Latar belakang: kanser serviks (kanser pangkal rahim) adalah kanser yang keempat paling biasa dijumpai dalam kalangan wanita di seluruh dunia, dengan lebih kurang 569,847 kes baharu yang dikesan dan 311,365 kematian yang berlaku setiap tahun. Wanita biasanya mempunyai penyakit pada tahap lanjutan di negara membangun (berpendapatan rendah), di mana akses kepada program saringan serviks adalah terhad. Kanser serviks lanjutan mungkin tidak boleh disembuhkan dan wanita lazimnya memerlukan rawatan untuk mengawal simptom-simptom yang membimbangkan (rawatan paliatif), seperti pendarahan faraj. Pendarahan boleh menjadi teruk sehingga mengancam nyawa wanita yang menghidapi kanser serviks lanjutan. Pengurusan pendarahan faraj biasanya mencabarkan, terutamanya di negara membangun, di mana akses kepada radioterapi adalah terhad. Pilihan untuk rawatan paliatif bagi pendarahan faraj yang teruk termasuk rawatan radiologi intervensi (menggunakan sinar-x untuk membimbing penyelitan 'palam' ke dalam salur darah yang memberi bekalan darah kepada kanser) atau pemadatan faraj (di mana kain kasa dipadatkan ke dalam faraj untuk menyerap darah dan memberi tekanan secara langsung kepada serviks), walaupun rawatan-rawatan ini tidak berkesan sepenuhnya dan mungkin menyebabkan kemudaratan. Pemadat faraj boleh direndam dengan formalin, iaitu sejenis bahan kimia pengawet. Pilihan lain untuk rawatan pendarahan faraj yang teruk termasuk asid traneksamik (ubat yang mengurangkan pendarahan yang boleh diberikan melalui mulut atau suntikan) dan radioterapi (rawatan sinar-x bertenaga tinggi).
Soalan ulasan: tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan asid traneksamik, pemadatan faraj (sama ada menggunakan pemadat yang telah direndam dengan formalin atau tanpa formalin), radiologi intervensi atau intervensi-intervensi yang lain dengan rawatan radioterapi untuk mengawal pendarahan faraj pada kanser serviks.
Penemuan utama: carian telah dikemaskini sehingga Mac 2018. Kami mendapati tiada kajian terkawal rawak (kajian klinikal di mana pesakit dibahagikan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang boleh dimasukkan ke dalam ulasan ini, maka tiada bukti bahawa asid traneksamik, pemadatan faraj (sama ada menggunakan pemadat yang telah direndam dengan formalin atau tanpa formalin), teknik-teknik intervensi radiologi atau intervensi-intervensi yang lain adalah berkesan atau selamat seperti radioterapi untuk kawalan paliatif pendarahan dari faraj pada kanser serviks lanjutan. Terdapat keperluan untuk kajian terkawal rawak atau kajian-kajian komparatif tanpa rawak yang berkualiti tinggi untuk menilai keberkesanan dan keselamatan intervensi-intervensi ini dari segi kawalan simptom, kualiti hidup dan kesan sampingan apabila dibandingkan dengan radioterapi.
Kepastian bukti: tiada kajian memenuhi kriteria kemasukan, maka tiada bukti kepastian yang baik.
Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my.