Teknologi telekesihatan untuk pesakit penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)

Soalan ulasan

Adakah teknologi telekesihatan membantu meningkatkan kesihatan pesakit COPD?

Latar belakang

Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) adalah suatu keadaan yang melibatkan satu kumpulan penyakit di paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas. Simptom-simptomnya termasuklah sesak nafas (dispnea), batuk dan peningkatan lendir. COPD mengakibatkan pengaliran udara yang terhad di dalam paru-paru apabila menghembuskan nafas; keadaan ini boleh diukur dengan spirometri (ukuran untuk menilai setakat mana paru-paru berfungsi). Spirometer mengambil dua ukuran: isipadu udara apabila menghembuskan nafas dengan laju dan kuat dalam masa satu saat, dan jumlah udara yang dihembus keluar. Apabila COPD menjadi lebih teruk dengan perjalanan masa, ia akan mengakibatkan simptom yang lebih serius dan boleh mengurangkan kualiti kehidupan. Perkembangan penyakit dan simptom yang bertambah secara tiba-tiba (keterukkan) boleh meningkatkan risiko seseorang untuk dimasukkan ke hospital dan kematian. Teknologi telekesihatan boleh meningkatkan penyampaian kesihatan untuk pesakit COPD, yang dapat mengurangkan serangan keterukan, meningkatkan kualiti hidup dan menurunkan kadar kemasukan ke hospital. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas sama ada penyediaan penjagaan telekesihatan meningkat hasil yang berkaitan dengan kesihatan untuk pesakit COPD. Kami ingin meneroka sama ada teknologi telekesihatan membantu untuk pesakit COPD.

Apakah teknologi telekesihatan?

Penyiasat kajian telah menggunakan pelbagai teknologi telekesihatan. Sesetengahnya memasukkan teknologi pemantauan jauh, yang memerlukan penggunaan komputer riba atau tablet dengan peralatan pemantauan secara harian, dengan keputusan diterima oleh profesional kesihatan. Peralatan pemantauan kebiasaannya terdiri daripada stetoskop (untuk mengukur tekanan darah dan kadar dengupan jantung), oksimeter nadi (untuk mengukur tahap oksigen dalam darah), spirometer (untuk mengukur fungsi paru-paru), termometer dan peralatan lain. Intervensi melibatkan panggilan telefon secara berkala dengan profesional penjagaan kesihatan untuk pesakit bercakap tentang simptom mereka dan melengkapkan soal selidik kesihatan.

Mengenal pasti dan memilih kajian

Kami mencari pangkalan data sehingga April 2020. Kami mencari kajian yang diterbitkan di seluruh dunia, dalam mana-mana bahasa, pada bila-bila masa. Dua penulis ulasan melihat kepada senarai kajian secara berasingan, kemudian bersetuju mengenai kajian yang harus disertakan.

Untuk mencari jawapan terbaik kepada soalan kami, kami mencari kajian yang merekrut mereka dengan COPD pada mana mana tahap keterukan. Untuk menjadikan perbandingan itu adil, kami mencari kajian di mana penyiasat membandingkan pemantauan jarak jauh, pemantauan jarak jauh dengan tambahan penjagaan biasa, dan rawatan menggunakan berbagai komponen. Mereka yang dimasukkan dalam kajian ini perlu mempunyai peluang rawak yang sama (seperti menterbalikkan syiling) untuk menerima salah satu daripada teknologi teleheath tersebut ataupun penjagaan biasa.

Hasil-hasil utama

Kami menjumpai 29 kajian (5654 pesakit dengan COPD dengan keterukkan sederhana hingga sangat teruk) yang sesuai untuk dimasukkan dalam ulasan kami. Tempoh kajian-kajian ini adalah antara 3 hingga 12 bulan.

Kami tidak menemui faedah ataupun bahaya yang penting untuk pesakit yang dipantau dengan mana-mana teknologi telekesihatan apabila kami melihat kepada bilangan kejadian keterukan, peningkatan kualiti hidup dan pengurangan simptom kesesakan nafas, kemasukan ke hospital atau kematian. Walau bagaimanapun, mereka yang dipantau melalui teknologi telekesihatan dan tambahan penjagaan biasa didapati terdapat sedikit pengurangan risiko kemasukan semula ke hospital. Oleh itu, teknologi telekesihatan merupakan sebahagian daripada pakej penjagaan dapat mengurangkan kemasukan semula ke hospital yang berkaitan dengan COPD.

Kami tidak dapat memastikan sebarang bahaya dengan pemantauan jarak jauh sahaja. Kami juga tidak pasti faedah atau bahaya cara pemantauan jarak jauh sahaja terhadap pengalaman pesakit atau terhadap laporan kesesakan nafas.

Kualiti bukti

Pada masa ini, tidak ada bukti yang berkualiti baik. Kami sangat tidak pasti tentang bukti untuk serangan keterukan, kualiti hidup, simptom sesak nafas, kemasukan ke hospital, kematian dan kesan-kesan sampingan. Tetapi, kami sederhana yakin tentang penemuan kami untuk kemasukan semula hospital.

Kesimpulan

Kami tidak jelas sama ada teknologi telekesihatan untuk pemantauan atau perundingan memberi manfaat, tetapi kami juga tidak menemui sebarang maklumat tentang bahaya. Telekesihatan boleh memainkan peranan dalam penjagaan dan pengurusan untuk orang dengan COPD. Telekesihatan sebagai sebahagian daripada pakej penjagaan berbilang komponen mungkin memberikan manfaat jangka pendek terhadap kualiti hidup dan kemasukan semula ke hospital. Telekesihatan dalam bentuk pemantauan jarak jauh sebagai tambahan kepada penjagaan biasa boleh mengurangkan risiko kemasukan semula ke hospital. Terdapat hanya sedikit kesan ke atas kejadian keterukan, kualiti hidup, dan kematian. Disebabkan maklumat yang terhad, penemuan ulasan ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati. Kajian yang lebih banyak diperlukan untuk menentukan sama ada telekesihatan memberikan faedah jangka panjang untuk pesakit COPD dengan keterukan yang berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information