Hilang pendengaran selepas rawatan termasuk analog platinum untuk kanser kanak-kanak

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai hubungan antara rawatan kanser kanak-kanak termasuk analog platinum dan kejadian hilang pendengaran.

Latar belakang

Terapi berasaskan platinum seperti cisplatin, carboplatin dan oxaliplatin digunakan untuk merawat pelbagai jenis kanser dalam kalangan kanak-kanak. Malangnya, salah satu kesan sampingan yang paling penting ialah hilang pendengaran atau ototoksisiti. Terdapat variasi yang luas dalam kekerapan ototoksisiti disebabkan platinum yang dilaporkan dan faktor risiko yang berkaitan (suatu keadaan, gaya hidup atau persekitaran yang mempengaruhi kebarangkalian berlakunya hilang pendengaran). Lebih banyak pemahaman tentang kekerapan dan faktor risiko adalah penting untuk menambahbaik rawatan bagi kanak-kanak yang menghidap kanser dan untuk membangunkan cara lebih baik bagi memantau (dipanggil susulan) pesakit yang telah dirawat dengan terapi berasaskan platinum.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga September 2015.

Kami menemui 13 kajian melibatkan 2837 peserta dengan ujian pendengaran selepas terapi berasaskan platinum untuk pelbagai jenis kanser kanak-kanak. Peserta telah dirawat dengan cisplatin, carboplatin atau kedua-duanya, dengan dos yang berbeza-beza. Kesemua kajian adalah sangat berbeza dari segi definisi hilang pendengaran, ujian diagnostik yang digunakan, ciri-ciri peserta, rawatan anti-kanser terdahulu, ubatan ototoksik yang lain dan tempoh susulan.

Keputusan utama

Kekerapan hilang pendengaran yang dilaporkan berbeza-beza antara 0% hingga 90.1%; tiada kajian yang memberikan data mengenai tinnitus (iaitu, berdesing di telinga). Tiga kajian melaporkan kekerapan sebanyak 0%, namun tiada satu pun daripada kajian ini yang memberikan definisi hilang pendengaran dan mungkin terdapat pertindihan yang ketara atau keseluruhan dalam peserta yang terlibat dalam ketiga-tiga kajian ini. Apabila hanya kajian yang memberikan definisi untuk hilang pendengaran disertakan, kekerapan hilang pendengaran masih berbeza antara 1.7% hingga 90.1%.

Hanya dua kajian melibatkan mereka yang tidak menerima rawatan platinum (dipanggil kumpulan kawalan). Dalam satu kajian, kekerapan hilang pendengaran adalah 67.1% dalam kalangan mereka yang dirawat dengan platinum, manakala dalam kumpulan kawalan adalah 7.4%. Dalam kajian yang lain, kekerapan hilang pendengaran adalah 20.1% dalam kalangan mereka yang dirawat dengan platinum dan 0.44% dalam kumpulan kawalan. Tetapi disebabkan masalah metodologi kajian-kajian ini, adalah tidak jelas sejauh mana keputusan ini boleh dipercayai.

Hanya dua kajian menilai faktor risiko yang mungkin berlaku. Satu kajian mendapati risiko hilang pendengaran yang lebih tinggi dalam kalangan mereka yang dirawat dengan cisplatin 400 mg/m 2 serta carboplatin 1700 mg/m 2 berbanding rawatan dengan cisplatin 400 mg/m 2 atau kurang, tanpa mengira definisi hilang pendengaran. Mereka juga menemui risiko hilang pendengaran yang lebih tinggi dalam kalangan mereka yang dirawat dengan antibiotik aminoglikosida bukan antrasiklin (iaitu, sejenis antibiotik) apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak dirawat dengan antibiotik ini, untuk tiga daripada empat definisi hilang pendengaran. Kajian lain melaporkan bahawa umur semasa rawatan (risiko lebih rendah pada kanak-kanak yang lebih berusia) dan dos tunggal maksimum cisplatin (risiko lebih tinggi dengan peningkatan dos) adalah peramal yang signifikan untuk hilang pendengaran, manakala jantina bukan faktor peramal.

Berdasarkan bukti sedia ada pada masa kini, kami hanya dapat menyarankan supaya kanak-kanak yang dirawat dengan analog platinum disaring untuk ototoksisiti bagi membolehkan hilang pendengaran didiagnosa awal dan langkah yang sepatutnya dapat diambil. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat memberikan cadangan untuk kaedah susulan khusus termasuk seberapa kerap ujian pendengaran dilakukan. Kaunseling mengenai pencegahan pencemaran bunyi bising boleh dipertimbangkan, seperti penggunaan peralatan mengehadkan bising, mengelakkan pekerjaan yang melibatkan bunyi bising berlebihan dan ubatan ototoksik. Sebelum kesimpulan muktamad mengenai kekerapan hilang pendengaran berlaku (dipanggil prevalens) dan faktor risiko berkaitan ototoksisiti disebabkan platinum boleh dibuat, lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan.

Kualiti bukti

Kesemua kajian mempunyai masalah berkaitan dengan kualiti bukti.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information