Tonsilektomi berbanding tonsilotomi untuk pernafasan gangguan tidur obstruktif dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Ulasan ini membandingkan manfaat dan mudarat pembedahan pembuangan tonsil lengkap (tonsilektomi) dengan pembedahan untuk membuang sebahagian tonsil (tonsilotomi) dalam kalangan kanak-kanak bermasalah pernafasan gangguan tidur akibat saluran udara atas tersumbat (disebut pernafasan gangguan tidur obstruktif). Kami memasukkan sebarang kajian di mana kanak-kanak mengalami tonsilektomi atau tonsilotomi, yang diterbitkan hingga Julai 2019.

Latar belakang

Pernafasan gangguan tidur obstruktif boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa. Ini terdiri dari dengkuran simpel hingga sindrom apnea tidur obstruktif (OSAS), di mana episod saluran udara atas tersumbat lengkap dan kesukaran bernafas boleh menyebabkan paras oksigen dalam darah menurun, membangunkan kanak-kanak dari tidur. Pembesaran tonsil dan adenoid dianggap penyebab lazim dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu, tonsilektomi dengan atau tanpa pembuangan adenoid (adenoidektomi) dianggap opsyen rawatan utama yang berharga bagi kebanyakan kanak-kanak. Sejak sedekad yang lalu, didorong oleh teknologi pembedahan dan peranti baharu, tonsilotomi menjadi lebih popular. Kanak-kanak pulih dengan lebih cepat dari operasi ini dan mungkin mempunyai kurang masalah berbanding selepas tonsilektomi.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 22 kajian, dengan sejumlah 1984 kanak-kanak berusia 2 hingga 16 tahun dengan gejala pernafasan gangguan tidur obstruktif. Di dalam tiga kajian, kajian tidur juga dilakukan sebagai sebahagian daripada diagnosis. Kanak-kanak menjalani tonsilektomi atau tonsilotomi, dengan atau tanpa pembuangan adenoid, dan disusuli selepas operasi selama enam hari hingga enam tahun. Sembilan belas kajian mengukur beberapa data yang ingin kami kumpulkan dan analisis. Walau bagaimanapun, kami hanya dapat menggabungkan hasil kajian yang terhad kerana setiap kajian mengukur hasil yang berbeza dan menggunakan instrumen pengukuran yang berbeza. Terdapat juga kesukaran dalam mengakses data mentah dari banyak kajian.

Keputusan utama

Kanak-kanak dengan pernafasan gangguan tidur obstruktif yang dipilih untuk pembedahan tonsil dan yang menjalani tonsilotomi dilihat lebih cepat pulih dari operasi berbanding kanak-kanak yang mejalani tonsilektomi, khususnya dalam hal kembali ke aktiviti normal mereka (empat hari lebih cepat) . Kanak-kanak yang menjalani tonsilotomi juga mungkin kurang berisiko masalah selepas operasi yang memerlukan rawatan dengan ubat atau pembedahan lanjutan berbanding mereka yang menjalani tonsilektomi (2,6% berbanding 4,9%). Sebarang perbezaan yang berpotensi dari segi kehilangan darah semasa operasi (14 mL) dan skor sakit 24 jam selepas operasi (1.09 titik pada skala 10 mata) yang memihak kepada tonsilotomi tidak dianggap ketara.

Sangat sedikit kajian yang mengukur kesan kedua-dua operasi terhadap tanda-tanda dan gejala pernafasan gangguan tidur obstruktif itu sendiri, kualiti hidup kanak-kanak, pernafasan gangguan tidur obstruktif berulang atau keperluan operasi semula. Kajian-kajian yang membuat ukuran-ukuran tersebut tidak mendapati perbezaan bukti di antara kanak-kanak yang menjalani tonsilektomi atau tonsilotomi, namun penemuan tersebut harus ditafsir dengan berhati-hati kerana kebanyakan bukti dari kajian-kajian kepastiannya sangat rendah.

Kepastian bukti

Majoriti kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini berisiko bias yang tidak jelas hingga tinggi dan bukti untuk kebanyakan hasil adalah berkualiti rendah hingga sangat rendah, yang bermaksud keputusan adalah sangat tidak pasti. Ini bermakna kami memerlukan lebih banyak maklumat dari kajian dengan reka bentuk baik tentang hasil jangka panjang tonsilektomi dan tonsilotomi untuk membantu ibu bapa dan pakar bedah ENT memilih jenis operasi tonsil terbaik untuk kanak-kanak dengan pernafasan gangguan tidur obstruktif yang memerlukan pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi Mara). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information