Latar belakang
Diabetes jenis 2 adalah keadaan yang menyebabkan kadar gula dalam darah menjadi tinggi. Tahap gula dalam darah dikawal oleh insulin, hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Insulin mengarahkan hati, otot dan sel-sel lemak untuk membuang gula dari darah dan menyimpannya. Apabila pankreas tidak menghasilkan insulin yang mencukupi, atau badan tidak bertindak balas terhadap insulin, terlalu banyak gula akan berada di dalam darah. Terdapat banyak ubat-ubatan untuk merawat diabetes jenis 2. Ia bertujuan untuk menurunkan jumlah gula dalam darah dan mengurangkan komplikasi jangka panjang bagi diabetes. Ubat pertama yang biasanya diberikan kepada penghidap diabetes jenis 2 adalah metformin. Metformin berfungsi dengan mengurangkan jumlah gula yang dibebaskan oleh hati ke dalam darah. Ia juga meningkatkan cara tubuh badan bertindak balas terhadap insulin.
Kami ingin mengetahui sama ada metformin adalah rawatan berkesan untuk diabetes jenis 2, dan adakah ia akan menyebabkan apa-apa kesan yang tidak diingini. Kami juga ingin membandingkan kesannya dengan ubat antidiabetik yang lain, dan dengan diet, senaman atau kedua-duanya. Hasil yang kami inginkan secara khusus adalah kematian, kejadian tidak diingini yang serius, kualiti hidup yang berkaitan kesihatan, kematian akibat sebab-sebab kardiovaskular, dan komplikasi diabetes yang tidak membawa maut (seperti serangan jantung, strok atau kegagalan buah pinggang).
Apa yang kita cari?
Kami telah mencari pangkalan-pangkalan data perubatan untuk kajian-kajian yang:
— merupakan ujian terkawal secara rawak: ujian terkawal secara rawak adalah kajian perubatan di mana peserta-peserta kajian dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu kumpulan rawatan. Jenis kajian ini memberikan bukti yang paling dipercayai mengenai sama ada rawatan menghasilkan perbezaan;
— melibatkan individu yang berumur 18 tahun dan ke atas, dengan diabetes jenis 2;
— membandingkan metformin dengan: plasebo (rawatan palsu); tiada rawatan; program diet untuk membantu individu makan dengan baik; atau ubat lain yang menurunkan kadar gula dalam darah;
— berlangsung sekurang-kurangnya satu tahun.
Apakah yang telah kami temui?
Kami telah menjumpai 18 kajian dengan pelbagai bentuk kajian melibatkan sejumlah 10,680 peserta. Kajian ini berlangsung antara satu tahun dan kira-kira 11 tahun. Mereka membandingkan metformin dengan:
— suntikan insulin (dua kajian);
— ubat-ubatan lain yang menurunkan kadar gula dalam darah: sulphonylureas (tujuh kajian); thiazolidinediones (tujuh kajian); perencat dipeptidyl peptidase-4 (tiga kajian); analog peptida-1 seperti glukagon (satu kajian); meglitinide (satu kajian);
— tiada rawatan (dua kajian).
Tiada kajian yang membandingkan metformin dengan plasebo atau dengan program diet atau senaman.
Hasil utama kajian
Hampir semua kajian menyiasat dengan menggunakan kaedah pengukuran makmal bagi kawalan gula darah seperti glukosa darah semasa berpuasa. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit maklumat mengenai hasil penting pesakit seperti kematian, kejadian tidak diingini yang serius, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, kematian akibat sebab-sebab kardiovaskular, dan komplikasi diabetes yang tidak membawa maut ketika membandingkan metformin dengan ubat lain yang menurunkan kadar gula darah, plasebo atau tiada intervensi. Data yang ada tidak menunjukkan faedah atau bahaya metformin yang jelas.
Empat kajian yang masih sedang dijalankan dengan 5824 peserta akan melaporkan satu atau lebih hasil yang kami inginkan dan akan diselesaikan antara tahun 2018 dan 2024. Selanjutnya, 24 kajian dengan 2369 peserta dapat digunakan untuk mengemas kini tinjauan kami pada masa akan datang setelah hasil kajian tersebut diterbitkan.
Tahap kepastian tentang bukti
Semua kajian dalam tinjauan ini tidak dijalankan dengan baik. Jumlah peserta dalam kebanyakan perbandingan rawatan adalah kecil. Sekalipun kajian melaporkan beberapa data, kami tidak begitu yakin dengan hasil perbandingan. Kajian masa depan mungkin mampu mengubah penemuan kami secara signifikan.
Sejauh manakah ulasan ini telah dikemaskinikan?
Bukti ini adalah terkini sehingga 2 Disember 2019.
Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.