Rawatan pilihan untuk glioblastoma yang baru didiagnosis dalam kalangan orang tua

Apakah isunya?
Glioblastoma merupakan sejenis tumor otak yang boleh membawa maut. Rawatan piawai glioblastoma yang baru didiagnosis adalah membuang tumor sebanyak mungkin melalui pembedahan, dan kemudian memberikan kemoterapi (sejenis ubat anti-barah yang dikenali sebagai temozolomide (TMZ)) dan radioterapi. TMZ biasanya diberikan pada masa yang sama dengan radioterapi (kemoterapi serentak), dan juga kira-kira enam bulan setelah radioterapi (kemoterapi tambahan). Bersama-sama, rawatan ini dikenali sebagai kemoradioterapi (CRT). Namun, bukan semua orang, terutamanya golongan orang tua, yang cukup sihat untuk menerima CRT, yang boleh membawa kesan sampingan yang serius. Dalam ulasan ini kami menilai bukti tentang rawatan-rawatan berbeza yang telah dikaji dalam golongan orang tua yang baru didiagnosis dengan glioblastoma, untuk mengetahui rawatan yang boleh membantu.

Bagaimanakah kami menjalankan ulasan ini
Kami mencari kajian yang telah membandingkan rawatan-rawatan berbeza dalam kalangan orang tua yang baru didiagnosis dengan glioblastoma dan juga kajian-kajian tentang keberkesanan kos. Kami mendefinisikan ‘golongan orang tua’ sebagai orang berumur 70 tahun dan ke atas, tetapi juga memasukkan data daripada pesakit-pesakit yang berumur 65 tahun dan ke atas jika kajian-kajian tersebut tidak memaparkan keputusan untuk golongan pesakit berumur 70 tahun dan ke atas. Kami menggunakan kaedah-kaedah Cochrane piawai untuk menilai kajian-kajian dan mengumpulkan data. Kami membandingkan rawatan-rawatan dalam meta-analisis rangkaian (NMA), yang membolehkan kami menentukan rawatan-rawatan pilihan yang berbeza.

Apakah yang telah kami temui
Kami mendapati 12 kajian yang menilai pilihan berbeza termasuk radioterapi, kemoterapi, jagaan sokongan (paliatif), kombinasi rawatan, dan alat perubatan yang dipakai di kepala dan mengeluarkan medan elektrik (dikenali sebagai medan rawatan tumor). Kebanyakan orang yang mendaftar dalam kajian-kajian tersebut tidak mempunyai kecacatan yang serius. Dalam NMA, kami membandingkan kesan tujuh rawatan terhadap jangka hidup keseluruhan pesakit. Semua rawatan yang dikaji dalam NMA selain satu, di mana agen yang dikenali sebagai bevacizumab (BEV) digabungkan dengan radioterapi, boleh memanjangkan jangka hidup berbanding dengan jagaan sokongan sahaja. Bukti paling kukuh yang kami dapati menunjukkan bahawa CRT memanjangkan jangka hidup berbanding radioterapi jangka pendek; teteapi bukti lemah mencadangkan CRT juga dapat memanjangkan jangka hidup berbanding dengan TMZ sahaja. Apabila kami menilai semua rawatan mengikut keberkesanannya dalam memanjangkan jangka hidup, CRT menduduki tempat yang lebih tinggi daripada TMZ, RT dan jagaan sokongan sahaja, dengan rawatan yang terakhir menduduki dalam tempat terakhir.

Satu kajian tentang medan rawatan tumor tidak dapat dimasukkan dalam NMA kerana kajian tersebut dijalankan dalam golongan orang tua yang sihat dan telah menerima sebahagian CRT. Bukti kajian tersebut menunjukkan bahawa tambahan medan rawatan tumor setelah radioterapi mungkin dapat meningkatkan jangka hidup dalam kalangan pesakit yang lebih sihat.

Mengenai kualiti hidup, bukti menunjukkan bahawa kesan rawatan TMZ dan rawatan radioterapi sahaja mungkin tidak banyak berbeza, kecuali lebih tidak selesa kerana kekurangan komunikasi dengan radioterapi. Bukti kualiti hidup adalah sukar ditafsirkan untuk rawatan pilihan lain kerana bukti tersebut dibatasi oleh kadar keciciran yang tinggi, kerana pesakit glioblastoma tidak hidup lama dan mungkin tidak berasa selesa mengisi soal selidik semasa mereka berasa tidak sihat.

Mengenai keputusan-keputusan lain, bukti berpastian tinggi menunjukkan bahawa CRT boleh menunda perkembangan penyakit berbanding dengan radioterapi sahaja. Bukti juga menunjukkan bahawa tambahan BEV dengan radioterapi jangka pendek mungkin dapat menunda perkembangan penyakit, tetapi tidak boleh meningkatkan jangka hidup. TMZ dan BEV adalah lebih toksik terhadap sel darah berbanding dengan radioterapi dan boleh meningkatkan risiko pembekuan darah dan penyumbatan saluran darah (tromboembolisme).

Kesimpulan kami
Untuk golongan orang tua yang sihat, bukti menunjukkan bahawa CRT meningkatan jangka hidup berbanding dengan radioterapi atau TMZ sahaja, dan mana-mana tiga pilihan rawatan ini boleh meningkatkan jangka hidup berbanding dengan jagaan sokongan sahaja. Kesan buruk yang serius terhadap komponen darah adalah lebih kerap dalam ubat-ubatan anti-barah TMZ dan BEV. Tiada bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan BEV dalam kalangan orang tua dengan glioblastoma di luar persekitaran penyelidikan. Lebih banyak bukti adalah diperlukan untuk mengkaji kesan rawatan yang berbeza terhadap kualiti hidup dan kos kesihatan. Umur sahaja adalah kurang sesuai untuk menjadi penentu yang terbaik bagi rawatan optimum dalam golongan orang tua dengan glioblastoma.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Roshan Arjun Ananda (Mackay Hospital and Health Service). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information