, kanser kolorektal, atau kedua-duanya serentak. Secara teori, jika 10,000 orang mengambil bahagian dalam pemeriksaan ujian darah tinja dan 1000 orang dalam kumpulan ini didapati menghidap polip besar, kanser kolorektal atau kedua-duanya sekali:

- dalam kalangan 1000 orang peserta yang menghidap polip besar, kanser kolorektal atau kedua-duanya serentak, 850 kes akan gagal dikesan sekiranya disaring menggunakan ujian gFOBT.

- dalam kalangan 1000 orang peserta yang menghidap polip besar, kanser kolorektal atau kedua-duanya serentak, 670 kes akan gagal dikesan sekiranya disaring menggunakan ujian FIT.

Dalam kumpulan 10,000 peserta ini:

- 594 orang yang disaring dengan FIT akan dirujuk untuk kolonoskopi yang 'tidak perlu' (‘tidak perlu’ kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai kanser kolorektal); manakala

- 594 orang yang disaring dengan gFOBT akan dirujuk untuk kolonoskopi yang 'tidak perlu'.

Berdasarkan keputusan yang diperincikan di atas, kita dapat merumuskan bahawa bilangan kes gagalkesan apabila saringan dijalankan menggunakan FIT ternyata kurang jika dibandingkan dengan saringan menggunakan FOBT, manakala bilangan peserta yang dirujuk untuk kolonoskopi yang ‘tidak perlu’ adalah sama untuk kedua-dua jenis ujian najis tersebut.

Sejauh manakah keputusan kajian dalam ulasan ini dapat boleh diharapkan?
Keputusan kajian-kajian ini dapat dipercayai, kerana kebanyakan kajian yang dirangkumi dalam ulasan ini memenuhi mutu kriteria yang telah kami tetapkan sebelum memulakan ulasan ini.

Penyelidikan masa depan
Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menyiasat samada saringan menggunakan FIT dapat mengurangkan bilangan kes dan angka kematian kanser usus secara jangka panjang, dan untuk membandingkan hasil ini dengan kaedah saringan menggunakan gFOBT.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information