Apakah kolitis ulseratif?
Kolitis ulseratif adalah penyakit inflamatori usus kronik (jangka panjang) yang mempengaruhi usus besar. Gejala paling lazim kolitis ulseratif termasuklah diarea berdarah, sakit abdomen dan gesaan mengejut tidak terkawal untuk keluarkan najis. Sesetengah orang mengalami gejala di luar usus termasuk sakit sendi, luka mulut dan keradangan mata. Apabila seseorang mengalami gejala kolitis ulseratif, mereka dikatakan berpenyakit 'aktif '. Apabila gejala kolitis ulseratif beransur baik dengan rawatan, penyakit ini dikatakan respon kepada terapi. Apabila gejala kolitis ulseratif berhenti, penyakit itu dikatakan dalam 'remisi '. Orang dengan kolitis ulseratif remisi sering diberi terapi ubat-ubatan untuk dicuba dan memanjangkan (mengekalkan) remisi atau respon kepada terapi.
Apa perencat Janus kinase?
Perencat Janus kinase (termasuk tofacitinib) adalah kelas ubat-ubatan yang mengurangkan keradangan dalam badan. Tofacitinib kini diguna dalam penyakit autoimun seperti artritis reumatoid dan kolitis ulseratif. Ubat-ubatan ini datang dalam bentuk pil dan diambil melalui mulut (oral).
Apakah yang dikaji oleh para penyelidik?
Para penyelidik menyiasat sama ada tofacitinib membantu mengekalkan remisi dalam kalangan orang dengan kolitis ulseratif yang tidak aktif dan sama ada ubat ini menyebabkan sebarang mudarat (kesan sampingan). Para penyelidik telah mencari literatur perubatan sehingga 20 September 2019.
Keputusan utama
Kami mengenal pasti satu kajian (593 peserta) yang membandingkan tofacitinib dengan plasebo (ubat palsu). Peserta mempunyai kolitis ulseratif sederhana hingga teruk yang respon kepada terapi induksi tofacitinib atau plasebo (10 mg dua kali sehari selama lapan minggu). Metodologi kajian tersebut berkualiti tinggi. Bukti kepastian tinggi mencadangkan tofacitinib (5mg atau 10mg dua kali sehari) adalah lebih berkesan berbanding plasebo untuk mencapai remisi klinikal (menghentikan gejala) dan remisi endoskopik (iaitu menyembuhkan radang mukosa usus) kolitis ulseratif pada 52 minggu. Kadar kesan sampingan (tofacitinib: 76%; plasebo: 75%) dan kesan sampingan serius (tofacitinib: 5%; plasebo: 7% sama dengan peserta yang menerima tofacitinib dan plasebo. Bukti kepastian tinggi mencadangkan tiada peningkatan risiko kesan sampingan dengan tofacitinib berbanding plasebo. Kesan sampingan yang lazim dilaporkan termasuk kolitis ulsertif yang semakin teruk, nasofaringitis (iaitu selsema biasa), artralgia (iaitu sakit sendi) dan sakit kepala. Kepastian bukti untuk kesan sampingan serius adalah rendah kerana bilangan peristiwa yang rendah. Kesan sampingan serius termasuklah kanser kulit bukan melanoma, peristiwa kardiovaskular (seperti serangan jantung), kanser selain kanser kulit bukan melanoma, penyakit Bowen (iaitu jenis kanser kulit), papiloma kulit (iaitu tumor kulit) dan rahim leiomioma (i.e. a tumor dalam rahim). Di samping itu, terdapat kadar menarik diri dari kajian lebih tinggi akibat kesan sampingan dalam kumpulan plasebo berbanding kumpulan rawatan. Sembilan peratus daripada peserta yang mengambil tofacitinib menarik diri kerana kesan sampingan berbanding 19% peserta yang mengambil plasebo (bukti kepastian sederhana). Sebab paling lazim untuk menarik diri dari kajian adalah kesan sampingan lebih teruk kolitis ulseratif.
Kesimpulan
Bukti kepastian tinggi mencadangkan tofacitinib adalah lebih utama berbanding plasebo untuk remisi klinikal dan endoskopik pada 52 minggu dalam kalangan peserta dengan kolitis ulceratif sederhana hingga teruk yang respon kepada terapi induksi tofacitinib. Dos optimum tofacitinib untuk terapi pengendalian tidak diketahui. Bukti kepastian tinggi mencadangkan tiada peningkatan risiko kesan sampingan dengan tofacitinib berbanding plasebo. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti tentang kesan tofacitinib terhadap kesan sampingan serius disebabkan bilangan peristiwa yang rendah. Kajian lanjut diperlukan untuk melihat manfaat jangka panjang dan mudarat menggunakan tofacitinib dan perencat Janus kinase lain sebagai terapi pengendalian remisi dalam kalangan peserta dengan kolitis ulseratif sederhana hingga teruk.
Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my