Apakah meningitis tuberkulosis dan mengapa tempoh rawatan penting?
Meningitis tuberkulosis (MTB) adalah tuberkulosis teruk melibatkan membran yang meliputi otak dan spina. Ia dikaitkan dengan kadar kematian dan hilang upaya yang tinggi. Walaupun terdapat syor piawai antarabangsa untuk merawat orang yang menghidap tuberkulosis pulmonari (tuberkulosis paru-paru) selama enam bulan dengan terapi antituberkulosis, terdapat pelbagai syor dan amalan tentang rawatan MTB di seluruh dunia. Sesetengah pakar mengesyorkan sembilan bulan, 12 bulan atau rawatan yang lebih lama untuk MTB bagi mencegah relaps penyakit tersebut. Regimen yang lebih lama mempunyai potensi buruk: ia dikaitkan dengan kurang kepatuhan terhadap rawatan, yang boleh meningkatkan relaps dan terjadinya rintangan terhadap ubat; dan peningkatan kos kepada pesakit dan sistem penjagaan kesihatan.
Apakah yang ditunjukkan oleh bukti
Sorotan Cochrane ini menilai kesan regimen enam bulan untuk rawatan penghidap MTB, berbanding regimen lebih lama. Penulis Cochrane menilai bukti sedia ada sehingga 31 Mac 2016 dan memasukkan 18 kajian. Tiada kajian yang disertakan membuat perbandingan terus penghidap MTB yang dirawat selama enam bulan dengan mereka yang dirawat lebih lama. Dua daripada kajian yang disertakan menganalisis dua kumpulan peserta yang dirawat selama enam bulan dan lebih lama daripada enam bulan. Oleh itu, penulis kajian merangkumi maklumat dari tujuh kumpulan orang yang dirawat selama enam bulan (458 orang), 12 kumpulan orang yang dirawat lebih dari 6 bulan (1423 orang), dan satu kajian berterusan terhadap 217 orang yang dianalisis secara berasingan kerana kebimbangan metodologi. Walaupun regimen rawatan yang dimasukkan adalah pelbagai, kebanyakan peserta menerima ubat antituberkulosis 'first-line' yang piawai dan disusuli sehingga lebih satu tahun selepas tamat rawatan. Kajian MTB tersebut melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak, namun terdapat sebilangan kecil yang positif HIV.
Relaps jarang berlaku dalam kedua-dua kumpulan kajian, dengan hanya satu kematian akibat relaps dalam setiap kumpulan. Kebanyakan kematian berlaku dalam enam bulan pertama rawatan bagi kedua-dua kumpulan kajian, ini menunjukkan tempoh rawatan tidak mempunyai impak terus ke atas risiko kematian dalam kajian-kajian tersebut. Terdapat kadar kematian lebih tinggi dalam kalangan peserta yang dirawat lebih dari enam bulan, ini mungkin menggambarkan perbezaan di antara peserta-peserta dalam kedua-dua kajian tersebut. Sebilangan kecil peserta mengingkari rawatan dan kepatuhan tidak didokumen dengan jelas.
Mereka tidak menjumpai bukti kadar relaps yang tinggi dalam kalangan orang yang dirawat selama enam bulan, dan relaps jarang berlaku pada pesakit tanpa mengira rejimen. Mungkin terdapat perbezaan di antara peserta yang dirawat untuk enam bulan atau lebih dari enam bulan yang mungkin membentuk bias (faktor pembauran), oleh itu kajian lanjut dapat membantu menentukan jika regiman singkat adalah selamat. Kebanyakan data adalah dari pesakit tanpa HIV, oleh itu inferens di atas tidak boleh diaplikasi kepada pesakit postif HIV.
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my