Rawatan ubat yang mensasarkan kanser buah pinggang yang telah merebak

Soalan ulasan

Sejauh manakah keberkesanan rawatan ubat sasaran untuk pesakit kanser buah pinggang yang telah merebak berbanding rawatan ubat sasaran lain?

Latar belakang

Kanser buah pinggang yang telah merebak telah dirawat sejak sedekad yang lalu dengan sekumpulan ubat yang dipanggil terapi sasaran yang bertindak secara khusus pada laluan molekular. Walau bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan kemunculan kumpulan ubat baru yang berpotensi yang dipanggil perencat pusat pemeriksaan imun yang mengeksploitasi sistem imun (oleh itu dipanggil imunoterapi). Beberapa ubat ini kini digunakan dalam gabungan. Ulasan ini menilai keberkesanan terapi sasaran berbanding dengan terapi sasaran yang berbeza, perencat pusat pemeriksaan imun atau gabungan ubat yang berbeza.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan kajian di mana peluang menentukan sama ada orang mendapat ubat sasaran atau ubat sasaran lain, dan yang dilaporkan dalam penulisan perubatan sehingga 18 Jun 2020. Kebanyakan kajian mengkaji kesan pada pertumbuhan kanser buah pinggang (dipanggil perkembangan), kelangsungan hidup (jangka hayat) dan kesan tidak diingini yang serius.

Keputusan utama

Kami menemui 18 kajian yang menjawab soalan ulasan kami. Peserta yang dimasukkan dalam kajian-kajian ini menghidap kanser metastatik (kanser yang telah merebak ke bahagian badan yang lain) atau kanser lanjut yang tidak boleh dikeluarkan dengan pembedahan. Kami melaporkan perbandingan terkini yang paling penting kepada doktor dan peserta.

1. Pazopanib berbanding sunitinib (terapi sasaran berbanding terapi sasaran)

Pazopanib mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam perkembangan, kelangsungan hidup, dan kesan tidak diingini yang serius berbanding sunitinib.

2. Sunitinib berbanding avelumab dan axitinib (agen sasaran berbanding imunoterapi + agen sasaran)

Sunitinib mungkin mengakibatkan lebih banyak perkembangan tetapi mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan pada kematian dan kesan tidak diingini yang serius berbanding avelumab dan axitinib.

3. Sunitinib berbanding pembrolizumab dan axitinib (agen sasaran berbanding imunoterapi + agen sasaran)

Sunitinib mungkin mengakibatkan lebih banyak perkembangan dan kematian tetapi mungkin mengurangkan sedikit kesan tidak diingini yang serius berbanding pembrolizumab dan axitinib.

4. Sunitinib berbanding nivolumab dan ipilimumab (terapi sasaran berbanding gabungan imunoterapi)

Sunitinib mungkin mengakibatkan lebih banyak perkembangan dan kesan tidak diingini yang serius berbanding nivolumab dan ipilimumab. Sunitinib mengakibatkan lebih banyak kematian berbanding dengan gabungan.

Kepastian bukti

Kepastian bukti untuk kebanyakan hasil adalah rendah hingga tinggi, bermakna terdapat beberapa ketidakpastian mengenai penemuan. Namun begitu, terdapat data yang mencukupi untuk kami membuat kesimpulan muktamad tentang cara ubat-ubatan ini harus digunakan dalam pengurusan pesakit kanser buah pinggang yang telah merebak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information