Apakah isunya?
Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan sekurang-kurangnya empat lawatan antenatal untuk semua wanita hamil. Hampir separuh daripada wanita hamil di seluruh dunia terlepas tahap penjagaan ini, dan ini lebih bermasalah di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Mengapa ini penting?
Penjagaan kesihatan semasa kehamilan adalah satu keutamaan kerana kehadiran yang kurang untuk penjagaan antenatal dikaitkan dengan kelahiran bayi dengan berat lahir rendah dan lebih banyak kematian bayi yang baru lahir. Penjagaan antenatal juga memberi peluang untuk pemeriksaan pemakanan dan kesihatan, seperti sama ada seorang wanita menghidap penyakit seperti malaria atau telah terdedah kepada penyakit berjangkit seperti HIV (human immunodeficiency virus) atau sifilis.
Apakah bukti yang kami temui?
Kami mengulas kajian terkawal rawak yang menguji cara untuk meningkatkan pengambilan penjagaan antenatal semasa kehamilan. Beberapa kajian menguji intervensi berasaskan komuniti (kempen media, pendidikan tentang penjagaan diri dan bayi atau insentif kewangan untuk wanita hamil untuk menghadiri penjagaan antenatal), manakala kajian lain melihat intervensi sistem kesihatan (lawatan ke rumah untuk wanita hamil atau penyediaan peralatan untuk klinik). Kami menyertakan 34 kajian dengan kira-kira 400,000 wanita. Kebanyakan kajian berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana, dan kebanyakan kajian dijalankan dengan cara yang membuatkan kami berasa yakin untuk mempercayai laporan yang diterbitkan. Kami menilai 30 daripada 34 kajian mempunyai risiko bias keseluruhan yang rendah atau tidak jelas. Penarafan kualiti (tinggi, sederhana atau rendah) menunjukkan tahap keyakinan bahawa hasilnya adalah teguh dan bermakna.
Kajian yang membandingkan satu intervensi dengan tiada intervensi
Intervensi tunggal hanya meningkatkan sedikit bilangan wanita yang menghadiri empat lawatan antenatal (kualiti tinggi). Intervensi tidak menambah baik kadar kematian ibu (kualiti rendah), kematian bayi (kualiti sederhana) atau berat lahir rendah (kualiti tinggi). Walaupun begitu, intervensi membawa kepada peningkatan sederhana dalam bilangan wanita yang mempunyai sekurang-kurangnya satu lawatan antenatal (kualiti sederhana ) dan yang bersalin di kemudahan kesihatan (berkualiti tinggi). Bilangan wanita yang menerima rawatan pencegahan berselang untuk malaria tidak dilaporkan.
Kajian yang membandingkan dua atau lebih intervensi dengan tiada intervensi
Intervensi gabungan tidak meningkatkan bilangan wanita dengan empat atau lebih lawatan (kualiti rendah), atau mengurangkan kematian ibu (kualiti sederhana). Ia juga tidak meningkatkan bilangan wanita yang bersalin di kemudahan kesihatan (kualiti sederhana ). Walau bagaimanapun, lebih ramai wanita yang menerima intervensi gabungan mempunyai satu atau lebih lawatan antenatal (kualiti sederhana); terdapat juga pengurangan kematian bayi yang sedikit (kualiti sederhana) dan pengurangan bayi dengan berat lahir rendah yang sedikit (kualiti sederhana). Bilangan wanita yang menerima rawatan pencegahan berselang untuk malaria tidak dilaporkan.
Kami tidak menemui bukti bahawa kajian intervensi komuniti berfungsi secara berbeza daripada kajian intervensi sistem kesihatan.
Kajian yang membandingkan satu intervensi dengan intervensi lain - tiada kajian untuk perbandingan ini.
Kajian yang membandingkan satu intervensi dengan gabungan intervensi -Tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang menghadiri empat atau lebih lawatan antenatal (dan sekurang-kurangnya satu lawatan), kematian ibu, kematian bayi, bilangan kelahiran yang disambut di kemudahan kesihatan atau bilangan wanita yang menerima rawatan pencegahan berselang untuk malaria.
Apakah maksudnya?
Intervensi tunggal mungkin boleh meningkatkan liputan penjagaan antenatal (wanita yang menghadiri sekurang-kurangnya satu lawatan dan wanita yang menghadiri empat atau lebih lawatan) dan menggalakkan wanita untuk melahirkan bayi mereka di kemudahan kesihatan. Intervensi gabungan juga mungkin boleh meningkatkan liputan penjagaan antenatal (sekurang-kurangnya satu lawatan), mengurangkan kematian bayi dan mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan dengan berat lahir rendah.
Kami mengesyorkan agar kajian lanjut mengenai wanita hamil dan wanita dalam tahun reproduktif mereka menggunakan gabungan intervensi untuk memperoleh impak yang maksimum dan melihat hasil yang penting kepada wanita itu sendiri, seperti kematian ibu dan bayi atau status kesihatan rendah dan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiurd.edu.my