Bolehkah intervensi muzik dan vokal memberi manfaat kepada bayi pramatang dan ibu bapa mereka?

Mesej utama

• Intervensi muzik dan vokal mungkin mengurangkan kadar denyutan jantung pada bayi pramatang berbanding dengan penjagaan standard semasa intervensi. Kesan bermanfaat ini adalah lebih ketara dan pasti selepas intervensi menganjurkan kesan penenang dan penstabil yang berpanjangan.

• Kami menemui tiada kesan berbahaya akibat muzik dan suara. Walau bagaimanapun, banyak kajian tidak meneroka secara ketara akan kemungkinan kesan yang tidak diingini.

• Kami menemui tiada bukti akan sebarang kesan lain yang jelas bermanfaat atau berbahaya akibat intervensi terhadap bayi, ibu bapa mereka, dan hubungan ibu bapa-bayi. Lebih banyak bukti berkualiti baik adalah diperlukan untuk membuat kesimpulan yang jelas.

Apakah itu bayi pramatang?

Bayi pramatang ialah bayi yang dilahirkan sebelum usia kandungan 37 minggu dan selalunya perlu dirawat selama berminggu-minggu hingga berbulan-bulan dalam persekitaran yang tertekan di unit rawatan rapi neonatal untuk terus hidup.

Mengapa kami mengkaji potensi manfaat intervensi muzik dan vokal terhadap bayi pramatang dan ibu bapa mereka?

Bayi pramatang berisiko untuk pelbagai masalah kesihatan. Kelahiran pramatang adalah peristiwa yang juga traumatik bagi ibu bapa. Oleh itu, pendekatan iringan seperti intervensi muzik dan vokal semakin banyak digunakan dalam penjagaan neonatal untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan mental pada bayi pramatang dan ibu bapa mereka. Walau bagaimanapun, pelbagai kajian dan ulasan menunjukkan keputusan yang samar-samar dalam keberkesanan pelbagai intervensi muzik dan vokal. Ulasan sistematik yang lebih komprehensif dan teliti diperlukan untuk menangani data dan ulasan yang bercanggah.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada intervensi muzik dan vokal memberi manfaat dalam:

• kesihatan dan perkembangan bayi pramatang

• kesihatan mental ibu bapa dan hubungan mereka dengan bayi

Kami ingin mengetahui apakah jenis, penyampaian, tempoh, dan kekerapan intervensi muzik dan vokal yang terbaik untuk menyokong bayi dan ibu bapa. Kami mensasarkan untuk mengetahui sama ada intervensi boleh menyebabkan sebarang kesan berbahaya.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan:

• intervensi muzik dan vokal untuk bayi pramatang (dan ibu bapa) berbanding dengan penjagaan standard biasa di unit neonatal yang tidak melibatkan sebarang intervensi muzik atau vokal.

Kami membanding dan merumuskan keputusan mereka dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 25 kajian yang melibatkan 1532 bayi pramatang dan 691 ibu bapa. Kajian terbesar melibatkan 272, dan yang terkecil melibatkan 17 bayi pramatang. Dalam kajian dari seluruh dunia, terutamanya kesan serta-merta muzik dan suara telah dinilai pada saat-saat intervensi dan beberapa minit selepas intervensi, manakala dua kajian ingin mengetahui sama ada akan terdapat kesan yang bermanfaat terhadap perkembangan jangka panjang pada usia dua tahun. Kebanyakan kajian dibiayai oleh dana penyelidikan Universiti/Jabatan Kesihatan/Hospital dan yayasan perubatan/kesihatan tempatan. Intervensi muzik dan vokal yang dilaporkan sangat berbeza dari segi jenis, penyampaian, kekerapan, dan tempoh. Mereka kebanyakannya berciri tenang, lembut, parameter muzik dalam gaya mendodoi, sering mengintegrasikan suara ibu secara langsung atau dirakam, didefinisikan sebagai terapi muzik apabila disampaikan oleh ahli terapi muzik dalam hubungan terapeutik atau ubat muzik apabila disampaikan sebagai "ubat" oleh ahli profesional perubatan dan penjagaan kesihatan.

Keputusan utama

Pada bayi pramatang (dan ibu bapa mereka), berbanding dengan penjagaan standard tanpa sebarang intervensi muzik dan vokal:

• Muzik dan suara menunjukkan tiada sebarang perbezaan terhadap ketepuan oksigen semasa intervensi (10 kajian dengan 958 bayi) dan mungkin menunjukkan tiada perbezaan selepas intervensi (7 kajian dengan 800 bayi).

• Muzik dan suara mungkin menunjukkan tiada perbezaan dalam kadar pernafasan semasa intervensi (7 kajian dengan 750 bayi) dan selepas intervensi (5 kajian dengan 636 bayi).

• Muzik dan suara mungkin membawa kepada pengurangan bermanfaat dalam kadar denyutan jantung bayi (11 kajian dengan 1014 bayi). Kesan bermanfaat ini adalah lebih ketara dan pasti selepas intervensi, membawa kepada pengurangan bermanfaat yang sederhana hingga besar dalam kadar denyutan jantung (5 kajian dengan 636 bayi).

• Kami tidak pasti sama ada intervensi boleh mempengaruhi perkembangan jangka panjang bayi pada usia dua tahun (2 kajian dengan 69 bayi).

• Kami tidak pasti tentang kesan yang mungkin terapi muzik terhadap keadaan-sifat kebimbangan ibu bapa (4 kajian dengan 97 peserta) dan kemurungan selepas bersalin (2 kajian dengan 67 bayi).

• Kami sangat tidak pasti tentang kesan yang mungkin terhadap keadaan kebimbangan ibu bapa (3 kajian dengan 87 ibu bapa).

• Kami mendapati tiada kajian yang melaporkan kesan berbahaya muzik atau suara.

Apakah batasan bukti?

Kami yakin muzik dan suara tidak mengurangkan ketepuan oksigen semasa intervensi berbanding dengan penjagaan standard. Kami yakin dengan keputusan kami mengenai kesan bermanfaat yang ketara terhadap kadar denyutan jantung pada bayi pramatang selepas intervensi. Tidak cukup kajian yang teliti (banyak kajian kecil dengan standard pelaporan yang lemah) untuk pasti dengan keputusan semua kesan lain yang kami nilai pada bayi dan ibu bapa mereka. Terdapat ketidakpastian lanjut tentang penyampaian muzik serta tempohnya dan kekerapan muzik yang paling berkesan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat 12 November 2021.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information