Intervensi untuk mengurangkan tingkah laku tidak aktif selepas strok

Soalan ulasan
Kami mengulas bukti yang meneliti kesan rawatan untuk mengurangkan jumlah tingkah laku tidak aktif pada orang selepas strok.

Latar belakang
'Tingkah laku tidak aktif’' merujuk kepada duduk atau berbaring (misalnya duduk menonton televisyen) pada waktu siang dan bukannya aktif dan 'bangun dan bergerak'. Setelah mengalami sebarang jenis strok, adalah biasa untuk orang menghabiskan banyak masa dalam tingkah laku tidak aktif. Ini adalah perkara biasa dalam kalangan pesakit strok yang berada di hospital dan juga mereka yang telah keluar dari hospital. Tingkah laku tidak aktif diketahui merosakkan kesihatan; ianya meningkatkan risiko serangan jantung dan strok, dan meningkatkan kemungkinan kematian. Mengurangkan masa untuk duduk selepas strok dapat mengurangkan risiko-risiko ini bagi orang yang hidup selepas strok. Sekiranya masa tidak aktif dikurangkan, secara definisinya, aktiviti fizikal (seperti berjalan) mesti meningkat. Secara gabungan, ini bukan hanya dapat mengurangkan risiko kesihatan tetapi juga meningkatkan cara pesakit strok bergerak dan perasaan mereka.

Ciri-ciri kajian
Pada Disember 2019, setelah mencari penulisan saintifik secara menyeluruh, kami mengenal pasti 10 kajian terkawal secara rawak untuk dimasukkan dalam ulasan. Kajian-kajian ini melibatkan sejumlah 753 peserta pada semua peringkat penjagaan, termasuklah yang berada di hospital atau yang kembali tinggal di rumah. Kebanyakan pesakit yang mengambil bahagian boleh berjalan dan berdiri dengan sendiri. Intervensi berkisar antara enam minggu hingga 18 bulan dan semuanya melibatkan beberapa elemen peningkatan aktiviti fizikal. Kajian merangkumi senaman sahaja (satu kajian) atau digabungkan dengan pendidikan dan bimbingan (satu kajian); aktiviti fizikal sahaja (satu kajian) atau digabungkan dengan 'aplikasi' telefon bimbit (satu kajian), intervensi gaya hidup pelbagai komponen termasuk aktiviti fizikal (empat kajian), dan fisioterapi tambahan bagi pesakit dalam (satu kajian). Satu kajian menggunakan intervensi yang secara khusus bertujuan memecahkan jangka masa duduk yang berterusan.

Kerana masalah dalam cara ianya dilakukan, dan dengan cara ianya dilaporkan oleh pasukan penyelidik, semua kajian adalah berisiko tinggi atau tidak jelas mengenai bias.

Keputusan utama
Kini, bukti menunjukkan bahawa intervensi untuk mengurangkan tingkah laku tidak aktif tidak meningkatkan atau mengurangkan kematian, kejadian kardiovaskular, jatuh atau kejadian buruk lain, atau jumlah masa yang dihabiskan untuk duduk. Namun, walaupun bukti tidak lengkap, mungkin masih ada nilai pada orang setelah strok berusaha untuk mengurangkan duduk, asalkan selamat untuk melakukannya.

Kepastian bukti
Kami menilai 'kepastian' bukti dengan metodologi GRADE. Kepastian kami mengenai kesan intervensi ini terhadap kematian, kejadian kardiovaskular, dan jatuh adalah rendah, dan mengenai kesannya terhadap kejadian buruk yang lain adalah sederhana. Kepastian tentang kesan terhadap tingkah laku tidak aktif itu sendiri adalah sangat rendah. Minat terhadap tingkah laku tidak aktif selepas strok adalah agak baru; masalah utama dengan bukti adalah sangat sedikit kajian yang mengkaji perkara ini sehingga kini. Bukti yang ada cenderung untuk terhad kepada pesakit selepas strok yang lebih mudah bergerak. Banyak kajian tidak dilakukan untuk jangka waktu yang cukup lama untuk menunjukkan perubahan jangka panjang dalam tingkah laku duduk, atau perubahan dalam risiko penyakit atau kematian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information