Oksitosin disuntik ke dalam vena atau otot untuk mengurangkan kehilangan darah selepas kelahiran faraj

Kami ingin mencari bukti dari kajian rawak terkawal tentang keberkesanan dan keselamatan oksitosin yang disuntik ke dalam vena, berbanding suntikan ke otot, untuk mencegah perdarahan berlebihan sejurus selepas kelahiran faraj.

Apakah isunya?

Kebanyakan kematian ibu berlaku dalam 24 jam pertama selepas bersalin. Hampir satu per empat adalah disebabkan oleh perdarahan berlebihan (disebut perdarahan postpartum). Di negara berpendapatan rendah, ubat-ubatan untuk mencegah atau merawat pendarahan postpartum (uterotonik) tidak selalu tersedia. Oksitosin adalah salah satu ubat tersebut. Oksitosin mencegah perdarahan postpartum berlebihan dengan membantu rahim mengecut. Ia diberi kepada ibu melalui suntikan vena atau otot semasa atau sejurus selepas kelahiran bayinya.

Mengapa ini penting?

Kehilangan darah selepas kelahiran bayi bergantung kepada berapa cepat plasenta berpisah dari rahim dan berapa baik rahim mengecut untuk menutup saluran darah yang membawa darah ke plasenta.

Oksitosin yang diberi secara langsung ke vena mempunyai kesan yang segera dan bertahan untuk jangka masa yang relatif singkat. Apabila disuntik ke otot, oksitosin mengambil beberapa minit untuk bertindak, tetapi kesannya bertahan lebih lama. Memberi suntikan vena memerlukan kemahiran khas dan peralatan steril yang mungkin tidak selalu tersedia. Sebaliknya, suntikan ke otot adalah cepat dan memerlukan kurang kemahiran.

Oksitosin yang disuntik ke vena kadang-kadang boleh menyebabkan kesan sampingan serius, seperti penurunan tekanan darah mendadak, terutama apabila diberi dengan cepat dalam amaun yang sedikit (tidak dicairkan).

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti dari kajian rawak terkawal pada 19 Disember 2019 dan mengenal pasti tujuh kajian (melibatkan 7817 wanita). Kajian membandingkan oksitosin yang disuntik ke vena dengan suntikan ke otot semasa atau sejurus selepas kelahiran faraj. Semua kajian dilakukan di hospital dan kebanyakan wanita yang direkrut melahirkan bayi yang cukup masa melalui faraj. Dalam semua kajian kecuali dua, kedua-dua wanita dan kakitangan hospital menyedari cara oksitosin diberi. Ini mungkin memberi impak kepada keputusan. Secara keseluruhan, kajian-kajian yang disertakan berisiko bias sederhana atau rendah, dan kepastian bukti yang terhasil adalah sederhana hingga tinggi.

Kami mendapati wanita yang menerima oksitosin melalui vena berisiko lebih rendah untuk kehilangan darah 500 mL atau lebih (enam kajian; 7731 wanita) dan transfusi darah (empat kajian; 6684 wanita) berbanding wanita yang menerima oksitosin ke otot. Terdapat bukti kepastian tinggi untuk kedua-dua hasil ini. Pemberian oksitosin melalui vena mungkin mengurangkan risiko kehilangan darah yang teruk sebanyak 1000 mL atau lebih, berbanding oksitosin melalui otot (empat kajian; 6681 wanita; bukti kepastian sederhana). Dua kajian berkualiti tinggi (1512 wanita) mendapati suntikan oksitosin ke vena mengurangkan risiko kehilangan darah 1000 mL atau lebih, berbanding suntikan oksitosin ke otot. Walaupun kedua-dua cara pemberian oksitosin mungkin serupa dalam hal wanita yang memerlukan ubat tambahan untuk mengecutkan rahim, kami kurang yakin dengan hasil ini (enam kajian; 7327 wanita; bukti kepastian rendah). Kedua-dua laluan oksitosin kelihatan selamat dengan bilangan wanita yang sama mengalami kesan sampingan, termasuk tekanan darah rendah (empat kajian; 6468 wanita; bukti kepastian sederhana). Mungkin kurang wanita yang menerima oksitosin melalui vena mengalami komplikasi serius yang berkaitan dengan perdarahan berlebihan, seperti kemasukan ke rawatan intensif, hilang kesedaran, atau kegagalan organ (empat kajian; 7028 wanita; bukti kepastian sederhana). Tiada kematian ibu dalam semua kajian yang disertakan.

Kajian tidak melaporkan kepuasan wanita dan kakitangan kesihatan dengan cara pemberian oksitosin.

Apakah maksudnya?

Oksitosin lebih berkesan apabila diberi melalui vena berbanding oksitosin yang disuntik ke otot untuk mencegah perdarahan berlebihan sejurus selepas kelahiran faraj. Memberi oksitosin ke vena tidak menyebabkan masalah keselamatan tambahan dan mempunyai kesan sampingan yang serupa berbanding oksitosin yang disuntik ke otot. Kajian masa depan perlu mempertimbang penerimaan kedua-dua cara pemberian oksitosin kepada wanita dan penyedia penjagaan kesihatan sebagai hasil kajian penting. Juga penting untuk menyiasat sama ada faedah memberi oksitosin ke vena melebihi kos yang lebih tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information