Apakah isunya?
Kanser payudara adalah sejenis kanser yang paling kerap berlaku dan penyebab kedua kematian kanser dalam kalangan wanita. Oleh itu, apa-apa strategi yang dapat mengurangkan beban ini sangat ditunggu-tunggu. Agen pencegah kanser (CPA) adalah ubat-ubatan yang mungkin memenuhi keperluan ini. Pada masa ini, dua jenis CPA utama boleh didapati untuk memerangi kanser payudara: modulator reseptor estrogen terpilih (SERMs, seperti tamoxifen dan raloxifene) dan inhibitor aromatase (seperti exemestane dan anastrozole). Wanita tanpa kanser payudara, tetapi dengan risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit ini (iaitu, dengan risiko seumur hidup melebihi 17%) mewakili populasi sasaran untuk CPA.
Soalan ulasan
Kajian Cochrane ini bertujuan untuk merumuskan bukti mengenai keberkesanan dan ketoksikan CPA dalam pencegahan kanser payudara primer.
Mesej utama
CPA boleh mengurangkan kejadian kanser payudara walaupun terdapat beberapa ketoksikan. Inhibitor aromatase boleh jadi lebih berkesan daripada SERMs dalam mengurangkan risiko kanser payudara. Inhibitor aromatase tidak berkait dengan peningkatan ketoksikan yang teruk (iaitu kanser lapisan rahim (kanser endometrium) dan thromboembolisme (pembekuan darah) yang dikaitkan dengan penggunaan tamoxifen (walaupun kekurangan data jangka panjang pada aromatase inhibitors dalam wanita yang tidak terjejas tidak membenarkan kita membuat kesimpulan yang pasti). Data tambahan diperlukan untuk menyelesaikan isu pencegahan kanser payudara sepenuhnya oleh ubat yang mengurangkan risiko, melalui penekanan dalam mengumpul maklumat mengenai kesan sampingan.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Penulis kajian mendapati enam kajian yang mendaftarkan 50,927 wanita untuk menerima satu CPA atau plasebo (rawatan palsu, misalnya pil gula). Tiga kajian yang melibatkan 23,013 wanita membandingkan tamoxifen dan plasebo, dua kajian yang melibatkan 8424 wanita membandingkan inhibitor aromatase (exemestane atau anastrozole) dan plasebo, dan satu kajian melibatkan 19,490 wanita membandingkan tamoxifen dan raloxifene.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Berdasarkan tiga kajian yang membandingkan tamoxifen dengan plasebo, tamoxifen mungkin mengurangkan risiko mendapat kanser payudara sebanyak 32% berbanding plasebo. Walau bagaimanapun, tamoxifen dikaitkan dengan peningkatan risiko kesan sampingan yang teruk sebanyak 28% berbanding plasebo berdasarkan dua kajian yang melibatkan 20,361 wanita. Khususnya, wanita yang mengambil tamoxifen mengalami kanser endometrium dan tromboembolisme yang lebih tinggi daripada wanita yang tidak mengambil ubat.
Bagi wanita yang menerima sama ada inhibitor aromatase (exemestane atau anastrozole) atau plasebo, inhibitor aromatase mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 53% berbanding plasebo. Data dari dua kajian yang melibatkan 8352 wanita menunjukkan bahawa inhibitor aromatase meningkatkan risiko kesan sampingan yang teruk sebanyak 18% berbanding dengan plasebo. Perbezaan ini sama untuk kesan sampingan endokrin (hormon, misalnya kepanasan), gastrousus (contohnya cirit-birit), dan muskuloskeletal (contohnya sakit sendi), manakala tiada perbezaan untuk kadar kanser endometrium atau tromboembolisme.
Bagi wanita yang menerima tamoxifen atau raloxifene, raloxifene mungkin bertindak lebih buruk daripada tamoxifen dari segi pengurangan kes kanser payudara, tetapi penggunaannya dikaitkan dengan pengurangan kadar ketoksikan sebanyak 13% terutamanya kanser endometrium dan tromboembolisme.
Kaedah khusus yang dinamakan 'meta-analisis rangkaian' membolehkan kami membandingkan ubat-ubatan yang tidak pernah secara langsung dibandingkan antara satu sama lain dalam satu kajian. Berdasarkan meta-analisis rangkaian ini, inhibitor aromatase mungkin telah menyebabkan pengurangan risiko tambahan sebanyak 23% untuk mendapat kanser payudara berbanding tamoxifen. Walau bagaimanapun, kebergantungan bukti ini adalah rendah, bermakna kajian lanjut mungkin memberi kesan kepada keyakinan kami terhadap keputusan ini. Analisis ini tidak boleh dilakukan terhadap data ketoksikan.
Adakah ulasan ini terkini?
Pengarang ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 17 Ogos 2018.
Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com