Fototerapi untuk merawat ulser kaki bagi pengidap kencing manis

Soalan ulasan

Fototerapi adalah kaedah rawatan tanpa kesakitan yang menggunakan cahaya untuk merawat pelbagai penyakit. Kami mengulas bukti-bukti tentang fototerapi untuk ulser kaki dalam pengidap kencing manis. Kami ingin mengetahui sama ada fototerapi mempercepatkan penyembuhan luka dan meningkatkan pesakit kualiti hidup, dan sama ada terdapat sebarang kesan sampingan.

Latar belakang

Ulser kaki adalah satu komplikasi diabetes yang menjejaskan 15% hingga 25% pesakit kencing manis pada masa tertentu dalam kehidupan mereka. Ulser kaki kencing manis adalah menyakitkan dan terdedah kepada jangkitan. Tidak semua ulser kaki kencing manis boleh sembuh, yang akhirnya boleh membawa kepada pembedahan pembuangan anggota badan. Fototerapi melibatkan pendedahan kepada kawasan terjejas kepada cahaya ultraviolet, kadang-kadang menggunakan laser. Ini dianggap dapat membantu menyembuhkan ulser melalui pelbagai mekanisma seperti meningkatkan aktiviti pertumbuhan sel dan pembuluh darah sel. Ia telah digunakan sebagai satu pendekatan alternatif untuk penyembuhan ulser kaki dalam pengidap kencing manis.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian rawak terkawal yang membandingkan fototerapi berlainan, atau membandingkan fototerapi dengan rawatan lain atau plasebo, untuk rawatan ulser kaki pesakit dewasa diabetes pada 2016 Oktober. Kita melibatkan lapan ujian (316 peserta). Kebanyakan kajian dijalankan di klinik atau hospital dan memiliki bilangan peserta yang kecil (14 hingga 84). Purata umur dalam kajian termasuk merupakan dari 53 hingga 68 tahun, dan nisbah perempuan kepada lelaki ialah 0.46 ke 1.88. Kajian yang dilibatkan membandingkan fototerapi dengan plasebo atau tanpa fototerapi, disamping penjagaan biasa (penjagaan biasa boleh termasuk rawatan seperti cuci luka, antibiotik atau pembersihan luka). Masa rawatan adalah antara 15 hari hingga minggu ke-20.

Keputusan-keputusan utama

Keputusan menunjukkan bahawa fototerapi, jika dibandingkan dengan tanpa fototerapi atau plasebo, boleh meningkatkan kadar luka yang sembuh sepenuhnya semasa susulan dan mengurangkan saiz luka. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh bilangan peserta yang terlibat dalam kajian adalak kecil dan mempunyai kelemahan dalam kaedah kajian, kami yakin keputusan ini adalah terhad. Kami tidak dapat mencari bukti yang mencukupi bahawa potensi kemudaratan atau kejadian pemotongan berbeza antara kumpulan fototerapi dan kumpulan tanpa fototerapi/ plasebo.

Kualiti bukti

Kita menilai kualiti bukti sebagai rendah kerana kekurangan data dan risiko berat sebelah dalam hasil kajian ini . Seterusnya kajian berkualiti tinggi amat diperlukan untuk mengesahkan manfaat dan kemudaratan fototerapi.

Ringkasan bahasa yang mudah ini adalah terkini sehingga 26 Oktober 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information