Senaman untuk rawatan sakit belakang yang kronik

Adakah senaman adalah terapi yang berkesan untuk merawat sakit belakang yang berpanjangan?

Mesej utama

- Senaman mungkin mengurangkan kesakitan berbanding tanpa rawatan, penjagaan biasa atau plasebo pada orang dengan sakit belakang yang berpanjangan (kronik).

- Senaman boleh mengurangkan kesakitan dan memperbaiki kehilangan upaya berbanding dengan rawatan biasa seperti elektroterapi atau pendidikan.

- Terdapat banyak penyelidikan dalam bidang ini tetapi kami memerlukan kajian yang lebih besar dan dirancang dengan lebih baik untuk membolehkan kami membuat kesimpulan yang kukuh.

Bagaimanakah senaman dapat membantu orang yang mengalami sakit belakang yang berpanjangan?

Sakit belakang yang berpanjangan (kronik) adalah penyebab kehilangan upaya biasa di seluruh dunia dan mahal dari segi kos penjagaan kesihatan dan kehilangan waktu kerja. Terapi senaman bertujuan untuk meningkatkan kekuatan otot dan sendi, dan meningkatkan fungsi otot dan julat pergerakan. Ini akan mengurangkan kesakitan dan kehilangan upaya, dan mempercepatkan pemulihan dan kembali ke aktiviti biasa. Terapi senaman direka bentuk atau ditetapkan oleh profesional kesihatan dan merangkumi pelbagai jenis senaman, tempoh, dan kaedah pelaksanaan. Contoh terapi senaman termasuk program kecergasan fizikal umum yang disampaikan dalam kumpulan, senaman aerobik dalam bentuk program berjalan kaki, dan penguatan otot atau kumpulan otot tertentu untuk meningkatkan kestabilan teras.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada senaman dapat memperbaiki kesakitan dan kehilangan upaya bagi orang yang mengalami sakit belakang yang kronik lebih baik berbanding dengan tanpa rawatan, penjagaan biasa, plasebo atau rawatan biasa yang lain. Dalam ulasan kami, sakit belakang kronik adalah sakit yang berlangsung selama tiga bulan atau lebih lama atau hilang tetapi kembali lebih dari dua kali dalam satu tahun. Ia tidak mempunyai sebab tertentu seperti tumor atau kecederaan. Contoh rawatan biasa adalah manipulasi tulang belakang, atau terapi psikologi. 'Penjagaan biasa' adalah penjagaan yang diberikan oleh doktor keluarga.

Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menilai kesan terapi senaman terhadap kesakitan atau kehilangan upaya berbanding tanpa rawatan, penjagaan biasa, plasebo atau rawatan biasa yang lain. Orang dalam kajian ini mestilah orang dewasa dengan sakit belakang kronik.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 249 kajian yang melibatkan 24,486 orang. Sebilangan besar kajian berlaku di Eropah (122 kajian); lokasi kajian yang lain adalah Asia, Amerika Utara, dan Timur Tengah. Purata umur para peserta adalah 43.7 tahun; 59% adalah wanita. Purata intensiti kesakitan peserta pada awal kajian adalah 51 mata pada skala 100-mata, di mana 100 adalah paling sakit. Mereka mengalami sakit belakang selama 12 minggu hingga 3 tahun (78 kajian) atau lebih lama daripada 3 tahun (72 kajian); 99 kajian tidak melaporkan berapa lama peserta mereka mengalami sakit belakang.

Enam puluh satu peratus kajian (151 kajian) mengkaji keberkesanan dua atau lebih jenis senaman yang berbeza, dan 57% (142 kajian) membandingkan terapi senaman dengan rawatan bukan senaman. Jenis senaman yang paling biasa adalah pengukuhan teras (127 kumpulan kajian), senaman campuran (>2 jenis) (109 kumpulan kajian), Pilates (29 kumpulan kajian), senaman pengukuhan umum (52 kumpulan kajian), dan senaman aerobik (30 kajian kumpulan). Sesi senaman dilakukan secara satu-satu dengan penyedia perkhidmatan kesihatan (163 kumpulan kajian) atau dalam kelas senaman kumpulan (162 kumpulan kajian). Lebih daripada separuh kajian memasukkan rawatan lain di samping senaman (247 kumpulan kajian), termasuk pendidikan atau nasihat (137 kumpulan kajian), elektroterapi (46 kumpulan kajian), atau terapi manual (21 kumpulan kajian).

Kebanyakan kajian mengukur kesakitan (223 kajian) dan kehilangan upaya (223 kajian). Hanya 12 kajian melaporkan data yang dapat kami gunakan pada kesan rawatan yang tidak diingini. Kajian menyusuli peserta dalam jangka pendek (6 hingga 12 minggu; 184 kajian); jangka sederhana (13 hingga 47 minggu; 121 kajian) dan jangka panjang (48 minggu atau lebih, 69 kajian).

Kami juga mengenal pasti 172 kajian terbaru yang akan kami tambahkan ke versi ulasan kami yang seterusnya.

Keputusan utama

Orang yang menerima terapi senaman menilaikan kesakitan mereka purata 15 mata lebih baik dan kehilangan upaya mereka 7 mata lebih baik, pada skala 0 hingga 100, tiga bulan selepas permulaan rawatan berbanding dengan orang yang tiada rawatan, penjagaan biasa atau plasebo. Senaman mungkin lebih berkesan untuk kesakitan (35 kajian, 2746 orang) dan mungkin sedikit lebih berkesan untuk kehilangan upaya (38 kajian, 2942 orang) daripada tiada rawatan, penjagaan biasa atau plasebo pada semua masa susulan.

Senaman mungkin lebih berkesan untuk kesakitan (64 kajian, 6295 orang) dan mungkin lebih berkesan untuk kehilangan upaya (52 kajian, 6004 orang) daripada rawatan biasa dalam jangka pendek dan sederhana.

Beberapa kajian melaporkan kebanyakan kesan senaman yang tidak diingini adalah minor, yang paling sering adalah peningkatan sakit belakang dan lenguh otot. Walau bagaimanapun, kumpulan yang tidak bersenam melaporkan jenis dan jumlah kesan tidak diingini yang serupa.

Apakah batasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad. Kajian menggunakan terapi senaman dengan cara yang berbeza dan seterusnya melaporkan keputusan yang berbeza antara satu sama lain. Beberapa kajian adalah sangat kecil – purata jumlah peserta hanya 98 orang. Ada kemungkinan bahawa reka bentuk beberapa kajian mungkin menjadikan manfaat senaman kelihatan lebih besar daripada yang ada.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini hingga 28 April 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information