Apakah matlamat ulasan ini?
'Biologik' adalah nama yang diberikan kepada sejenis ubat yang semakin banyak diguna untuk membantu orang dengan penyakit akibat keradangan tisu badan. Matlamat ulasan ini adalah untuk melihat jika ubat-ubatan ini berkesan merawat orang dengan ‘rhinosinusitis’ kronik. Pesakit-pesakit ini bermasalah jangka panjang dengan keradangan hidung dan sinus. Ini menyebabkan mereka mengalami hidung tersumbat, berair dan sakit di pipi mereka. Mereka sering perlu mengguna semburan steroid jangka panjang. Sesetengah pesakit dengan ‘rhinosinusitis’ kronik juga mendapat polip dalam hidung. Ini boleh membuat simptom mereka lebih teruk.
Mesej utama
Salah satu biologik yang baharu – dipanggil dupilumab - membantu orang dengan ‘rhinosinusitis’ kronik teruk dengan polip hidung dan telah mengguna semburan steroid hidung. Ia membuat simptom mereka lebih baik dan tidak menimbulkan sebarang kesan sampingan yang teruk. Satu lagi ubat yang serupa – dipanggil mepolizumab – boleh memberi kesan sama tetapi kami kurang pasti tentangnya. Ubat ketiga - omalizumab - juga dapat memperbaik simptom orang dengan ‘rhinosinusitis’ kronik yang teruk dengan polip hidung.
Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Kami mencari kajian-kajian di mana pesakit dengan ‘rhinosinusitis’ kronik telah diberi sama ada salah satu ubat biologik baharu atau rawatan plasebo (palsu). Mereka perlu dirawat sekurang-kurangnya tiga bulan. Kami mencari kajian-kajian yang mengukur kesan ubat terhadap gejala, kesihatan umum mereka dan sebaranga kesan buruk.
Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?
Hampir semua orang dalam kajian mengalami ‘rhinosinusitis’ kronik yang teruk dengan polip hidung, dan mengambil semburan steroid hidung (oleh itu kami hanya dapat membuat kesimpulan tentang kesan ubat dalam kalangan orang seperti ini). Kami menemui 10 kajian yang melihat tiga ubat yang berbeza. Kebanyakan maklumat kami adalah dari dua kajian besar (dengan hampir 800 pesakit) melihat kesan satu ubat – dupilumab.
Kesan dupilumab
Selepas 24 minggu rawatan, orang yang mengambil dupilumab mempunyai kualiti hidup lebih baik berbanding mereka yang tidak. Secara purata simptom mereka mungkin lebih baik juga, dan mereka tiada kesan sampingan yang lebih teruk berbanding mereka yang mengambil plasebo.
Kesan mepolizumab
Kesan mepolizumab dikaji dalam kalangan kurang pesakit dan kami kurang pasti tentang keputusannya. Kami boleh menyatakan ubat ini mungkin sama berkesan dengan dupilumab.
Kesan omalizumab
Untuk kemaskini ulasan ini (2021), kami mengenal pasti dua kajian tambahan yang mempertimbang penggunaan omalizumab. Selepas 24 minggu, orang yang mengambil omalizumab mempunyai kualiti hidup yang lebih baik, berkaitan dengan simptom ‘rhinosinusitis’ kronik, berbanding mereka yang tidak mengambilnya. Kami tidak menemui peningkatan kesan sampingan dalam kalangan mereka yang mengambil ubat tersebut, tetapi terlalu sedikit orang yang dikaji untuk memastikannya.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Bukti dalam ulasan ini adalah terkini hingga September 2020.
Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my