Penjagaan bukan farmakologi untuk sarak opioid pada bayi baru lahir

Soalan ulasan

Adakah satu atau lebih amalan penjagaan bukan farmakologi (rawatan selain ubat-ubatan) khusus memberi manfaat kepada bayi yang baru lahir dengan sarak opioid selepas kelahiran?

Latar belakang

Bayi yang baru lahir dari ibu yang mengambil opioid semasa kehamilan sering mengalami gejala sarak selepas bersalin, seperti tangisan bernada tinggi, tremor, dan nada tinggi. Penjagaan bukan farmakologi adalah rawatan pertama untuk gejala sarak. Sekiranya simptom bertambah buruk walaupun dengan rawatan bukan farmakologi, ubat seperti morfin, metadon, atau buprenorphine adalah rawatan kedua untuk mengurangkan gejala. Walaupun rawatan bukan farmakologi adalah pendekatan pertama untuk pengurusan gejala, ianya tidak sama di setiap hospital. Pengulas ingin mengetahui sama ada satu atau lebih amalan penjagaan bukan farmakologi bermanfaat kepada bayi yang baru lahir dengan sarak opioid selepas kelahiran.

Ciri-ciri kajian

Pengulas melihat kepada percubaan rawak terkawal(RCT; kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) bayi baru lahir yang terdedah kepada opioid yang dirawat dengan satu atau lebih amalan penjagaan bukan farmakologi. Amalan penjagaan bukan farmakologi merangkumi perubahan persekitaran untuk mengurangkan rangsangan atau memberi kelegaan, perubahan pada kekerapan pemberian atau jenis makanan, perubahan yang meningkatkan penjagaan ibu dan bayi baru lahir atau kesejahteraan ibu, dan beberapa perubahan seperti yang berlaku di persekitaran atau sistem penjagaan baharu. Carian terkini sehingga Oktober 2019.

Keputusan utama

Ulasan ini merangkumi enam RCT yang memasukkan 353 bayi baru lahir yang terdedah kepada opioid. Kajian ini diterbitkan antara tahun 1975 dan 2018. Pengulas juga mengenal pasti tujuh kajian yang sedang berjalan yang mungkin layak untuk disertakan dalam ulasan terkini apabila ianya selesai.

Daripada enam RCT, empat menilai perubahan terhadap persekitaran untuk mengurangkan rangsangan atau memberi kelegaan. Kajian-kajian ini meneliti kesan katil goyang mekanikal, posisi tiarap (berbaring di atas perut), katil air yang tidak berayun, dan taman asuhan dengan stimulasi yang rendah. Pengulas tidak pasti sama ada mengubah rangsangan persekitaran dikaitkan dengan tempoh berada di hospital berdasarkan satu kajian dengan 30 bayi. Mengubah rangsangan persekitaran boleh dikaitkan dengan sedikit atau tidak ada perbezaan dalam penggunaan rawatan farmakologi berdasarkan tiga kajian dengan 92 bayi. Pengulas tidak pasti sama ada mengubah rangsangan persekitaran dikaitkan dengan nadir berat badan (berat terendah dicatatkan semasa kemasukan di hospital semasa kelahiran) berdasarkan satu kajian dengan 194 bayi.

Satu kajian menilai perubahan jenis makanan yang membandingkan formula kalori lebih tinggi dengan formula kalori standard. Pengulas tidak pasti sama ada amalan pemberian makan dikaitkan dengan penggunaan ubat-ubatan, hari untuk mendapatkan kembali berat lahir, atau berat nadir berdasarkan satu kajian dengan 46 bayi.

Satu kajian menilai perubahan untuk menyokong ibu mendapat sokongan penyusuan yang disesuaikan. Pengulas tidak pasti sama ada sokongan terhadap diad ibu-bayi dikaitkan dengan panjangnya rawatan di hospital, penggunaan ubat-ubatan, atau kemasukan ke unit rawatan rapi neonatal berdasarkan satu kajian dengan 14 bayi.

Banyak kesan penting berpotensi yang idak dilaporkan, dan yang lain tidak dilaporkan dalam semua kajian.

Kualiti bukti

Pengulas tidak pasti sama ada satu atau lebih amalan penjagaan bukan farmakologi khusus bermanfaat kepada bayi yang baru lahir dengan sarak opioid selepas kelahiran. Kualiti bukti untuk semua hasil adalah sangat rendah hingga rendah dan memberikan maklumat terhad untuk memberitahu amalan penjagaan bukan farmakologi individu atau kombinasi amalan penjagaan bukan farmakologi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information