Statin untuk asma

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan penggunaan statin bagi penghidap asma.

Latar belakang

Asma adalah penyakit saluran pernafasan kronik (berterusan) yang biasa berlaku. Asma disebabkan oleh radang paru-paru dan pengecutan bronkus (saluran halus di paru-paru menjadi ketat, sebagai tindak balas kepada pencetus seperti debunga atau udara sejuk). Radang dan pengecutan bronkus menyebabkan aliran udara tersumbat (penyempitan dan penyumbatan). Asma akan menyebabkan pernafasan individu berdehit, mengalami kesukaran bernafas dan sesak dada (batuk atau tanpa batuk) secara berulang.

Statin adalah ubat anti-radang. Kami ingin mengkaji bukti statin kerana menurut teori, sifat anti-radang statin akan membantu penghidap asma. Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan terapi statin lebih baik atau lebih buruk daripada alternatif lain, seperti rawatan standard atau jenis statin yang berbeza (atorvastatin, simvastatin).

Ciri-ciri kajian

Kami hanya menjumpai satu kajian yang menilai atorvastatin (sejenis ubat statin) dan plasebo (rawatan palsu) bagi 60 penghidap asma dewasa dalam tempoh 12 minggu. Peserta mengalami asma kronik (penyakit saluran nafas yang berterusan) ketika memulakan rawatan.

Keputusan utama

Kami mendapati statin (atorvastatin) tidak memberi kebaikan yang jelas untuk fungsi paru-paru kepada penghidap asma, tetapi mungkin lebih baik untuk kawalan asma daripada ubat palsu. Namun, oleh kerana terdapat hanya satu kajian, kita tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh.

Kajian ini tidak melaporkan kesan buruk atau bahaya. Kami tidak pasti sama ada statin boleh memberi kesan yang baik untuk melegakan asma atau sama ada ia boleh meningkatkan risiko kejadian buruk atau kejadian tidak serius.

Kualiti bukti

Bukti kepastian adalah sangat rendah, jadi kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh sama ada statin bermanfaat dan selamat digunakan penghidap asma.

Bukti adalah semasa sehingga 7 Februari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information