Apa masalahnya?
Pesakit dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD) mempunyai peningkatan risiko untuk mendapat osteoporosis (tulang yang lemah), yang sering menyebabkan patah tulang. Beberapa ubat telah sedia ada untuk rawatan osteoporosis; namun, tidak diketahui sama ada ubat ini sama berkesan dan selamat pada pesakit dengan CKD kerana penurunan kekuatan tulang pada pesakit ini terjadi melalui mekanisma yang berbeza.
Apa yang kami lakukan?
Data dikumpulkan dari kajian melibatkan pesakit dengan osteoporosis dan CKD tahap 3-5, dan mereka yang menjalani dialisis (tahap 5D) dengan data yang tersedia mengenai patah tulang, perubahan kepadatan mineral tulang (BMD; indeks kekuatan tulang), dan kejadian buruk. Kami memasukkan tujuh kajian dengan bukti yang ada sehingga 25 Januari 2021, membandingkan ubat anti-osteoporotik (abaloparatide, alendronate, denosumab, raloxifene, dan teriparatide) dengan plasebo (ubat palsu), pada 9,164 wanita yang telah menopaus. Kami melakukan analisis meta untuk menilai kesan ubat-ubatan anti-osteoporotik ini.
Apa yang kami temui?
Pada wanita yang telah menopaus dengan CKD tahap 3-4, ubat anti-osteoporotik dapat mengurangkan patah tulang belakang dalam bukti berkepastian rendah. Ubat-ubatan anti-osteoporotik mungkin membuat sedikit atau tidak banyak perbezaan terhadap patah klinikal dan kejadian buruk dalam bukti berkepastian sederhana. Pada wanita yang telah menopaus dengan CKD tahap 5 atau 5D, tidak dapat dipastikan sama ada ubat anti-osteoporotik mengurangkan risiko patah klinikal dan kematian, dan ubat anti-osteoporotik mungkin sedikit meningkatkan BMD pada tulang belakang lumbar dengan bukti berkepastian rendah. Tidak dapat dipastikan sama ada ubat anti-osteoporotik meningkatkan BMD pada leher tulang femur.
Kesimpulan
Pada wanita yang telah menopaus dengan CKD tahap 3-4, ubat anti-osteoporotik mungkin mengurangkan risiko patah tulang belakang. Dalam kalangan pesakit dengan CKD tahap 5 dan 5D, ubat anti-osteoporotik mungkin sedikit meningkatkan kekuatan tulang. Namun, kesimpulan ini adalah berdasarkan data yang terhad dan oleh itu tidak pasti.
Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my