Tiub nasogastrik berbanding tiub nasojejunal untuk memberi makan pesakit dengan radang pankreas akut yang teruk

Soalan ulasan

Kami ingin menilai sama ada terdapat perbezaan dalam keselamatan dan keberkesanan apabila pesakit yang mempunyai radang pankreas akut yang teruk (pankreatitis) diberi makan nutrisi cecair semasa penyakit akut menggunakan tiub hidung yang dimasukkan ke dalam perut (tiub nasogastrik) berbanding tiub yang dimasukkan ke dalam bahagian atas usus kecil (tiub nasojejunal).

Latar belakang

Pankreatitis akut adalah keadaan radang yang boleh disebabkan oleh banyak punca, yang mana pengambilan alkohol secara berlebihan dan batu hempedu adalah yang paling biasa. Kebanyakan pesakit dengan penyakit tersebut mengalami serangan ringan dan pulih, kebiasaannya dalam masa seminggu. Semasa tempoh ini, suapan oral akan dihentikan sehingga rasa sakit hilang. Namun, satu dalam lima pesakit dengan pankreatitis akut akan mengalami keadaan yang lebih teruk yang boleh mengakibatkan jangkitan, kejutan, kegagalan organ, malah kematian. Pesakit dengan pankreatitis akut yang teruk memerlukan bantuan nutrisi. Suapan nutrien cecair melalui tiub ke dalam perut atau usus kecil adalah lebih disukai berbanding suapan intravena kerana ia menyebabkan kurang jangkitan, komplikasi yang serius, dan kematian. Namun, bagi membolehkan suapan tiub menjadi berkesan, ia mestilah dimulakan dalam tempoh 48 jam yang pertama. Suapan nutrien melalui tiub nasojejunal yang melangkau perut difikirkan boleh mencegah rangsangan pankreas, dengan itu merehatkan pankreas yang radang. Namun, memasukan tiub nasojejunal memerlukan kepakaran teknikal dan sumber yang boleh melambatkan permulaan suapan. Tiub nasogastrik adalah lebih mudah untuk dimasukkan berbanding tiub nasojejunal, dan penggunaannya boleh mencegah kelewatan untuk memulakan suapan.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui lima ujian rawak (ujian yang mana peserta diberikan salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang melibatkan 220 peserta dewasa dengan pankreatitis akut yang teruk dari India, Scotland, dan Amerika Syarikat dan yang membandingkan suapan melalui tiub nasogastrik berbanding tiub nasojejunal. Bukti-bukti adalah terkini sehingga 17 Oktober 2019.

Keputusan-keputusan utama

Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara laluan suapan hidung bagi kematian, kejayaan untuk memberi makan, dan komplikasi suapan. Bukti semasa adalah tidak cukup untuk mencadangkan sama ada terdapat apa-apa kelebihan atau kekurangan bagi mana-mana kaedah suapan tiub dalam pesakit pankreatitis akut yang teruk.

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah sangat rendah bagi semua hasil. Keyakinan kami terhadap bukti kajian berkurangan kerana bilangan peserta kajian adalah kecil, yang mana ianya boleh membawa kepada keputusan yang kurang tepat, dan kaedah-kaedah yang digunakan dalam beberapa kajian untuk diagnosis dan rawatan adalah berbeza dengan kaedah yang diterima buat masa ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Sabrina Rosli (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information