Aplikasi penulisan kolaboratif untuk menyokong pelaksanaan amalan terbaik dalam penjagaan kesihatan.

Apakah tujuan ulasan ini?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada aplikasi penulisan kolaboratif (CWA), yang juga dikenali sebagai alat penulisan kolaboratif, boleh meningkatkan cara profesional kesihatan bekerja dan meningkatkan kesihatan pesakit. Satu lagi matlamat kajian kami adalah untuk mengkaji kos dan sumber yang diperlukan untuk menggunakan CWA. Akhir sekali, kami ingin mengetahui sama ada ciri CWA tertentu (contohnya, terbuka, seperti Wikipedia, berbanding tertutup, seperti kit alat CPOE Kanada), dan faktor perubahan amalan klinikal yang berbeza (contohnya, kehadiran moderator) meningkatkan kesan CWA terhadap penjagaan kesihatan. Kami mencari kajian untuk menjawab soalan-soalan ini.

Mesej utama

Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang mengukur kesan CWA terhadap cara profesional penjagaan kesihatan menjaga pesakit mereka.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Apabila orang ramai menerima penjagaan kesihatan, adalah penting untuk mereka dirawat mengikut amalan terbaik. Walau bagaimanapun, pembuat keputusan, profesional kesihatan, penyelidik dan pesakit memerlukan alat untuk menyokong amalan terbaik. Aplikasi penulisan kolaboratif adalah kategori teknologi maklumat dan komunikasi yang baru yang membolehkan pelbagai individu untuk berkongsi, mencipta, dan menyemak dokumen dalam talian pada masa yang sama. Mereka boleh membantu dalam melaksanakan amalan terbaik dalam penjagaan kesihatan. Aplikasi penulisan kolaboratif juga boleh membantu menyesuaikan dokumen dalam talian kepada konteks tempatan. Ini boleh membantu mengurangkan pertindihan dan pembaziran sumber. Contoh CWA yang paling terkenal adalah Wikipedia, ensiklopedia dalam talian. Walau bagaimanapun, terdapat banyak contoh CWA lain (contohnya WikEM, WikiDoc, kit alat CPOE Kanada, WikiTrauma). Walaupun terdapat fakta bahawa CWA adalah alat yang menjanjikan, masih belum diketahui sama ada mereka meningkatkan cara profesional penjagaan kesihatan menjaga pesakit mereka.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Kami mencari 14 pangkalan data bibliografi saintifik, dua pendaftaran kajian dan sumber sastera kelabu. Kami juga menghubungi 106 pengarang dan pakar dalam bidang tersebut untuk meminta kertas kajian yang berkaitan. Tiada kajian memenuhi kriteria kelayakan kami; dua kajian yang berpotensi relevan sedang dijalankan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari bukti hingga Ogos 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s Univesity, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rsciucd.edu.my

Tools
Information