Ubat manakah yang mengurangkan kerengsaan, agresi atau pencederaan kendiri pada orang yang mengalami gangguan spektrum autisme (ASD)?

Mesej utama

• Hanya 3 kelas ubat menunjukkan sebarang pengurangan kerengsaan, agresi atau kecederaan kendiri jika dibandingkan dengan plasebo (ubat palsu). Ubat antipsikotik atipikal (generasi kedua) mungkin mengurangkan kerengsaan dan agresi, tetapi mempunyai sedikit atau tiada kesan pada kecederaan kendiri. Ubat-ubatan yang berkaitan dengan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (attention deficit hyperactivity disorder, ADHD) boleh mengurangkan kerengsaan, walaupun bukti kepastiannya adalah rendah. Neurohormon (oksitosin dan sekretin) juga boleh mengurangkan kerengsaan, tetapi bukti kepastiannya adalah sangat rendah.

• Antidepresan tidak mempunyai kesan ke atas kerengsaan. Kajian tidak melaporkan kesan-kesan antidepresan, ubat berkaitan dengan ADHD dan neurohormon terhadap agresi atau kecederaan kendiri.

• Kajian telah melaporkan pelbagai kesan-kesan yang tidak diingini, tetapi hanya antipsikotik atipikal, ubat berkaitan dengan ADHD dan neurohormon menunjukkan bukti risiko yang lebih tinggi untuk sebarang kesan yang tidak diingini berbanding plasebo.

Apakah gangguan spektrum autisme?

Autisme ialah gangguan yang menjejaskan perkembangan fizikal, mental dan tingkah laku kanak-kanak. Ia adalah kecacatan seumur hidup yang bermula pada zaman kanak-kanak dan berterusan sepanjang kedewasaan. Penghidap autisme mungkin merasa sukar untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan dunia. Walau bagaimanapun, autisme mempunyai afek yang berbeza terhadap setiap penghidap dan mungkin lebih atau kurang teruk pada orang yang berbeza, jadi ia dinamakan sebagai gangguan 'spektrum'. Sesetengah orang yang mengalami gangguan spektrum autisme (ASD) mungkin mengalami kerengsaan atau agresif, atau pencederaan kendiri secara fizikal, yang merupakan 'tingkah laku yang membimbangkan' yang boleh menjadi sukar untuk diurus dan distres bagi penghidap tersebut.

Bagaimanakah tingkah laku yang membimbangkan diuruskan?

Tingkah laku yang membimbangkan sering diuruskan dengan pelbagai jenis ubat yang telah dihasilkan untuk merawat keadaan lain. Ini bermakna keberkesanannya untuk tingkah laku yang membimbangkan sebahagian besarnya tidak diketahui, dan ia boleh menyebabkan kesan tidak diingini yang serius dan pelbagai yang menjejaskan semua bahagian badan. Sebagai contoh:

• jantung dan paru-paru;

• perut dan sistem penghadaman;

• sistem imun;

• pergerakan, sendi dan tulang; dan

• mood dan emosi.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui jenis ubat yang berkesan dalam mengurangkan tingkah laku yang membimbangkan pada penghidap ASD dan sama ada ia menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang menyiasat sebarang ubat yang digunakan untuk menguruskan tingkah laku yang membimbangkan. Kajian membandingkan ubat dengan plasebo (ubat palsu) atau ubat lain. Peserta dalam kajian boleh terdiri daripada orang dewasa atau kanak-kanak, tetapi semuanya mempunyai ASD dengan tingkah laku yang membimbangkan. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai 131 kajian dengan 7014 orang. Kebanyakan kajian melibatkan kanak-kanak, walaupun sesetengah kajian melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa, atau orang dewasa sahaja. Kajian mengenal pasti pelbagai jenis ubat, termasuklah yang biasanya digunakan untuk merawat skizofrenia atau gangguan bipolar, kemurungan, ADHD, sawan, masalah emosi, jantung dan paru-paru, demensia, Parkinson dan kebimbangan.

Antipsikotik atipikal (generasi kedua) biasanya digunakan untuk merawat skizofrenia atau gangguan bipolar. Ia mungkin mengurangkan kerengsaan, tetapi ia mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas agresi dan kecederaan kendiri. Orang yang menerima antipsikotik mungkin lebih cenderung mengalami kesan yang tidak diingini seperti peningkatan selera makan, pening, sedasi (pemikiran dan pergerakan perlahan), mengantuk, letih dan gementar berbanding mereka yang tidak menerima rawatan atau ubat lain. Orang yang menerima antipsikotik mungkin mempunyai kecenderungan yang lebih atau kurang dalam mengalami kesan lain yang tidak diingini berbanding dengan mereka yang menerima plasebo.

Neurohormon (seperti oksitosin dan sekretin) mungkin mempunyai kesan yang minimum hingga kecil pada kerengsaan tetapi tiada kajian melaporkan data untuk kesan neurohormon terhadap kecederaan kendiri atau agresi. Orang yang menerima neurohormon mungkin mempunyai kecenderungan yang lebih atau kurang dalam mengalami kesan yang tidak diingini berbanding dengan mereka yang menerima plasebo.

Ubat-ubatan yang berkaitan dengan ADHD boleh mengurangkan kerengsaan tetapi mungkin tidak memberi kesan kepada kecederaan kendiri. Tiada kajian melaporkan data untuk agresi . Orang yang menerima ubat berkaitan dengan ADHD mungkin lebih cenderung mengalami kesan yang tidak diingini seperti mengantuk, letih, sakit kepala, sukar tidur dan selera makan berkurangan. Orang yang menerima placebo mungkin mempunyai kecenderungan yang lebih atau kurang dalam mengalami kesan lain yang tidak diingini.

Antidepresan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada kerengsaan. Tiada kajian melaporkan data yang berguna untuk agresi dan kecederaan kendiri. Orang yang menerima antidepresan mungkin lebih berkemungkinan mengalami kesan yang tidak diingini seperti tingkah laku impulsif dan membuat pergerakan atau bunyi yang berulang (stereotipi) berbanding plasebo. Tetapi, orang yang menerima antipsikotik mungkin tidak lebih atau kurang berkemungkinan daripada mereka yang menerima plasebo dalam mengalami kesan lain yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Kebanyakan kajian berlangsung kurang daripada 3 bulan, dan sangat sedikit kajian melibatkan orang dewasa. Oleh itu, kami tidak pasti sama ada kesan yang sama akan dilihat dalam tempoh yang lebih lama atau pada orang dewasa.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Penulis ulasan telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Zarina Thasneem Zainudeen (IPPT, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information