Perencat fosfodiesterase untuk rawatan masalah kencing dalam kalangan lelaki dengan hiperplasia prostat benigna

Soalan ulasan

Apakah kesan perencat fosfodiesterase berbanding ubat-ubatan lain, dalam kalangan lelaki dengan simptom kencing yang dianggap akibat prostat yang membesar?

Latar belakang

Masalah berkaitan dengan kencing, terutama dalam kalangan lelaki berusia, kerap disebabkan oleh hiperplasia prostat benigna. Ubat seperti perengcat alfa dan perencat 5-alfa reduktase lazim diguna untuk merawat simptom-simptom ini. Ia membantu mengawal simptom tetapi boleh memberi kesan yang tidak diingini. Perencat fosfodiesterase adalah ubat yang telah lama diguna untuk membantu lelaki mencapai ereksi lebih baik. Ubat ini juga membantu memperbaik simptom kencing dalam kalangan lelaki dengan hiperplasia prostat benigna.

Tarikh carian

Kami mencari kajian rawak yang mengkaji rawatan-rawatan ini sehingga 2 Ogos 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui sejumlah 16 kajian. Semua kajian melibatkan kebanyakan lelaki, berumur lebih 60 tahun, dengan simptom kencing sederhana hingga teruk. Kebanyakan kajian dibiaya oleh syarikat yang membuat ubat-ubatan ini.

Keputusan utama

Berbanding plasebo, perencat fosfodiesterase mungkin menyebabkan simptom kencing sedikit lebih baik dan mengurangkan gangguan, tetapi ia juga mungkin menyebabkan lebih kesan ubat yang tidak diingini.

Mungkin tiada perbezaan antara perencat fosfodiesterase dan perencat alfa dalam memperbaik simptom kencing, mungkin tiada perbezaan gangguan simptom, atau kesan ubat yang tidak diingini.

Mengambil perencat fosfodiesterase dengan perencat alfa mungkin memperbaik simptom kencing sedikit lebih daripada mengambil perencat alfa sahaja. Kami tidak menemui bukti tentang gangguan kencing. Walau bagaimanapun, rawatan kombinasi mungkin mengakibatkan lebih banyak kesan ubat yang tidak diingini.

Mengambil perencat fosfodiesterase dengan perencat alfa mungkin memperbaik simptom kencing sedikit lebih daripada mengambil perencat alfa sahaja. Kami tidak menemui bukti tentang gangguan atau kesan ubat yang tidak diingini.

Untuk jangka masa pendek (sehingga 12 minggu), kombinasi perencat fosfodiesterase dengan perencat 5-alfa reduktase mungkin membuat simptom kencing sedikit lebih baik berbanding mengambil perencat 5-alfa reduktase sahaja, tetapi kesannya mungkin terlalu kecil untuk dilihat. Kami tidak menemui bukti tentang gangguan, ataupun kadar kesan ubat yang tidak diingini. Apabila diambil lebih lama (13 hingga 26 minggu), rawatan kombinasi mungkin memperbaik simptom kencing sedikit sehingga tidak ketara. Kami tidak menemui bukti tentang gangguan kencing. Kesan ubat yang tidak diingini mungkin serupa.

Kami tidak menemui bukti untuk rawatan kombinasi lain atau perbandingan pelbagai perencat fosfodiesterase lain. Kebanyakan kajian hanya menyelidik penggunaan jangka pendek ubat-ubatan ini (sehingga 12 minggu); oleh itu, kesan jangka panjang tidak diketahui.

Kualiti bukti

Kami menilai kebanyakan bukti sebagai sederhana atau rendah, yang bermaksud kami tidak pasti dengan keputusan sebenar. Kesan sebenarnya mungkin serupa atau agak berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information