Penggunaan sokongan respiratori tanpa tiub endotrakeal (iaitu tidak invasif) dalam kalangan bayi untuk mengurus pernafasan cepat (tachypnea transien bayi baru lahir)

Soalan ulasan

Adakah penggunaan sokongan respiratori tanpa tiub endotrakeal (iaitu tidak invasif) dalam kalangan bayi dengan pernafasan cepat (tachypnea transien bayi baru lahir) memperbaiki fungsi paru-paru dan mengurangkan keperluan sokongan respiratori invasif dengan tiub endotrakeal?

Latar belakang

Tachypnea transien (pernafasan cepat abnormal) bayi baru lahir adalah kadar pernafasan tinggi (lebih daripada 60 nafas seminit) serta tanda-tanda distres respiratori (kesukaran bernafas). Ia biasanya muncul dalam dua jam pertama hayat bayi yang dilahirkan pada atau selepas 34 minggu gestasi. Walaupun kebanyakan tachypnea transien dalam kalangan bayi baru lahir bertambah baik tanpa rawatan, ia mungkin dikaitkan dengan berdehit pada lewat zaman kanak-kanak. Idea di sebalik menggunakan sokongan respiratori yang tidak invasif untuk tachypnea transien bayi baru lahir termasuk mengurangkan cecair kaviti kecil di dalam paru-paru yang disebut alveoli dan memberi sokongan kepada bayi yang sukar bernafas. Ulasan ini melaporkan dan menganalisis secara kritikal bukti-bukti sedia ada tentang manfaat dan mudarat sokongan respiratori tidak invasif pengurusan tachypnea transien dalam kalangan bayi baru lahir.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti dan memasukkan tiga kajian (150 bayi baru lahir) yang membandingkan penggunaan sokongan pernafasan bukan invasif dengan oksigen (satu kajian), atau pelbagai jenis sokongan respiratori bukan invasif (dua kajian). Kami menemui dua kajian yang sedang dijalankan. Bukti adalah terkini sehingga Februari 2019.

Keputusan

Bukti yang sangat terhad tidak dapat menjawab soalan ulasan kami. Sokongan respiratori tidak invasif tidak memperbaiki fungsi paru-paru atau mengurangkan keperluan sokongan respiratori.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Darlina Hani Fadil Azim (Universiti Perdana). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information