Soalan ulasan
Estrogen digunakan secara meluas untuk menyekat ovulasi, terutamanya sebagai satu kontraseptif. Ini adalah ulasan sistematik yang pertama bertujuan menilai keberkesanan dan keselamatan persediaan yang mengandungi estrogen bukan kontraseptif (oral, tampalan, implan dan gel) untuk mengawal gejala-gejala sindrom prahaid (PMS).
Latar belakang
PMS dicirikan oleh pelbagai gejala fizikal, psikologi dan tingkah laku yang tidak disebabkan oleh sebarang penyakit organik, dan berlaku semasa fasa luteal (separuh kedua) kitaran haid dan hilang pada permulaan haid. Terkini ia dianggap keadaan yang disebabkan oleh interaksi kompleks antara steroid dari ovari dan neurotransmiter. Diagnosis klinikal memerlukan gejala-gejala disahkan oleh rakaman prospektif selama sekurang-kurangnya dua kitaran haid dan bahawa ia menyebabkan distres yang besar atau gangguan kehidupan seharian (misalnya kerja, sekolah, aktiviti sosial, hobi, hubungan interpersonal).
Ciri-ciri kajian
Ulasan ini mengenal pasti 524 artikel relevan yang berpotensi. Hanya lima kajian rawak terkawal memenuhi kriteria kemasukan kami, dan ini membandingkan estrogen dengan plasebo dalam sejumlah 305 wanita yang didiagnos secara klinikal dengan PMS.
Keputusan utama
Kami mendapati bukti berkualiti sangat rendah untuk mencadangkan estrogen oral pada fasa luteal kitaran haid mungkin tidak berkesan mengawal gejala-gejala PMS dan mungkin juga membuatnya lebih teruk. Terdapat bukti berkualiti sangat rendah untuk menyokong keberkesanan estrogen berterusan (dalam bentuk tampalan transdermal atau implan subkutaneus) ditambah progestogen, dengan saiz kesan yang kecil hingga sederhana. Perbandingan antara dos 200 microgram dan 100 microgram estrogen yang berterusan adalah tidak konlusif keberkesanannya tetapi dicadangkan dos yang lebih rendah kurang cenderung untuk menyebabkan kesan sampingan. Ketakpastian keselamatannya kekal kerana kajian yang dikenal pasti adalah terlalu kecil untuk memberi jawapan pasti. Tambahan pula, kajian-kajian yang dimasukkan tidak menangani kesan-kesan buruk yang mungkin berlaku melebihi tempoh kajian 2 hingga 8 bulan. Ini mencadangkan pemilihan dos estrogen dan cara pemberian boleh berdasarkan keutamaan individu wanita dan diubahsuai mengikut keberkesanan dan tolerans rejim pilihan.
kualiti bukti
Secara keseluruhan kualiti bukti untuk semua perbandingan adalah digred sangat rendah, terutamanya disebabkan oleh risiko bias dalam kajian yang dimasukkan, ketidaktepatan (disebabkan oleh saiz sampel yang kecil) dan perbezaan di antara kajian-kajian.
Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi nila@pmc.edu.my.